Anak tidur seluk tangan dalam seluar, normal ke? Pakar pediatrik jawab keresahan ibu bapa


  • Bonda
  • Rabu, 08 Okt 2025

Tingkah laku memasukkan sebelah tangan dalam seluar adalah normal dan sebahagian daripada proses tumbesaran kanak-kanak.

TABIAT anak kecil tidur dengan sebelah tangan dalam seluar mungkin pernah mengundang tanda tanya dalam kalangan ibu bapa.

Menurut Pakar Pediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak, Dr. Nisa Khalil, tingkah laku tersebut sebenarnya normal dan sebahagian daripada proses tumbesaran kanak-kanak.

Beliau berkata, biasanya ia berlaku ketika golongan tersebut mencecah usia sekitar dua hingga empat tahun.

BACA LAGI: Khatan bayi perempuan tiada manfaat sudut kesihatan, risiko jangkitan alat sulit?

BACA LAGI: Elak si kecil 'cranky' musim panas, pakaikan baju nipis, minum air putih setiap 30 minit

"Pada peringkat ini, kanak-kanak sedang melalui fasa kesedaran tubuh (body awareness).

"Ia bukan kelakuan nakal atau pelik, sebaliknya sebahagian daripada perkembangan sihat,” katanya menerusi hantaran di akaun Threads miliknya pada Rabu.

Dr. Nisa berkata, tabiat itu bukan satu bentuk pemberontakan, sebaliknya sebahagian daripada biologi tumbesaran.

Dr. Nisa menambah, kebiasaan itu sering dilakukan apabila anak berasa mengantuk atau bosan.

“Mereka dapati ia selesa, hangat dan menenangkan, sama seperti kanak-kanak lain yang mungkin menghisap ibu jari atau memeluk bantal busuk untuk menenangkan diri,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menasihatkan ibu bapa agar tidak memarahi atau memalukan anak apabila ia berlaku.

Kongsinya, cara terbaik apabila berdepan situasi berkenaan adalah dengan bertenang dan jika perlu, tegur secara lembut sambil mengingatkan anak bahawa itu kawasan peribadi mereka.

"Boleh juga alihkan perhatian dengan memberi anak memeluk mainan lembut (plushies), selimut atau bacaan cerita sebelum tidur,” katanya.

Dr. Nisa juga menambah, tabiat itu bukan satu bentuk pemberontakan, sebaliknya sebahagian daripada biologi tumbesaran.

“Jika anak tidur gaya ‘Spiderman’ dengan tangan dalam seluar, jangan risau.

"Ia hanya satu lagi bab dalam perjalanan membesarkan anak yang tidak pernah diceritakan dalam buku manual keibubapaan,” katanya.

Menurut beliau lagi, ibu bapa hanya perlu berwaspada sekiranya terdapat tanda-tanda tidak normal seperti kemerahan, kegatalan atau ketidakselesaan.

“Kadangkala ia bukan disebabkan penerokaan diri, tetapi mungkin kerana iritasi kulit, jangkitan atau pakaian yang terlalu ketat,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram