Pernah ditahan di perairan antarabangsa, Dr. Fauziah tak gentar, terus teguh berjuang misi kemanusiaan pada usia 68 tahun


  • Sukses
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Usaha Dr. Fauziah terhadap misi kemanusiaan di seluruh dunia telah memberi inspirasi kepada banyak pihak.

WALAU pernah ditahan semasa menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, Dr. Fauziah Hasan, kekal teguh dan berani menyertai kembali gerakan membawa harapan ke Gaza.

Malah kali ini, wanita berusia 68 tahun itu hadir bersama suami di belakang tabir menyokong perjuangannya.

Siapakah wanita Malaysia tersebut yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam misi bantuan antarabangsa?

Berikut Majoriti kongsikan lima fakta menarik tentang Dr. Fauziah Hasan yang membentuk figura inspirasi bagi banyak pihak.

BACA LAGI: Pernah berdepan situasi sama, wartawan sudah 'predict' nasib rakyat Malaysia ditahan tentera rejim

BACA LAGI: Dari ladang ke almari pakaian, fesyen lestari SukkhaCitta angkat martabat wanita desa

1) Wanita Malaysia pertama sertai pelayaran ke Gaza

Dr. Fauziah berkhidmat sebagai pakar Obstetrik dan Ginekologi di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Kuala Lumpur sejak 1997.

Beliau merupakan wakil tunggal Malaysia yang menyertai misi Women’s Boat to Gaza (WBG) pada September 2016 sebagai doktor atas kapal.

Menaiki kapal Zaytouna Oliva, ia adalah salah satu usaha beliau dalam menunjukkan solidariti wanita dari seluruh dunia terhadap rakyat Gaza.

Misi tersebut melibatkan 13 wanita dari pelbagai negara dengan misi memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza.

Penglibatannya dalam misi kemanusiaan perubatan bermula pada 1999 dengan misi ke Kosovo.

2) Pernah diculik tentera Israel

Dalam usaha mendekati Gaza, Dr. Fauziah dan rakan-rakan misi diculik oleh tentera Israel semasa menyertai ketika berada hanya 35 batu nautika (kira-kira 68.9 kilometer) dari pantai Gaza.

Dalam misi itu, beliau telah dipintas tentera Israel dan dimasukkan ke dalam tahanan sebelum dihantar pulang.

3) Buku sebagai dokumentasi pengalaman misi

Pengalaman wanita kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu dalam misi Women’s Boat to Gaza dibukukan dalam judul 35 Batu Nautika.

Judul tersebut dipilih bagi menggambarkan jarak terakhir yang tinggal ketika kapal mereka ditahan, iaitu 35 batu nautika lagi dari pantai Gaza ketika operasi dihentikan.

Buku itu dilancarkan pada 2016, melalui kerjasama beberapa organisasi seperti Rose2Rose, MyCARE, PenaWan, dan Iman Publication.

4) Doktor dan aktivis kemanusiaan

Selain Gaza, Dr. Fauziah yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan daripada University of Tasmania, Australia pada 1982 itu terlibat dalam pelbagai misi kemanusiaan antarabangsa.

Penglibatannya dalam misi kemanusiaan perubatan bermula pada 1999 dengan misi ke Kosovo dan sejak itu merangkumi misi ke Kepulauan Maluku (2000), Acheh pasca-tsunami (2005), Afghanistan (2001, 2002 dan 2003) dan Gaza (2009).

Beliau kini bersama tujuh lagi peserta dari Malaysia menaiki kapal Conscience menyertai gelombang ketiga misi flotila ke Gaza yang digerakkan oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).

5) Pengiktirafan

Antara anugerah yang pernah diterima termasuk Khaulah Al Azwar oleh kerajaan Terengganu atas penglibatan dalam misi WBG (2016).

Beliau juga pernah menerima Tokoh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Islam (Kategori Wanita) pada 2017.

Dr. Fauziah juga dilantik sebagai Penasihat Hormat bagi Malaysian Women Coalition for Al-Quds & Palestine (MWCQP), menunjukkan usaha sentral beliau dalam memperjuangkan isu Palestin dari sisi wanita dan kemanusiaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram