Bau badan semula jadi indikasi status kaya atau papa?


  • Sihat
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Bau tubuh individu boleh menjadi petunjuk penting dalam interaksi harian. — Gambar harian

TAHUKAH anda bau tubuh seseorang bukan sahaja mencerminkan gaya hidup, malah boleh menjadi petunjuk status sosial mereka?

Kajian mendapati setiap manusia mempunyai 'bau sosial' tersendiri yang bukan sahaja penting untuk proses biologi asas, tetapi turut mempengaruhi interaksi harian dengan orang sekeliling.

Berdasarkan perkongsian pengguna Instagram dengan nama akaun xavier.scent, deria bau secara semula jadi membantu manusia membuat pilihan tertentu dalam kehidupan, termasuk ketika bertemu individu yang mempunyai persamaan genetik.

BACA LAGI: Tiada modal beli deodoran? 'Student' U boleh guna cara jimat atasi masalah bau badan

BACA LAGI: Takut buka mata, bau keju antara 7 fobia paling 'rare'

Namun menurutnya, di luar aspek biologi, bau turut memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi sosial.

"Antara faktor yang mempengaruhi bau seseorang ialah persekitaran tempat tinggal, jenis makanan dimakan, kekerapan bersenam dan fabrik pakaian dipakai kerana setiap jenis serat menyimpan bau dengan cara berbeza," katanya.

Menurutnya, fenomena itu turut digambarkan dalam filem Naskah Asli Terbaik di Oscar 2020, Parasite, apabila keluarga kaya menyatakan bahawa keluarga miskin mempunyai bau serupa yang mudah dikenali.

“Dalam menilai seseorang, orang ramai tidak hanya melihat pada pakaian berjenama atau penampilan luaran.

"Banyak butiran kecil lain diambil kira dan bau tubuh adalah salah satu daripadanya,” jelasnya.

Dalam pada itu, satu kajian yang diterbitkan pada 2017 mendapati, bau tubuh individu boleh menjadi petunjuk penting dalam interaksi harian, walaupun mereka memakai deodoran atau minyak wangi.

Kajian bertajuk Smelling is Telling: Human Olfactory Cues Influence Social Judgments in Semi-Realistic Interactions oleh Gaby dan Zayas menunjukkan, orang lain masih boleh membuat penilaian sosial, seperti sama ada seseorang itu kelihatan mesra atau menyenangkan hanya berdasarkan bau tubuh mereka, bukan sekadar melalui sampel bau pakaian seperti kajian sebelum ini.

Fenomena itu sekali gus memberi gambaran mengenai bagaimana aspek tidak disedari seperti bau boleh membentuk jurang sosial dalam masyarakat moden. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram