
NAMA Rebecca Ma atau lebih dikenali sebagai Becca Bloom, kini semakin menguasai dunia fesyen dan media sosial global.
Usahawan muda, sosialit dan pempengaruh berprofil tinggi dari Amerika Syarikat (AS) itu bukan sahaja mencipta fenomena dengan gaya hidup mewah, malah turut mengukuhkan kedudukannya sebagai pencipta kandungan berpengaruh.
Rebecca merupakan pengasas platform tuisyen dalam talian untuk pelajar di China, StudyPal dan pengasas bersama jenama pengecas telefon mudah alih tanpa wayar, Hearth Wireless Chargers.
Walaupun bergelar usahawan, beliau lebih dikenali kerana kejayaan luar biasa dalam dunia media sosial.
Dalam tempoh kurang setahun sejak membuka akaun TikTok pada Januari 2025, Rebecca berjaya mengumpul lebih empat juta pengikut, menjadikan jumlah keseluruhan pengikutnya di Instagram dan TikTok mencecah 5.8 juta.
Hanya selepas memuat naik video kucing peliharaannya di platform tersebut pada awal tahun, namanya menjadi sebutan.
Becca kini diangkat sebagai salah seorang pempengaruh muda paling berpengaruh di platform TikTok
Popularitinya melonjak hasil perkongsian gaya hidup glamor daripada koleksi barang kemas Bulgari, sarapan mewah bertabur kaviar untuk kucing peliharaannya, hingga malam janji temu romantis bersama tunangnya, David Pownall.
Musim panas lalu sahaja, usahawan berusia 25 tahun itu menjadi tetamu eksklusif pada Bulgari High Jewelry di Taormina dan pertunjukan Chanel Haute Couture di Paris.
Pengkritik budaya melihat Becca sebagai lambang peralihan dunia fesyen daripada era quiet luxury kepada kemewahan keterlaluan yang kembali menjadi trend.
Becca merupakan anak kepada pasangan usahawan teknologi yang juga pengasas syarikat Camelot Information Systems, iaitu bapanya, Simon Yiming Ma dan ibunya, Heidi Chou.
Syarikat berkenaan pernah disenaraikan di Bursa Saham New York sebelum diambil alih semula secara persendirian dengan nilai ekuiti mencecah AS$98.2 juta (RM414 juta) pada 2014.
Becca dilihat sebagai lambang peralihan dunia fesyen daripada era 'quiet luxury' kepada kemewahan keterlaluan. — Instagram/beccaxbloom
Namun, di sebalik kejayaan ibu bapanya, Becca menegaskan kepada peminat bahawa beliau tidak sekadar bergantung pada kekayaan keluarga.
“Mereka berdua sangat berjaya dalam bidang teknologi dan hartanah, tetapi saya juga bekerja keras untuk membina laluan sendiri.
"Sejujurnya, hal itu lebih memberi motivasi kepada saya,” katanya seperti dikongsikan menerusi salah satu video TikTok di akaun miliknya, beccaxbloom.
Genius sains
Membesar di Atherton, California, bandar yang dinobatkan oleh Consumer News and Business Channel (CNBC) sebagai paling mahal di AS pada 2024, figura berkenaan sudah menyerlah sejak usia muda.
Ketika bersekolah di Menlo School, beliau pernah mengetuai pasukan robotik sekolah dan menubuhkan platform pembelajaran rakan sebaya, StudyPal, yang kemudiannya dijual.
Tidak terhenti di situ, Becca menubuhkan pula syarikat Hearth Wireless Chargers, sebelum melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Marshall School of Business, Universiti Southern California (USC) dalam bidang perniagaan, ekonomi dan undang-undang.
Becca merupakan anak kepada pasangan usahawan teknologi Simon (kanan) dan Heidi. — Instagram/beccaxbloom
Semasa menuntut di USC, beliau bekerja sambilan menguruskan acara perhubungan awam di Microsoft serta menjalankan penyelidikan di Universiti Yale, Stanford University School of Education dan China Development Research Fund.
Selepas tamat pengajian, Becca menceburi bidang teknologi kewangan di Bay Area. Namun, kehidupannya tidak terbatas di pejabat semata-mata.
Tersenarai dalam Time 100 Best Creators List pada Julai 2025, personaliti itu aktif menjelajah dunia dengan gaya hidup mewah, termasuk koleksi barang kemas daripada jenama antarabangsa seperti Tiffany, Bulgari, Cartier dan Van Cleef & Arpels yang dianggarkan bernilai lebih AS$240,000 (RM1 juta).
Becca bakal meraikan majlis perkahwinan mewah bersama Pownall di Lake Como, Itali. — Instagram/beccaxbloom
Agensi bakat
Pada April lalu, Becca menandatangani kontrak bersama agensi bakat antarabangsa United Talent Agency (UTA), yang turut menguruskan personaliti media sosial terkenal seperti Emma Chamberlain dan Charli D’Amelio.
Langkah tersebut dilihat bakal membuka lebih banyak peluang buat Becca untuk melebarkan pengaruhnya dalam dunia hiburan, teknologi dan fesyen mewah.
Lebih mencuri perhatian, Becca dijangka meraikan majlis perkahwinan mewah bersama Pownall, jurutera perisian di syarikat e-dagang multinasional, Amazon, pada Ogos di Lake Como, Itali.
Bukan sahaja dinanti peminat, majlis itu malah bakal mengukuhkan lagi fenomena 'Becca Bloom' sebagai ikon gaya hidup moden yang penuh glamor. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram