Takut buka mata, bau keju antara 7 fobia paling 'rare'


  • Sihat
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Takut dengan keju, antara fobia yang paling pelik pernah wujud

KETAKUTAN ialah sebahagiaan daripada naluri kehidupan walaupun kadang kala ia mencabar logik.

Pasti ramai yang sedar dan mengalami arachnophobia (takut labah-labah) atau acrophobia (takut tempat tinggi), tetapi terdapat fobia jarang berlaku, namun boleh mengganggu kehidupan sesetengah individu.

Keadaan psikologi luar biasa ini jarang dibincangkan, namun ia dapat menunjukkan betapa kompleksnya minda manusia. Berikut adalah beberapa jenis fobia yang pelik.

BACA LAGI: Pernah hampir lemas, jurufoto wanita bertahun-tahun elak laut angkara fobia sebelum kembali mencipta nama

BACA LAGI: Menantu dilema, keluarga jadi dingin lepas bapa mentua 'terjah' masuk bilik waktu susukan anak

1. Arachibutyrophobia

Ini adalah ketakutan luar biasa terhadap mentega kacang yang melekat di lelangit mulut. Ia bukanlah ketakutan terhadap mentega kacang itu sendiri, tetapi bimbang tercekik (pseudodysphagia) atau tekstur melekit dan tahap ketakutan ini berbeza bagi setiap individu.

Punca utama fobia ini tidak diketahui, tetapi sesetengah penyelidik mengandaikan ia berpunca daripada trauma sensori zaman kanak-kanak atau ketakutan tercekik. Kebanyakan individu menghadapinya dengan hanya memakan versi mentega kacang yang dicairkan atau elak makanan dengan tekstur serupa.

2. Nomophobia

Nomophobia ialah ketakutan berada tanpa telefon bimbit. Dengan teknologi dan era digital semakin berkembang, ketagihan digital menjadikan fobia ini lebih kerap berbanding sebelumnya.

Simptom biasa termasuk kebimbangan melampau apabila tiada akses kepada peranti mudah alih yang sering dikaitkan dengan tingkah laku mencari pengesahan dan kebergantungan kepada teknologi.

Mereka mengalami nomophobia sangat takut akan kehilangan, terlupa atau merosakkan telefon. Selain itu, cenderung membawa charger tambahan dan mengelak tempat dengan sambungan internet lemah.

Satu kajian oleh Perkhidmatan Pos UK mendapati daripada 2100 orang dewasa, 55 peratus mengatakan mereka tidak pernah mematikan telefon pintar walaupun pada waktu malam atau ketika tidak menggunakannya.

3. Xanthophobia

Ini kategori ketakutan terhadap warna kuning berpunca trauma atau rangsangan sensori berlebihan.

Satu kajian oleh Stefania Dannacher, seorang ahli psikologi klinikal, mengatakan bahawa mereka yang mengalami gangguan obsesif kompulsif (OCD) lebih cenderung mengalami xanthophobia hasil daripada keengganan sedia ada terhadap warna tersebut.

4. Optophobia

Optophobia ialah ketakutan membuka mata, yang boleh berpunca daripada trauma, sensitiviti terhadap cahaya atau rangsangan visual yang berlebihan. Fobia ini turut berkait dengan pencetus visual berkaitan PTSD dan gangguan kebimbangan disebabkan cahaya.

Walaupun tiada risiko bahaya, individu dengan fobia ini mungkin mengalami panik dan tekanan besar apabila cuba membuka mata. Ketakutan ini boleh memberi kesan teruk terhadap kehidupan harian dan menyukarkan mereka melakukan tugas memerlukan penglihatan.

5. Turophobia

Turophobia ialah ketakutan terhadap keju. Walaupun kedengaran lucu, ia boleh memberi kesan besar terhadap pemakanan, kehidupan sosial dan kesihatan mental. Tekstur, bau dan rupa keju boleh menjadi terlalu kuat untuk ditanggung oleh individu tersebut.

6. Chorophobia

Golongan ini takut untuk menari kerana mengaitkan aktiviti itu menyebabkan malu, terdedah atau trauma mungkin berpunca daripada kebimbangan sosial atau pernah diejek. Individu chorophobia boleh mengalami serangan panik, sesak nafas, degupan jantung dan peluh berlebihan apabila berdepan dengan situasi berkaitan tarian.

7. Pogonophobia

Pogonophobia ialah ketakutan terhadap jambang, yang boleh berpunca daripada kebimbangan tentang kebersihan, pengalaman buruk semasa kecil atau rangsangan visual berlebihan. Mereka mungkin mengelak daripada individu berjambang.

Lelaki yang mengalami fobia ini akan sentiasa bercukur demi mengurangkan kegelisahan.

Secara umumnya, fobia-fobia ini berpunca daripada trauma peribadi atau ingatan negatif terhadap makanan atau pengalaman tertentu. Rawatan untuk fobia termasuk terapi pendedahan, terapi tingkah laku kognitif (CBT) dan ubat-ubatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram