
JIKA suatu ketika dahulu permainan video dianggap membuang masa, kini semakin ramai ibu bapa mula berfikiran terbuka terhadap penglibatan anak-anak dalam industri e-sukan.
Malah, dengan kewujudan akademi khusus seperti Todak Academy, keyakinan ibu bapa semakin meningkat apabila sektor itu terbukti mampu menawarkan masa depan yang cerah selain kerjaya profesional.
Berkongsi situasi tersebut kepada Majoriti, Timbalan Presiden Todak, Mohd Ikmal Fareeq Shamsul Bahri berkata, penerimaan ibu bapa semakin jelas selepas penubuhan Todak Academy yang menawarkan kursus bertauliah berasaskan e-sukan.
BACA LAGI: Perkukuh kerjasama dengan Todak, Tecno Malaysia lancar Siri Pova 7, penuhi keperluan Gen Z
BACA LAGI: Ahmad Fadli, nama graduan MSU di sebalik kejayaan Todak Studios
Mohd Ikmal berkata, perubahan sikap ibu bapa semakin jelas selepas penubuhan Todak Academy.
Menurut beliau, pada awalnya ramai ibu bapa beranggapan e-sukan hanya melibatkan aktiviti permainan video yang tiada jaminan masa depan.
"Apabila bercerita tentang dunia e-sukan, tak ramai yang memahami apa sebenarnya berlaku di belakang tabir.
"Bagaimana satu industri itu bermula membuka ruang kepada peluang pekerjaan dan banyak tenaga kreatif yang terlibat dari segi pembinaan sesuatu kejohanan itu sendiri," katanya.
Jelasnya, kewujudan akademi itu bertujuan memberi pendedahan dari segi pendidikan, selain keseimbangan semula dalam naratif masyarakat.
“Di sinilah ibu bapa mula nampak jaminan kerjaya anak-anak mereka, kerana industri ini sebenarnya membuka banyak peluang pekerjaan kreatif," ujarnya.
Todak Academy menawarkan tiga kursus utama iaitu animasi 3 dimensi (3D), pembangunan permainan video serta pengaturcaraan, di bawah penilaian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahap 4 dengan syarat minimum kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menariknya ujar Mohd Ikmal, kursus yang ditawarkan bukan sekadar melahirkan pemain, tetapi tenaga kerja profesional yang menyokong keseluruhan ekosistem e-sukan.
"Sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila lebih 230 permohonan diterima bagi sesi tahun ini, sekali gus melepasi kuota 200 pelajar disasarkan," jelasnya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, pihaknya berhati-hati dalam mengembangkan kapasiti agar kualiti pendidikan kekal terjamin.
Mohd Ikmal bersama sebahagian pelajar daripada Todak Academy ketika pelancaran Siri Pova 7 pada 8 Ogos lalu.
Malah Mohd Ikmal menjelaskan, keutamaan tetap diberikan untuk mengimbangi minat anak-anak dalam dunia permainan dengan pendidikan formal.
Katanya lagi, jika fokus hanya kepada bermain, anak-anak akan berisiko terlari daripada sasaran asal.
"Sebab itu kami sentiasa tekankan elemen pendidikan seiring dengan minat mereka.
"Malah, dalam kejohanan e-sukan yang dianjurkan, hadiah tidak lagi sekadar wang tunai tetapi turut disertakan sijil pendidikan dan peluang mengikuti kursus jangka pendek.
"Dengan cara ini, ibu bapa juga lebih yakin untuk memberi sokongan,” ujarnya.
Selain itu, organisasi e-sukan utama negara itu turut meluaskan sayap pendidikan dengan melancarkan Todak Kids pada 2024, iaitu program khas untuk kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.
"Program ini lebih menumpukan pada pembangunan kemahiran motor dan teknik pembelajaran interaktif mengikut keupayaan usia," katanya.
Tidak dinafikan, dalam perkembangan positif kebanyakan ibu bapa, Mohd Ikmal berkata, masih ramai pihak yang skeptikal terhadap e-sukan kerana kurang faham akan ekosistem industri berkenaan.
“Kalau anak kata dia nak main game, kedengaran berbeza berbanding anak kata dia nak bersukan sedangkan e-sukan itu sendiri adalah sukan.
“Justeru, Todak Akademy berperanan sebagai pusat rujukan untuk mendidik masyarakat bahawa e-sukan bukan sekadar permainan, tetapi sebuah industri profesional dengan masa depan cerah,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram