
SEORANG wanita mengimbau kenangan lucu zaman kanak-kanaknya apabila teruja menyangka bakal melancong ke luar negara, namun rupa-rupanya hanya dibawa menghadiri kenduri di Kampung New Zealand di Pahang.
Mengimbau peristiwa pada 1982 ketika berada di darjah satu, wanita itu berkata, ibu bapanya berjanji akan membawanya ke 'New Zealand' sempena cuti sekolah.
Pada waktu itu ujarnya, berpeluang pergi ke luar negara dianggap sesuatu yang sangat membanggakan.
BACA LAGI: Sasar 50 anak Felda sambung pengajian kursus TVET
BACA LAGI: Jalan Cameron Highlands terjejas akibat tanah runtuh dibuka semula
“Saya siap heboh cerita dekat kawan-kawan dan semua cikgu di sekolah.
"Mereka tumpang kagum, siap suruh belikan cenderamata lagi sehingga menjadi perbualan di sekolah,” katanya menerusi hantaran di akaun Threads queen_a_2601, pada Jumaat lalu.
Kongsinya, pada hari kejadian, beliau melihat ibu bapanya mengisi barang ke dalam kereta dan terus menyangka mereka dalam perjalanan ke lapangan terbang.
Namun katanya, perjalanan dengan kereta mengambil masa yang lama dan hanya tiba selepas enam jam.
“Enam jam lepas itu kami sampai di 'New Zealand' terus. Rupanya Kampung New Zealand yang di Pahang itu ada kenduri.
"Ayah mak saya gelak sadis saja, puas hati mengenakan anak dia ni kan," ujarnya.
Ceritanya lagi, gurauan itu akhirnya melibatkan seluruh sekolah dan beliau diketawakan guru serta rakan-rakan apabila mengetahui perkara sebenar.
"Siap kirim salam pada mak ayah," selorohnya.
Kampung New Zealand ditukar nama sebagai penghargaan kepada bantuan kerajaan New Zealand dalam pembukaan tanah Felda. — Gambar hiasan
Untuk rekod, Kampung New Zealand merupakan penempatan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang terletak di Maran, Pahang.
Berdasarkan perkongsian seorang pengguna Threads, zukimemo1, kampung tersebut asalnya dikenali sebagai Rancangan Kemajuan Tanah Sungai Kertam, dibuka sekitar 1960 dengan penanaman getah sebagai aktiviti utama.
Menurutnya, pada 1965, nama ditukar kepada Felda Kampung New Zealand sebagai penghargaan kepada bantuan kerajaan New Zealand dalam pembukaan tanah rancangan Felda, melalui Rancangan Colombo.
"Bantuan termasuk pembangunan ekonomi, sosial dan tenaga pakar teknikal dari New Zealand," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram