
TINDAKAN pantas seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menggunakan teknik Heimlich berjaya menyelamatkan nyawa seorang wanita yang tercekik biji boba.
Insiden pada 8 Ogos lalu itu berlaku di sebuah restoran hotpot baharu dekat Daerah Huanggu, Shenyang, China.
Berdasarkan laporan Televisyen Pusat China (CCTV), pada awalnya wanita berkenaan sedang menikmati hidangan di restoran apabila merasakan makanannya agak pedas lalu memutuskan untuk meneguk sedikit teh susu boba bagi meredakan kepedasan.
BACA LAGI: Kanak-kanak tercekik gummy eye ball di Pulau Pinang meninggal dunia
Namun, malang baginya apabila beliau tercekik biji boba sehingga menyukarkannya untuk bernafas.
Keadaan semakin membimbangkan selepas bibir wanita itu bertukar ungu walaupun rakannya beberapa kali menepuk belakang badannya bagi mengeluarkan biji berkenaan.
Sementara itu, menurut laporan Liaoning Daily, wanita tersebut sempat memberi isyarat supaya dilakukan teknik Heimlich, namun tiada seorang pun pengunjung di sekitar yang mengetahui caranya.
Selepas menyedari kecemasan tersebut, seorang pelatih muda pertolongan cemas di bawah Persatuan Palang Merah Liaoning, Hu Zihan tampil membantu.
Dengan tenang, Zihan melingkarkan tangannya di pinggang wanita terbabit dan melakukan beberapa hentakan abdomen.
Usaha itu berhasil apabila tiga biji boba terkeluar dalam masa 30 saat, sekali gus membolehkan mangsa kembali bernafas.
Wanita berkenaan kemudian memeluk dan mengucapkan terima kasih kepada Zihan atas keberaniannya, sementara pengunjung lain yang menyaksikan kejadian bertepuk tangan mengagumi tindakannya.
“Tepukan daripada semua orang membuatkan saya berasa bangga dan terharu.
"Pada saat itu saya sedar betapa hebatnya anak kecil ini kerana berjaya menyelamatkan nyawa seseorang. Ia benar-benar bermakna,” kata ibu Zihan menambah teknik itu baru dipelajari anaknya pada 1 Ogos lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram