[VIDEO] Dari bisnes 'cupcake' berkembang ke Pasar Seloka, siap siaga tembus Korea Selatan dengan Seouloka


  • Sukses
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Dari kiri: Fitriyah, Dzurina dan Pengasas Bersama Pasar Seloka, Haliza Halim berharap agar Pasar Seloka dapat menjadi legasi yang terus memberi inspirasi kepada generasi baharu.

SEBUT sahaja Pasar Seloka, pasti terbayang suasana meriah dipenuhi vendor lokal, muzik jalanan, aroma kopi segar dan jenama kreatif anak tempatan yang berkembang pesat di bawah satu bumbung komuniti.

Namun mungkin tidak ramai mengetahui bahawa pasar yang kini menjadi ikon gaya hidup urban itu bermula hanya daripada jualan kek cawan oleh seorang pereka grafik juga penulis blog.

Selepas lebih sedekad, Pasar Seloka kini menjadi salah satu platform kreatif tempatan paling berpengaruh dalam mengangkat jenama lokal ke persada lebih luas.

BACA LAGI: [VIDEO] Roti jala sihat dan warna-warni, resipi bekas akauntan raih jualan 5 angka, tarik pelanggan Indonesia, Singapura

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah hilang motivasi sebab 'makcik bawang', kasut, beg tangan Christy Ng kini jengah pasaran Indonesia

Bersua muka bersama tiga figura penting di sebalik nama Pasar Seloka, ternyata banyak yang hendak diceritakan mereka.

Berkongsi perjalanan awal, pengasas bersama Pasar Seloka, Dzurina Dzulkhaini berkata, segalanya bermula pada 2006 apabila mereka membuka kafe Wondermilk selepas sambutan luar biasa terhadap jualan kek cawan, yang pada mulanya hanya dibuat sekadar suka-suka dari rumah.

Dari kafe kecil itu, lahirlah idea untuk menganjurkan pasar komuniti.

Bermula dengan pelbagai nama seperti Pasar Ahad, Family Market dan Kids Market, sehinggalah pada 2012 jenama Pasar Seloka diperkenalkan.

Ujar Dzurina (tengah), pemilihan nama Pasar Seloka turut diilhamkan daripada lagu nyanyian penyanyi Hail Amir.

Menurut Dzurina, pasar itu terus berkembang sebagai ruang untuk vendor kecil, pereka tempatan dan artis kreatif memperkenalkan karya mereka.

“Ini bukan sekadar pasar, ia adalah komuniti. Ramai vendor bersama kami dari awal, bermula kecil-kecilan, kini ada yang sudah mempunyai kedai sendiri,” katanya kepada Majoriti.

Pemilihan nama itu sendiri, ujar beliau, turut diilhamkan daripada lagu nyanyian penyanyi Hail Amir.

Jenama tersebut lahir semasa penganjuran acara hari raya yang ketika itu menjadi pasar paling meriah pernah dianjurkan mereka.

“Daripada semua pasar yang pernah dibuat, Pasar Seloka yang paling ramai orang datang.

"Dari situlah kami tetapkan nama Pasar Seloka untuk semua acara selepas itu,” jelasnya menambah setiap lokasi akan ditetapkan tema yang berlainan.

Sehingga hari ini, lebih 1,000 vendor telah bersama Pasar Seloka termasuk nama-nama gah seperti Whimsigirl, Hani Mokhta dan CalaQisya.

Malah, pengaruhnya kini merentasi sempadan apabila pasar edisi raya, Raya Sejiran turut dianjurkan di Singapura, pada Mac lalu.

Pada awalnya, semua hal dilakukan secara sendiri termasuk mencari tempat dan mengecat dekorasi. — Instagram/pasarseloka

Suara Markas

Sejak diperkenalkan pada 2012, Pasar Seloka tampil dengan pelbagai variasi acara bertema seperti Weekend Picnic, Holiday Market dan edisi khas Merdeka.

Meski format berubah-ubah, identiti 'seloka' kekal menjadi payung utama setiap penganjuran.

Namun tahun ini, fokus sedikit berbeza. Mereka mahu memberi tumpuan pada projek baharu yang dinamakan Suara Markas, platform kreatif khusus untuk penggiat seni dan pereka tempatan.

Bakal dilancarkan pada 23 Ogos depan sebagai acara perintis, Suara Markas turut menampilkan empat jenama fesyen tempatan yang berkongsi pengalaman cabaran dan kegagalan dalam membangunkan perniagaan.

Bercerita lanjut, graduan dalam bidang grafik tersebut berkata, acara itu dijalankan dengan konsep circular funding, harga tiket disalurkan kembali kepada vendor dan artis.

"Setiap tiket bernilai RM50 yang dibeli pengunjung tidak masuk ke poket penganjur, sebaliknya diagihkan kembali kepada vendor dan artis terlibat.

“Vendor menyediakan makanan dan kopi, manakala artis yang tampil membuat persembahan dibayar melalui dana tersebut. Ia betul-betul sebuah acara komuniti,” bicaranya penuh teruja.

Suara Markas ialah platform kreatif khusus untuk penggiat seni dan pereka tempatan. — Instagram/pasarseloka

Independent

Sementara itu, Pengarah Projek, Fitriyah Yunus berkata, berbeza dengan penganjuran acara kreatif lain, Pasar Seloka dibina sepenuhnya secara sendiri tanpa bergantung pada sebarang geran atau sokongan kewangan luar.

Semuanya dilakukan secara sendiri, termasuk mencari tempat, menyewa ruang dan mengecat dekorasi.

“Kotak-kotak dan tin semuanya kami cat sendiri,” katanya yang menyertai pasukan Pasar Seloka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keadaan itu akuinya, pernah membuat mereka penat, namun semangat untuk terus memberi ruang kepada komuniti vendor tempatan membuatkan kesemuanya tetap bertahan.

Pasar Seloka berusaha membantu dan mengangkat jenama tempatan. — Instagram/pasarseloka

Banjir

Perjalanan menganjurkan pasar kreatif itu tidak pernah sepi daripada cabaran.

Cerita Dzurina, antara kenangan yang kekal dalam ingatan adalah ketika penganjuran di Starling Mall, Petaling Jaya, Selangor sewaktu bencana banjir melanda.

“Waktu itu banjir teruk sampai kereta vendor tenggelam. Ramai tak dapat masuk, ada yang marah kerana mereka sendiri terkandas.

"Namun acara perlu diteruskan juga kerana terikat dengan komitmen sewa lokasi,” kongsinya selain menambah PKP juga menjadi pengalaman getir buat mereka.

Menurut Dzurina lagi, perubahan positif mula dirasai sejak tahun lalu apabila Pasar Seloka berkolaborasi dengan rakan kongsi baharu yang membawa kepakaran dalam bidang pengurusan dana dan geran.

“Sekarang kami diajar cara cari dana dan cara urus geran. Kita dah pandai sikit jadi beban itu sedikit berkurang,” jelasnya tertawa kecil.

Seouloka

Selepas berjaya menempatkan diri sebagai salah satu pasar kreatif paling digemari di Malaysia, Pasar Seloka kini melangkah setapak lagi dengan perancangan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Selepas Singapura, destinasi seterusnya yang sedang giat diusahakan ialah Seoul, Korea Selatan, pada 27 dan 28 September ini.

Ujar Fitriyah, seramai 10 vendor tempatan dijangka menyertai program kali ini, dengan tumpuan pada produk fesyen dan kraf.

Beliau menambah, perancangan membawa Pasar Seloka ke Korea bukan sekadar ekspo jualan biasa, tetapi turut menjadi medan pembelajaran buat para penggiat kreatif tanah air.

“Kami mahu vendor merasai sendiri pengalaman di luar negara. Korea sangat maju dalam aspek visual merchandising, pemasaran kreatif dan idea luar kotak.

"Sekembalinya ke Malaysia, jenama mereka akan tampil lebih segar dan berdaya saing,” jelasnya.

Buat julung kali, acara Seouloka turut mendapat sokongan rasmi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menjadikan Pasar Seloka sebagai platform pertama yang mewakili Malaysia dalam bentuk festival kreatif di Seoul.

Acara Seouloka turut mendapat sokongan daripada MOTAC. Instagram/dzurinadzulkhaini

Lebih menarik, penganjuran itu bukan sahaja memberi peluang pameran, malah dijadikan sebagai 'study trip' untuk mempelajari cara pengurusan pasaran di luar negara.

“Kami juga belajar tentang peraturan, geran dan keperluan dana. Ia pengalaman yang membuka mata, seolah-olah kembali ke sekolah untuk mempelajari cabaran sebenar membawa jenama ke luar negara,” ungkapnya.

Bagi mereka, kekuatan Pasar Seloka terletak pada niat asal membantu dan mengangkat jenama tempatan.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, mereka menyuarakan harapan agar Pasar Seloka dapat menjadi legasi yang terus memberi inspirasi kepada generasi baharu.

“Kami mahu Pasar Seloka kekal sebagai platform kreatif, bukan sekadar tempat membeli-belah.

"Setiap kali hadir, pengunjung akan pulang dengan inspirasi baharu, sama ada untuk memulakan jenama sendiri, membuka kelas seni atau membina perniagaan kreatif,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram