
PLATFORM kembara mesra Muslim, Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) memperkenalkan pendekatan terkini yang dirangka khusus untuk memenuhi keperluan serta gaya hidup pengembara moden beragama Islam.
Dalam majlis pelancaran eksklusif yang menghimpunkan wartawan, editor, pencipta kandungan dan penulis kembara pada Selasa, ikhlas.com mempersembahkan konsep pelancongan berteraskan nilai mampu milik, keterangkuman dan keselesaan, dengan menawarkan pakej yang dirangka rapi, mekanisme tempahan digital mudah serta itinerari menyeluruh dan mesra Muslim.
Daripada penginapan dan sajian halal atau mesra Muslim, hinggalah ke hentian solat yang selesa dan pengalaman budaya tempatan autentik, platform itu dijangka mengubah cara umat Islam meneroka dunia.
BACA LAGI: 'Solo travel' terapi jiwa Zahirah, negara iklim panas jadi pilihan destinasi kembara
Ikhlas berkata, pelancongan kini melibatkan pengisian rohani dan hubungan sesama manusia.
“Pelancongan adalah tentang perhubungan dan muhasabah diri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin, pelancongan kini tidak lagi semata-mata soal destinasi, tetapi melibatkan pengisian rohani dan hubungan sesama manusia.
“Pelancongan adalah tentang perhubungan dan muhasabah diri.
"Di sini, kami mahu tetamu pulang dari kembara dengan hati yang lebih tenang dan pengalaman bermakna, lengkap dengan keselesaan dan kemudahan sebagai seorang beragama Islam,” katanya.
Tambah beliau, semua pakej pelancongan ikhlas.com direka oleh pakar-pakar berpengalaman yang pernah menjelajah ke destinasi tersebut.
Pemandu pelancong pula bukan sahaja fasih berbahasa tempatan, malah mengetahui lokasi ‘rahsia’ yang unik dan menarik.
"Ini termasuk kafe tular, pasar barangan terpakai dan hentian halal yang tidak biasa dimasukkan dalam itinerari konvensional," jelasnya.
Sekitar majlis pelancaran eksklusif yang menghimpunkan wartawan, editor, pencipta kandungan dan penulis kembara pada Selasa.
Bagi memastikan keselesaan maksimum, setiap kumpulan pelancongan dihadkan pada saiz kecil dengan perhatian khusus kepada warga emas dan keluarga yang membawa anak kecil.
Menurut beliau, keperluan solat turut diutamakan, dengan jadual perjalanan fleksibel dan lokasi solat yang sesuai disediakan antara setiap aktiviti.
"Semua hidangan ditawarkan dalam perjalanan pula diperakui halal, mesra Muslim atau berstatus vegetarian.
"Ia juga disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh pasukan ikhlas.com," maklum beliau.
Jelas Ikhlas lagi, tempahan turut dipermudah sepenuhnya secara dalam talian, membolehkan pelanggan berunding, menyerahkan dokumen dan membuat pembayaran secara digital.
Malah katanya, mata ganjaran AirAsia Rewards boleh ditebus untuk tempahan pakej pelancongan.
“Kami juga pada hari ini (Selasa) melancarkan ciri baharu Travel Guide interaktif dalam aplikasi ikhlas.com.
"Ciri tersebut turut menyediakan maklumat tempatan, tip makanan halal, kadar tukaran wang asing, cuaca semasa serta artikel khas untuk setiap destinasi,” tambah Ikhlas lagi.
Ikhlas.com menyediakan lokasi hentian solat yang selesa buat pengembara beragama Islam.
Sebelum berangkat, pelanggan akan menerima taklimat digital praperjalanan merangkumi senarai semak, panduan solat, ringkasan itinerari dan tip navigasi untuk aktiviti bebas.
Blog terperinci yang disediakan turut membolehkan pelanggan membuat keputusan berdasarkan sorotan destinasi, ulasan makanan halal dan pecahan harga bagi aktiviti pilihan.
Sempena pelancaran semula jenama ikhlas.com, platform itu turut menawarkan promosi menarik seperti beli satu percuma satu untuk percutian peribadi dalam Asia Tenggara.
"Diskaun RM1,000 untuk tempahan dua orang ke destinasi luar Asia Tenggara turut ditawarkan.
"Selain itu, terdapat juga diskaun sehingga RM2,000 bagi tempahan berkumpulan (empat orang) ke destinasi popular seperti Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram