Lamborghini Temerario tampil unik 400 pilihan warna, ruang dalam futuristik ibarat kokpit jet pejuang


  • Gaya
  • Rabu, 16 Jul 2025

Lamborghini Temerario tampil lebih garang dengan rekaan aerodinamik dan 400 pilihan warna menarik..

TAMPIL rekaan bentuk radikal dan teknologi serba canggih, Lamborghini Temerario kini memiliki lebih 400 pilihan warna menjadikan ia antara super car paling premium pernah dihasilkan jenama Itali itu.

Sekilas pandang, Temerario mewarisi DNA Lamborghini yang ikonik dengan garisan tajam, imej aerodinamik dan hidung ala jerung yang menyerlahkan identitinya sebagai jentera berprestasi tinggi.

Namun, paling mencuri tumpuan adalah keunikan lampu nyalaan siang (DRL) heksagon baharu yang bukan sekadar hiasan, tetapi turut mengandungi sensor radar dan terowong udara aerodinamik.

BACA LAGI:[VIDEO] Dari ladang tebu ke ladang kenaf, Perlis anugerah terindah buat sang pengembara

BACA LAGI:[VIDEO] Di sebalik dominasi Musang King dan Black Torn, 'Durian AI' bakal tiba di pasaran

Temerario boleh ditempah terdiri daripada pelbagai pilihan warna menarik.

Reka bentuk menawan, ikonik sejak 1960-an

Konsep heksagon menjadi tunjang reka bentuk Temerario bermula dari bentuk lampu, salur udara sisi, lampu belakang sehinggalah ke ruang ekzos heksagon yang unik. 

Ciri itu bukan sekadar pembaharuan, malah bantu meningkatkan kecekapan penyejukan sistem brek dan prestasi aerodinamik secara keseluruhan.

Tambahan pula, Temerario hadir dengan dua warna baharu eksklusif: Blu Marinus (biru) dan Verde Mercurius (hijau), sambil menawarkan lebih 400 pilihan warna badan dan 'livery' (grafik pada badan) khas menerusi program 'Personam Lamborghini'.

Ruang dalaman seperti kokpit jet pejuang

Menjanjikan pengalaman pemanduan berbeza, Lamborghini Temerario bagaikan sebuah jet pejuang canggih yang meletakkan segala kawalan penting dalam capaian pemandu pada bahagian stereng kereta tersebut.

Tanpa perlu bergerak jauh dari posisi duduk ideal, konsol tengah direka ergonomik dengan ruang simpanan untuk telefon pintar dan dompet manakala butang mula atau berhenti serta tuil e-gear menambahkan lagi pesona futuristik pada edisi terbaharu itu.

Ruang dalam Temerario diperbaharui dengan reka bentuk lebih futuristik dan mewah

Material digunakan juga menepati piawaian 'super car' mewah dengan gabungan kulit, karbon dan mikrofiber Corsatex yang turut dilengkapi pelbagai komponen dalaman dengan pilihan jenis kemasan gentian karbon di bahagian papan pemuka, stereng dan panel pintu.

Pakej 'Alleggerita': 25kg lebih ringan, pantas

Lamborghini turut menawarkan pakej Alleggerita membawa maksud ringan, khas buat peminat litar lumba dengan berat kereta 25 kilogram (kg) lebih ringan.

Ciri itu juga meningkatkan prestasi aerodinamik dengan penambahan sebanyak 67 peratus beban aerodinamik, menjadikan Temerario lebih stabil pada kelajuan tinggi.

Rim hadapan bersaiz 20 inci berupaya memacu perjalanan lebih lancar khususnya pemanduan di litar lumba.

Rim pula hadir dalam saiz 20 inci di bahagian depan dan 21 inci (belakang) dan kesemuanya tersedia dalam pelbagai pilihan warna menarik.

Bukan sekadar keluaran baharu, Lamborghini Temerario adalah manifestasi keberanian dan sebuah kereta yang menjanjikan pengalaman unik buat pemandu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram