'Solo travel' terapi jiwa Zahirah, negara iklim panas jadi pilihan destinasi kembara


  • Relaks
  • Rabu, 30 Apr 2025

Bagi Zahirah, mengembara juga merupakan proses penyembuhan jiwa. — Instagram/merantau_dunia

DUNIA mengembara semakin menjadi ruang kebebasan dan penemuan diri bagi wanita moden.

Jika dahulu aktiviti menjelajah ke pelosok dunia sering dikaitkan dengan lelaki atau berkumpulan, kini lebih ramai wanita memilih untuk solo travel sebagai satu bentuk mengekspresi keberanian sekali gus mengatasi ketakutan.

Bagi pengembara solo di sebalik nama 'Merantau Dunia', Zahirah Yasmin Muhammad Munjit berpendapat bahawa mengembara bukan sekadar melawat tempat baharu, tetapi merupakan proses penyembuhan jiwa.

BACA LAGI:[VIDEO] Travel solo ke Jepun, wanita terkejut temui lelaki sembunyi bawah katil di bilik hotel

BACA LAGI: Pengalaman 'travel' penuh drama! Selebriti, pempengaruh kongsi pernah ditipu, sesat

Mendaki Gunung Rinjani pengalaman paling diingati dan manis buat Zahirah. — Instagram/merantau_dunia

Menariknya, beliau lebih gemar memilih negara yang beriklim panas, berbeza berbanding majoriti individu yang lebih suka cuaca sejuk.

“Saya suka negara panas. Saya tak boleh tahan sejuk,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, beliau mula mengembara selepas pulang ke tanah air dari New Zealand pada 2021 ketika pandemik Covid-19 menyekat pergerakan ke luar negara.

"Disebabkan tidak boleh ke luar negara semasa pandemik, saya rasa macam ada potensi jika cipta kandungan di media sosial.

"Jadi, saya melancong ke seluruh Malaysia dan dari situlah bermulanya perjalanan saya merantau dunia," jelas wanita berusia 28 tahun itu.

Tahun lalu sahaja, Zahirah mengembara ke 13 buah negara kebanyakannya melibatkan negara di Asia Tengah.

Berkongsi pula mengenai pengalaman yang sukar dilupakan, beliau berkata, pengalaman mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia pada Julai tahun lalu secara solo menguatkan keyakinannya terhadap kemampuan diri.

“Selepas mendaki, saya baru sedar yang saya sebenarnya boleh lakukan sendiri,” ujarnya.

Tahun ini, Zahirah menyambut Syawal di Pakistan yang merupakan salah satu impiannya untuk meraikan hari raya di negara Muslim. — Instagram/merantau_dunia

Zahirah turut menyentuh soal sokongan keluarga. Bergelar anak bongsu dalam keluarga, tidak dinafikan mengembara secara solo menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapanya.

Pun begitu, mereka memahami sifat berdikarinya yang sudah mula hidup sendiri sejak usia 17 tahun.

“Saya bernasib baik, ibu bapa saya sokong walaupun mereka risau,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan destinasi yang ingin diterokanya lagi, beliau memilih untuk pergi ke negara-negara Amerika Tengah berikutan terdapat beberapa gunung di sana.

"Yang memang dalam senarai saya ialah negara di Amerika Tengah sebab ada beberapa gunung yang saya nak daki seperti di Patagonia," ujarnya.

Beliau turut berkongsi negera-negara 'underrated' yang patut dijelajah oleh 'kaki travel'.

"Bagi saya, negera-negara di Asia Tengah seperti Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Pakistan kurang mendapat perhatian. Apabila sebut keindahan semula jadi, orang selalu terbayang New Zealand.

"Tetapi selepas mengembara ke sana, baru sedar yang mereka ada lebih banyak untuk ditawarkan berbanding apa yang dipaparkan di media sosial," katanya.

Buat wanita yang ingin mula mengembara sendiri, nasihat Zahirah cukup jelas.

“Buat sahaja. Apabila anda dah buat, baru anda tahu anda suka ke tak. Kalau tak buat, macam mana nak tahu?," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagram,WhatsApp Channel dan Telegram