
INDIVIDU yang merancang melancong ke luar negara disarankan untuk memaklumkan pergerakan mereka kepada Kementerian Luar Negeri (KLN) atau Wisma Putra sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya golongan wanita dan pelancong solo.
Berperanan sebagai bantuan kecemasan dan insiden tidak diingini ketika di negara asing, masih ramai belum cakna akan kepentingan langkah tersebut bahkan, ada pihak memandang rendah hal itu.
Berkongsi maklumat di laman Threads, @MassMadsnat menjelaskan orang ramai boleh mendaftar perjalanan mereka dengan pihak Wisma Putra, sama ada melalui emel atau aplikasi rasmi e-Konsular.
BACA LAGI: [VIDEO] Hargai pengorbanan suami, isteri Aaron Aziz kongsi kisah penghijrahan sekeluarga ke Malaysia
BACA LAGI: Nafi diarah bayar RM8.3 juta, dakwaan cuai kelahiran bayi pra matang kejadian 22 tahun lalu — HIAZ
Langkah itu bertujuan bagi memudahkan pihak kedutaan Malaysia memberi bantuan sekiranya diperlukan.
"Kalau kita travel overseas, adalah baik untuk register ke Kementerian Luar Negara (KLN) Wisma Putra ya.
"Tujuannya tentulah memudahkan kalau terjadi apa-apa (minta dijauhkan) di negara tersebut, melainkan kalau memang tak nak orang tahu awak berada di mana," katanya.
Antara maklumat perlu dimaklumkan kepada Wisma Putra:
1. Nama dan maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan atau pasport serta nombor telefon.
2. Tarikh perjalanan, berlepas dan pulang.
3. Maklumat penerbangan seperti nombor pesawat dan syarikat penerbangan.
4. Lokasi penginapan, nama dan alamat hotel akan didiami.
5. Atur cara ringkas perjalanan, lokasi atau bandar yang akan dilawati.
6. Nombor untuk dihubungi ketika kecemasan sama ada individu di Malaysia atau kenalan di negara yang dilawati.
Segala maklumat tersebut boleh dihantar ke emel rasmi Wisma Putra, [email protected] atau terus dimasukkan melalui aplikasi e-Konsular yang direka khusus untuk memudahkan rakyat Malaysia merekodkan butiran perjalanan mereka ke luar negara.
Dalam pada itu, pendaftaran perjalanan membolehkan pihak kedutaan atau pejabat suruhanjaya tinggi Malaysia mengenal pasti lokasi dan status rakyat tempatan dengan lebih pantas jika berlaku bencana alam, rusuhan, penularan wabak atau situasi krisis lain.
Wanita terutamanya individu yang melancong sendirian atau dalam kumpulan kecil, sangat digalakkan mendaftar sebagai langkah keselamatan tambahan.
Walaupun aplikasi e-Konsular sudah lama diperkenalkan, tahap kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah dan ramai yang menganggap proses tersebut sebagai rumit dan menyukarkan.
Namun, dalam situasi tidak dijangka seperti penutupan sempadan, rampasan kuasa, serangan pengganas atau kehilangan individu, maklumat-maklumat diberikan boleh menjadi penyelamat tanpa diduga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram