
BERMODALKAN hanya 160 pound sterling (RM925) dan semangat luar biasa, seorang wanita muda dari British berjaya mencipta jenama minuman berkarbonat yang kini dikatakan menyaingi Coca-Cola.
Aykiz Shah, 27, melancarkan jenama Salaam Cola pada Oktober 2023 tanpa sebarang dana luar, hanya dengan pelaburan kecil untuk menghasilkan tin-tin sampel sebagai permulaan, di rumahnya.
Kurang dua tahun selepas itu, lebih 1.9 bilion tin terjual di 16 negara merentasi empat benua.
BACA LAGI: Meski sibuk urus 3 kerja, ibu tunggal tawar sarapan percuma buat budak-budak flat
Produk yang dihasilkan dengan kos sekitar 0.66 pound sterling (RM4) setiap tin itu dijual pada harga mesra pengguna iaitu 1 pound sterling (RM6).
Dalam tempoh setahun, jenama tersebut mencatatkan perolehan 6 juta euro (RM30 juta) di Eropah, termasuk 1.6 juta pound sterling (RM9 juta) jualan di United Kingdom (UK) sahaja.
Menggunakan kepakaran dalam pembangunan resipi industri minuman, Aykiz menghasilkan formula unik bebas aspartame (pemanis tiruan), sambil bekerjasama dengan sebuah kilang di Turkiye.
“Saya takkan masukkan sesuatu yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai,” tegas ibu kepada tiga cahaya mata itu yang menetap di Brentford, London Barat.
Misi kemanusiaan
Jenama Salaam Cola mendapat perhatian meluas hasil promosi aktif melalui TikTok dan Instagram, di samping misi kemanusiaan yang membantu rakyat Palestin terkesan akibat konflik dan penindasan.
Gabungan mesej sosial dan nilai murni yang diangkat jenama tersebut menyebabkan ia mudah diterima pelbagai lapisan masyarakat, bukan hanya komuniti Islam.
Nama ‘Salaam’ sendiri diambil daripada ucapan salam yang lazim dalam dunia Islam, membawa maksud damai.
“Saya fikir ia hanya akan disokong masyarakat Islam tapi sebaliknya semua orang sokong.
Antara rangkaian minuman ringan di bawah jenama Salaam Cola. — Agensi
"Daripada pengedar beragama Islam hingga bukan, semua percaya pada mesej yang kami bawa,” ujarnya yang turut menubuhkan institusi pendidikan pelajar beragama Islam, Al-Salaam Academy.
Kini, Salaam Cola hadir dalam pelbagai versi rasa untuk memenuhi cita rasa antarabangsa dan setiap varian dikaitkan dengan projek bantuan untuk negara tertentu.
Misalnya Salaam Cola adalah untuk menyokong Palestin, Seriously No Sugar: Versi diet, bantu Syria; Yemonade: sokong kanak-kanak di Yaman dan Lebanorange: produk khas bantu Lubnan.
Kebajikan
Salaam Cola bukan sekadar produk, ia juga satu gerakan kemanusiaan.
Sebanyak 10 peratus keuntungan disalurkan terus ke badan amal, termasuk lebih 250,000 pound sterling (kira-kira RM1 juta) dari jualan UK tahun lalu sahaja.
Aykiz berkata, mereka turut terlibat secara langsung dalam projek amal bersama badan Muslims in Need, termasuk membina sekolah, menaja anak yatim, menyediakan bantuan perubatan dan membuka dapur komuniti di negara-negara yang dilanda krisis.
“Bukan hanya beri dana, kami juga turun padang. Di Syria, kami taja persekolahan anak yatim.
"Di Yaman, kami sediakan makanan. Di Mesir, kami bantu kanak-kanak Palestin yang mengalami kecederaan teruk,” katanya.
Aykiz bersama anak-anaknya di gudang pengedaran Salaam Cola miliknya. — Agensi
Dapur rumah
Walaupun sudah menggaji pekerja kedua pada Ogos 2024, Aykiz masih menjalankan operasi dari dapur rumahnya.
Malah, beliau mengakui terpaksa berjaga malam disebabkan perlu menghadiri mesyuarat dengan pelanggan di Kanada dan Amerika Syarikat (AS).
Dek permintaan meletup secara tiba-tiba, usahawan berkenaan hanya mampu tidur dua hingga tiga jam sehari pada peringkat awal.
“Saya tak tahu bagaimana saya berjaya tapi percaya ini semua perancangan Tuhan,” katanya yang turut mendapat sokongan suaminya, Mohammad, 36.
Sebagai wanita beragama Islam dengan penampilan berhijab dan berpurdah, kejayaan Aykiz menjadi simbol pemecah stereotaip dalam industri minuman yang lazimnya didominasi lelaki.
“Saya berpakaian konservatif tapi orang masih suka produk dan bekerja dengan saya.
"Ini bermakna saya dinilai atas apa yang dihasilkan, bukan bagaimana saya kelihatan,” tutur beliau.
Beliau berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk mengejar impian tanpa batasan penampilan atau jantina. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram