
SABRINA Bahsoon, personaliti yang terkenal di media sosial kini sedang mengorak langkah berani ke dalam dunia muzik dengan penampilan sebagai penyanyi.
Dikenali dengan gelaran Tube Girl, Sabrina bukan hanya seorang pencipta kandungan, tetapi juga model dan kini artis muzik yang mula meniti puncak populariti.
Dilahirkan di Malaysia dan kini menetap di London, Sabrina mencuri perhatian ramai dengan personaliti uniknya di platform media sosial seperti Instagram dan TikTok.
BACA LAGI: Bintang A-list di resepsi Lauren Sanchez, kahwini Jeff Bezos, lelaki terkaya dunia
Dengan gaya hidup yang penuh bergaya, wanita berusia 26 tahun itu tidak hanya menghiburkan pengikutnya dengan video kreatif, malah memberi inspirasi tentang keyakinan diri dan mengambil pendekatan romantisisme dalam kehidupan seharian.
Namun, populariti Sabrina tidak terhenti di situ. Beliau kini meneroka kerjaya baharu dalam industri muzik dengan melancarkan single pertama berjudul MINE pada 30 November tahun lalu.
Melalui akaun Instagramnya, Sabrina berkongsi pelbagai visual menarik yang memaparkan gaya fesyen rockstar, dengan penampilan seperti jaket kulit hitam, skirt mini dan aksesori yang menggambarkan sisi edgy dan berani dirinya.
Pada tahun ini pula, wanita itu tampil dengan single kedua berjudul Not My Kind pada Mac lalu.
Antara selebriti yang pernah berkolaborasi bersama Sabrina untuk konten 'Tube Girl' adalah Nelly Furtado.
Sebelum mencipta nama dalam dunia muzik, Sabrina dikenali sebagai wajah di sebalik banyak kandungan kreatif di media sosial dan pernah juga menjadi duta bagi beberapa jenama ternama, termasuk MAC Cosmetics.
Walaupun masih aktif dalam dunia media sosial dan pemasaran, langkah Sabrina untuk menyertai industri muzik menunjukkan bahawa beliau kini lebih banyak fokus kepada projek seni.
Gelombang tarian
Jika aktif di TikTok, pasti sebelum ini anda pernah menonton seorang pencipta kandungan muda yang menari dengan penuh keyakinan di dalam gerabak tube London Underground, seolah-olah tiada siapa yang melihat.
Sabrina sama sekali tidak menyangka, rakaman pada Ogos 2023 yang dimuat naik media sosial itu bakal mengubah hidupnya.
Video itu bukan sahaja mendapat perhatian ramai, tetapi turut mencetuskan gelombang tarian yang kemudian menjadi fenomena di seluruh dunia.
Sabrina, yang dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia dengan darah kacukan Lubnan dan Sierra Leone, berpindah ke London pada usia 16 tahun untuk melanjutkan pelajaran A-level.
Sebelum terjun ke dunia media sosial, Sabrina pernah menjadi atlet di Malaysia dan menghadiri kolej sukan.
Tidak hanya menguasai dunia digital, Sabrina kini berjaya merealisasikan impian fesyennya di pentas-pentas peragaan antarabangsa.
Lebih membanggakan, impak Sabrina kini dirasai di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, tanah kelahirannya.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram