Roda bagasi 58 kali lebih kotor berbanding tandas awam, pakar kongsi alternatif elak 'travel' bersama kuman


  • Nomad
  • Isnin, 30 Jun 2025

Bahagian roda merupakan kawasan paling kotor kerana sentiasa bergesel dengan permukaan tercemar. — Agensi

RODA bagasi pakaian yang sering menjadi teman setia setiap kali melancong, rupa-rupanya boleh menjadi pembawa kuman paling ekstrem, malah 58 kali lebih kotor daripada tempat duduk tandas awam.

Penemuan mengejutkan itu didedahkan menerusi satu kajian oleh syarikat insurans pelancongan, InsureandGo, yang menjalankan ujian bakteria terhadap beberapa bahagian utama beg pakaian termasuk roda, bawah beg dan pemegang troli.

Ahli mikrobiologi, Amy-May Pointer yang terlibat dalam kajian tersebut menjelaskan, bahagian roda merupakan kawasan paling kotor kerana sentiasa bergesel dengan permukaan tercemar seperti jalan tar dan lantai tandas awam.

BACA LAGI: Bimbangkan keselamatan jika melancong bersendirian, empat pengembara solo wanita kongsi pengalaman dan panduan

BACA LAGI: Bekerja sambil melancong, potensi perkembangan industri bleisure di Malaysia

“Roda beg pakaian anda mungkin menyimpan lebih banyak bakteria daripada tempat duduk tandas awam. Bahagian bawah beg pun tidak jauh bezanya.

"Spora kulapuk hitam (kulat) turut dikesan ‘menumpang’ pada bagasi milik pelancong," katanya.

Amy menyifatkan beg pakaian, khususnya roda dan bahagian bawahnya sebagai 'magnet kuman' yang jauh lebih kotor berbanding tandas awam.

Namun begitu, beliau menegaskan, kebersihan beg masih boleh dikawal dengan amalan mudah tetapi konsisten.

Bagi mengurangkan risiko penyebaran bakteria, Amy berkongsi beberapa langkah praktikal yang boleh diamalkan semua pengembara:

1. Simpan dengan betul

Gunakan rak bagasi yang disediakan di hotel. Jika tiada, tutup roda dengan topi mandi plastik untuk mengelakkan bakteria merebak ke permukaan karpet atau cadar bilik.

2. Elakkan kawasan tercemar

Elakkan daripada menyorong beg melalui lopak air, tanah berlumpur atau kawasan yang jelas kotor. 

“Semakin kurang kekotoran yang dipungut roda anda, semakin sedikit risiko jangkitan,” kata Amy.

Jika tidak dibersihkan dengan betul, kuman boleh pulang bersama anda, terus ke atas katil. — Agensi

3. Basuh tangan selepas angkat beg

Pemegang troli juga berisiko tinggi menyerap kuman. Oleh itu, pastikan tangan dicuci dengan sabun atau cecair pembasmi kuman setiap kali selepas mengendalikan bagasi.

4. Lap beg sebaik tiba di rumah

Gunakan tisu pembasmi kuman atau kain basah dengan sabun untuk membersihkan seluruh permukaan beg, terutamanya kawasan bawah dan roda.

5. Bersihkan bahagian boleh tanggal

Untuk beg dengan roda boleh tanggal, rendam dalam air sabun suam. 

Bagi beg keras, lap dengan larutan peluntur ringan, manakala beg fabrik boleh disedut menggunakan vakum atau digosok dengan kain. 

Serbuk penaik turut disarankan untuk menghilangkan kulapuk.

Kajian itu memberi peringatan bahawa walaupun beg pakaian kelihatan bersih dari luar, ia sebenarnya boleh menjadi pembawa senyap bakteria berbahaya.

Justeru jika tidak dibersihkan dengan betul, kuman boleh travel' pulang bersama anda, terus ke atas katil dan meja makan rumah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram