MEMULAKAN operasi sejak 2005, Tini's Spa terus mencuri tumpuan sebagai salah satu pusat spa dan kecantikan khusus untuk wanita di sekitar Lembah Klang.
Namun tak ramai yang tahu, di sebalik kejayaan membina jenama spa tersendiri, ada liku-liku yang perlu ditempuh pemiliknya, Hartini Halim dalam membina empayar perniagaan kecantikannya.
Berasal dari Petra Jaya, Kuching, Sarawak, usahawan berusia 46 tahun itu memulakan perjalanan sebagai graduan teknologi maklumat (IT) sebelum terjun ke bidang spa yang kini semakin popular dalam kalangan wanita kota.
BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung
Akuinya, keputusan menubuhkan perniagaan sejak 20 tahun lalu banyak didorong oleh susuk seorang lelaki bergelar suami.
Kongsi Hartini, ketika itu, dia masih bekerja di sebuah kolej swasta dekat Shah Alam di jabatan akademik sebelum suaminya, Shah Rizan Ahmad, 46, menyarankan agar mereka memulakan perniagaan sebelum komitmen kewangan meningkat.
“Suami pernah kata, sebelum ada banyak komitmen, lebih baik kami mulakan perniagaan.
"Saya pun setuju sebab kami masih muda dan peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu lebih terbuka,” katanya kepada Majoriti.
Urutan aromaterapi antara rawatan yang disediakan di Tini's Spa.
Mengapa spa?
Pasangan ini memilih bidang spa selepas membuat analisis terhadap beberapa cadangan perniagaan lain seperti restoran dan percetakan.
Kedua-duanya melihat potensi besar dalam industri spa, terutama dalam pasaran Bumiputera.
Bermula dengan menyewa ruang di tingkat satu sebuah bangunan di Shah Alam, Tini's Spa kini berkembang kepada empat cawangan termasuk di Ampang pada 2008, seterusnya Setapak (2012), Bangi (2018) dan Taman Tun Dr Ismail (2021).
Namun perjalanan dilalui wanita ini tidaklah mudah. Pernah membuka cawangan di Setapak, ahli perniagaan itu terpaksa akur apabila operasi spa di kawasan berkenaan hanya mampu bertahan selama beberapa bulan sahaja.
Ujarnya, kekurangan sistem operasi, modul latihan yang mantap dan isu tenaga kerja menjadi antara faktor penutupan premis berkenaan.
"Selepas peristiwa tersebut, saya dan suami mula merancang SOP (prosedur operasi standard) selain memperkenalkan sistem pengurusan dalam talian yang dapat mengintegrasikan semua operasi perniagaan.
"Pada 2018, saya buka cawangan di Bangi dan Alhamdulillah selepas itu, perniagaan semakin berkembang.
“Saya banyak belajar daripada kegagalan awal. Kita perlu ada struktur yang kukuh untuk berkembang, di samping ahli terapi dilatih dengan sistem padu supaya perkhidmatan memenuhi standard tertinggi," tuturnya.
Hartini (kanan) memulakan bisnes selepas mendapat sokongan suami, Shah Rizan.
Teknologi import
Ditanya kelainan ditawarkan Tini's Spa, Hartini mengakui, dia sememangnya menetapkan standard tinggi dalam industri kecantikan dengan menawarkan rawatan lengkap daripada kecantikan, urutan dan pelangsingan.
Selain itu, penggunaan teknologi maju juga antara faktor yang membezakannya dengan pesaing lain.
"Kami guna teknologi termaju seperti rawatan mesin Indiba Slimming Treatment dari Sepanyol, yang telah mendapat pengiktirafan global termasuk di Jepun.
"Keistimewaan rawatan ini ialah kebolehan mencairkan lemak visceral yang membaluti organ dalaman dan mengganggu fungsi organ dengan optimum," katanya.
Bicara ibu kepada empat cahaya mata ini lagi, setiap tahun mereka akan memperkenalkan rawatan baharu supaya pelanggan tidak bosan dan terus setia.
"Tahun ini, kami memperkenalkan rawatan S-Line Treatment dengan serum khas, yang kini meraih sambutan hangat.
"Rawatan ini bukan sahaja membantu pelanggan mencapai bentuk tubuh idaman, tetapi juga memberi mereka pengalaman estetik menyeluruh," ujarnya yang kini memiliki empat buah mesin Indiba Slimming Treatment, dengan setiap satu berharga RM250,000.
Rawatan mesin Indiba Slimming Treatment dari Sepanyol telah mendapat pengiktirafan global termasuk di Jepun.
Tak mahu ketinggalan
Memiliki latar belakang bidang IT mendorong Hartini untuk sentiasa berevolusi dengan teknologi.
"Tini's Spa sudah 20 tahun (beroperasi), jika tidak mahu guna teknologi, kita memang akan ketinggalan
"Pelanggan kita juga bersambung daripada satu generasi ke generasi yang lain. Jadi tak mungkin kita nak guna rawatan yang sama sahaja. Saya percaya kita perlu sentiasa berevolusi jika tidak, bisnes akan mati.
"Banyak perniagaan yang dulunya berjaya, kini tutup kedai kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan," ujarnya yang memilih untuk berkembang secara organik, bukan dengan hanya menubuhkan banyak cawangan semata-mata.
Hartini dalam pada itu turut berkongsi pengalaman pahit manis sepanjang dua dekad mengendalikan perniagaan.
Sama seperti usahawan lain, anak sulung daripada tiga beradik itu juga tidak terlepas daripada berdepan ujian hebat saat pandemik Covid-19 melanda negara.
Menjadi antara sektor pertama ditutup dan terakhir dibenarkan beroperasi semula, membuatkan Hartini buntu apabila terpaksa menanggung kos operasi tinggi tanpa sebarang pendapatan.
Produk bengkung bagi wanita bersalin, Razowa turut mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelanggan.
Ceritanya, mereka suami isteri terpaksa bertahan dengan simpanan untuk membayar gaji staf dan sewa premis.
"Walaupun tidak beroperasi, kami tetap perlu mengeluarkan lima angka setiap bulan untuk menampung kos tersebut," jelasnya.
"Staf yang biasanya terima gaji antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan, hanya menerima bayaran minimum sekitar RM600.
"Saya terpaksa berfikir di luar kotak, bagaimana nak pastikan hampir 30 staf dapat makan setiap hari," tambahnya.
Sehinggalah muncul idea untuk memulakan perniagaan kedua, yakni produk bengkung bagi wanita bersalin, Razowa.
Bermula pada 2019, Razowa menyaksikan peningkatan dari segi jualan khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memberikan sokongan kewangan tambahan yang sangat diperlukan.
"Walaupun spa mengalami penurunan mendadak, produk Razowa naik mendadak.
"Ada ejen saya yang menjual melalui platform e-dagang sahaja dan mampu memperoleh pendapatan RM50,000 sebulan," ujarnya.
Program Pintar
Tini's Spa turut memperkenalkan Program Pintar, yang menawarkan latihan kepada individu tanpa pengalaman melalui kerjasama kolej vokasional dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menerusi inisiatif itu, kata Hartini, peserta berpeluang untuk bekerja sambil mendapat latihan dan gaji.
"Program ini bertujuan menyediakan platform kepada mereka yang berminat dalam bidang spa dan kecantikan, tanpa perlu pengalaman atau kelayakan akademik tinggi.
"Mereka akan dilatih di tempat kerja, mendapat gaji dan pada masa sama, kami akan mengeluarkan tauliah SKM (Sijil Kemahiran Malaysia) selepas enam bulan latihan.
"Program ini merupakan sebahagian kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menggunakan konsep SLDN (Sistem Latihan Dual Nasional), yang memungkinkan peserta untuk bekerja dan belajar serentak," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram