Meski sibuk urus 3 kerja, ibu tunggal tawar sarapan percuma buat budak-budak flat


  • Sukses
  • Sabtu, 28 Jun 2025

Pada peringkat awal, Lydia membiayai sendiri inisiatif itu dengan wang dari poketnya sendiri. — Agensi

DI sebalik kesempitan hidup dan beban berganda sebagai ibu tunggal kepada enam cahaya mata, Lydia Susiyanti Sukarbi tetap memilih untuk memberi, bukan meminta.

Meski perlu menguruskan tiga pekerjaan, wanita berusia 36 tahun menetap di Ang Mo Kio, Singapura itu menjadi inspirasi ramai dengan menawarkan sarapan percuma tiga kali seminggu kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di kawasan kejiranannya.

Walaupun hidup sederhana dengan menyewa sebuah flat dua bilik, Lydia yang menjana pendapatan sekitar SGD3,000 (RM10,000) sebulan melalui perniagaan andaman dari rumah dan pekerjaan sambilan di organisasi penyelidikan, Skillseed dan pusat perkhidmatan sosial, Allkin Singapore tekad memulakan inisiatif Breakfast Buddy pada Februari lalu.

BACA LAGI: Terima pingat darjah kebesaran Perlis, ini 5 kejayaan Rita urus 2 putera, status ibu tunggal bukan bererti lemah

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah jual kereta nak tampung operasi bisnes, pasangan pengasas Ahmad's Fried Chicken enggan bersaing, mahu sama-sama 'go local'

Lydia (kanan) dan Halinah bersama barangan yang disediakan untuk sarapan. — Agensi

“Inisiatif ini bukan hanya tentang makanan, tetapi menunjukkan kepada anak-anak masih ada insan yang mengambil berat tentang mereka,” kata Lydia yang memulakan kelab sarapan itu di Blok 228A, Ang Mo Kio Street 23, seawal pukul 6.30 pagi.

Kira-kira 15 kanak-kanak akan hadir ke bawah blok pada setiap sesi untuk menikmati bijirin, roti sapuan krim coklat kacang hazel, biskut dan minuman seperti air coklat panas dan jus. 

Menurut Lydia, menu disediakan bukan atas andaian semata-mata, sebaliknya hasil pertanyaan terus kepada kanak-kanak mengenai makanan kegemaran mereka.

“Mereka kata, sosej dah hari-hari makan di rumah. Mereka mahu kelainan. Froot Loops dan roti krim coklat jadi pilihan utama,” tambahnya sambil tersenyum.

Sokongan komuniti

Pada peringkat awal, Lydia membiayai sendiri inisiatif itu dengan SGD400 (RM1,300) sebulan dari poket sendiri. 

Namun, usaha murni itu mula mendapat perhatian dan sokongan masyarakat sekeliling.

Bantuan mula hadir melalui rakan-rakan, keluarga dan individu yang mengetahui usaha beliau daripada mulut ke mulut.

Kanak-kanak akan datang ke bawah blok untuk menikmati bijirin, roti sapuan krim coklat kacang hazel dan minuman.  — Agensi

Dengan sokongan rakan seperjuangannya, Halinah Yatim, 52, inisiatif tersebut berkembang menjadi tempat perlindungan pagi yang dipercayai oleh kanak-kanak setempat.

Kini, Singapore Government Partnerships Office (SGPO) dan People’s Association turut memberikan bantuan dalam bentuk ruang simpanan dan geran komuniti yang disalurkan melalui Skillseed.

Gotong-royong

Program Breakfast Buddy kini bukan sekadar inisiatif sarapan percuma, malah menjadi simbol semangat gotong-royong masyarakat bandar yang semakin jarang dilihat. 

Dengan sokongan pihak seperti SGPO, Skillseed dan Allkin, Lydia berjaya menyalakan api gerakan akar umbi yang murni dan menyentuh hati.

Usahanya turut membawa mesej penting kepada rakyat Singapura, Indonesia dan serantau, bahawa perubahan sosial yang bermakna tidak memerlukan kekayaan, tetapi bermula dengan niat ikhlas dan tindakan konsisten.

Kisah Lydia Sukarbi adalah testimoni nyata kekuatan empati dan kepimpinan komuniti, melibatkan seorang ibu biasa mampu membuat perbezaan luar biasa. 

Dengan semangkuk bijirin dan seulas senyuman, beliau berjaya mengubah pagi yang biasa menjadi pengalaman bermakna buat kanak-kanak memerlukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram