
DUNIA ini penuh dengan kejutan. Suatu hari, anda mengajukan soalan di sebalik mikrofon, keesokan harinya anda duduk di sebelah individu yang sama.
Bezanya, pertemuan itu bukan lagi sebagai wartawan dan subjek, tetapi rakan kongsi perniagaan yang memacu impian bersama.
Daripada saling mengenali melalui lensa profesional, dua wanita kini berganding bahu menawarkan bukan sahaja rawatan estetik profesional, tetapi juga mencipta satu ruang relaksasi.
BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya dalam gaya Gen Z
Itu kisah menarik menghubungkan bekas wartawan penyiaran, Raja Amanda Raja Faisal dengan pengasas Honesty Aesthetic and Wellness Spa (Honesty Spa), Thohirah Omar, 38, pakar dalam bidang kecantikan yang pernah ditemu bualnya suatu ketika dahulu.
"Semasa bertemu di sebuah acara di universiti awam dahulu, saya yang temu bual beliau namun sekarang kami bekerjasama pula (dalam bisnes)," kongsi Raja Amanda kepada Majoriti, mengimbas kembali detik pertemuan mereka kira-kira enam tahun lalu.
Raja Amanda memiliki latar belakang dalam bidang kewartawanan.
Wanita berusia 30 tahun itu tidak pernah menyangka dirinya akan menceburkan diri dalam dunia perniagaan.
Namun, segalanya berubah apabila beliau didekati oleh Thohirah atau lebih mesra disapa Tyra untuk bersama-sama membangunkan spa yang mula beroperasi pada 2022 itu.
Ujar Raja Amanda, Tyra mahukan perspektif berbeza dan idea segar daripada individu yang bukan datang dari latar belakang bidang estetik.
Meminati dunia kecantikan sejak dulu, tiada sebab bagi pemilik nama lengkap Raja Farahani Amanda Raja Faisal itu menolak pelawaan untuk menjadi sebahagian keluarga besar Honesty Spa.
Malah bagi ibu dua anak tersebut, spa bukan lagi sekadar tempat rawatan, tetapi satu bentuk terapi moden yang dicari masyarakat hari ini untuk mendapatkan semula ketenangan dan keyakinan diri.
“Bagi saya, ini satu pelaburan yang sangat bagus. Semua orang suka akan kecantikan, tak kira latar belakang.
"Sama ada yang bekerja sebagai guru, jurutera atau suri rumah, pasti akan ada satu ketika mereka perlukan ruang memanjakan diri dan spa adalah tempat itu," ujar pengasas bersama syarikat berkenaan.
Doktor bertauliah sedang melakukan rawatan untuk masalah parut lekuk.
Pemegang Ijazah Sarjana Kewartawanan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, bukan sahaja menawarkan servis estetik profesional, spa tersebut juga memberi pengalaman menyeluruh dari segi layanan, suasana dan kejujuran, selaras definisi 'honesty' yang diketengahkan.
"Spa ini juga menyasarkan keseimbangan tubuh dan minda menerusi rawatan wajah, urutan badan serta servis perubatan kulit bersama doktor bertauliah,” katanya.
Kejutan suami
Mengungkap tentang permulaan idea, Tyra memberitahu, penubuhan Honesty Aesthetic Spa juga bertitik tolak daripada minat suaminya, yang juga seorang ahli kimia terhadap dunia estetik dan penjagaan diri.
Sambil tertawa ibu kepada empat cahaya mata itu berkongsi, pusat kecantikan tersebut merupakan kejutan istimewa daripada suaminya yang juga pengasas syarikat, Abdul Rahman A. Samad, 38, saat menjalani hubungan jarak jauh.
Melihat potensi gabungan kepakaran kedua-duanya, isteri sebagai pakar rawatan dan Abdul Rahman dalam bidang pemasaran serta formulasi produk, maka tercetus idea untuk mewujudkan pusat kecantikan milik mereka sendiri.
Abdul Rahman (kiri) menghadiahkan Honesty Spa buat isteri tercinta.
Sementara Tyra di Johor, suami pula di ibu kota, Abdul Rahman menguruskan semuanya sendiri secara senyap.
"Kemudian pada 2022, suami cakap beliau ada kejutan untuk saya.
"Suami ada cakap nak buka spa, tapi saya macam entah (tak percaya) sebab ketika itu saya bekerja di bawah jenama besar dan karier pun sudah stabil.
"Saya sudah tak nak kerja bidang lain," bicara beliau.
Kejutan tersebut nyata berhasil. Bukan sahaja terharu, Tyra malah terinspirasi melihat kesungguhan dan visi jelas terhadap masa depan mereka dalam industri kecantikan.
"Saya memang bekerja dalam bidang kecantikan, tetapi untuk buka pusat kecantikan sendiri, ia sesuatu yang tidak pernah dijangka.
"Namun apabila ada pasangan dan rakan yang percaya pada kemampuan diri, semuanya jadi mungkin," ungkapnya lagi.
Spa adalah ruang untuk individu memanjakan diri.
Dalam pantang
Bagi Tyra, sebagai pemilik perniagaan, beliau perlu sentiasa turun padang dan tidak terlalu bergantung pada staf.
Menceritakan antara pengalaman unik sepanjang mengendalikan bisnes, ujar anak kedua daripada lapan beradik itu, beliau pernah kembali ke spa hanya seminggu selepas menjalani pembedahan caesarean.
“Saya jenis hands-on, kalau staf semua berhenti serentak pun, saya masih boleh teruskan operasi.
"Pernah ketika berpantang pada musim raya lalu, disebabkan ramai staf ambil cuti panjang, saya terus masuk buat rawatan untuk klien.
"Kalau jadi pemilik bisnes, kena sanggup tanggung semua risiko. Kita kena tunjuk nilai dan sama-sama buat kerja supaya staf akan hormat dan ikut rentak,” ujar wanita berasal dari Kedah itu.
Membuka cawangan pertama pada 2022 dengan jualan sekitar RM8,000 hingga RM9,000, Tyra tidak menyangka, pendapatan bulanan syarikat kini mencecah lebih RM100,000 sebulan hanya untuk satu cawangan.
“Mestilah tak menyesal (berhenti kerja). Dulu kita kayakan syarikat orang lain tapi sekarang, jumlah yang sama masuk ke akaun syarikat milik sendiri,” tuturnya tertawa kecil.
Bagi Tyra (empat dari kiri) dan suami, kejujuran dan komunikasi terbuka menjadi asas untuk mengendalikan perniagaan.
Komunikasi
Sementara itu, Raja Amanda menambah, menguruskan perniagaan bersama rakan bukanlah sesuatu yang mudah, namun kejujuran dan komunikasi terbuka menjadi asas pada kerjasama yang harmoni.
Menurutnya, meskipun kini mengemudi perniagaan kecantikan bersama, mereka belum pernah berdepan konflik besar atau pertelingkahan serius.
“Setakat ini, belum ada insiden tarik rambut lagi,” ujar Amanda sambil berseloroh.
Dalam perniagaan jelas beliau, komunikasi sangat penting terutamanya apabila dijalankan bersama kenalan atau ahli keluarga.
Ungkapnya, setiap isu atau ketidakpuasan hati akan segera dibincangkan tanpa berlengah, bagi mengelakkan ia menjadi punca keretakan dalam hubungan mahupun operasi.
"Kadang-kadang orang fikir berhenti kerjalah, buka bisnes saja senang. Nak bangunkan bisnes sebenarnya susah lagi-lagi kalau nak buka dengan kawan sendiri.
"Dekat sinilah boleh tercetusnya pergaduhan walaupun dah berkawan lama. Jadi kalau ada idea nak buka bisnes dengan kawan, kena pastikan kalian ada pemikiran, sasaran dan komunikasi selari," tuturnya mengakhiri bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram