
PENYANYI rap atau artis hip hop sering berdepan stigma negatif daripada sebahagian masyarakat, terutamanya dalam konteks budaya arus perdana.
Tanggapan itu timbul daripada beberapa faktor antaranya disebabkan lirik yang lantang dan kontroversial.
Apatah lagi kebanyakan lagu rap mengandungi lirik yang menyentuh isu keganasan, jenayah, dadah, seks dan penghinaan terhadap pihak berkuasa.
Ia menyebabkan ramai menganggap penyanyi rap cenderung mendukung latar belakang kehidupan yang kasar, tidak bermoral atau berunsur negatif, walaupun sebahagiannya bersifat kritikan sosial.
BACA LAGI: Penting demi kesejahteraan si manja, 5 panduan ibu bapa mandikan bayi mengikut usia
BACA LAGI: Sihat atau tidak? Panduan ibu bapa kenal pasti jenis muntah bayi berdasarkan warna
Krept bergambar bersama anaknya, Nala di hadapan produk mereka. — Agensi
Media pula sering menonjolkan sisi sensasi dan kontroversi golongan tersebut misalnya pergaduhan, tangkapan polis mahupun isu peribadi, yang secara tidak langsung mengukuhkan imej negatif.
Berbeza bagi bintang rap berasal dari United Kingdom (UK), Kept membuktikan penyanyi genre itu juga mampu menjadi ikon positif yang memberi impak besar kepada masyarakat.
Itu dilakukannya bukan sahaja melalui muzik, tetapi dari sudut keusahawanan.
Krept atau nama sebenarnya, Casyo Johnson yang terkenal sebagai sebahagian daripada duo rap Krept dan Konan, memilih untuk tidak terikat dengan stereotaip lama.
Sebaliknya, beliau melangkah ke dunia perniagaan dengan visi dan tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan mengasaskan jenama penjagaan bayi, Nala’s Baby bersama bekas pasangannya, bekas model dan pempengaruh, Sasha Ellese Gilbert.
Produk yang dimulakan sejak 2020 itu bermula selepas Krept dan Sasha menghadapi kesukaran mencari produk penjagaan bayi yang semula jadi dan bebas toksik untuk anak perempuan mereka, Nala.
Krept (kanan) mengusahakan jenama Nala’s Baby bersama bekas kekasihnya, Sasha. — Agensi
Sehingga 2025, jenama itu mencipta sejarah apabila disenaraikan dalam Top 10 Sunday Times 100, yakni senarai tahunan syarikat swasta yang berkembang paling pesat di UK.
Lebih membanggakan, syarikat berkenaan hanya bermula dari dapur rumah pasangan itu sebagai inisiatif untuk merawat masalah ekzema Nala.
Kini, Nala’s Baby bukan sahaja dikenali di seluruh UK malah turut menguasai sebahagian besar pasaran produk penjagaan bayi tempatan.
Tiga juta produk terjual
Dilancarkan secara rasmi pada 2022, Nala’s Baby mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan lebih tiga juta produk terjual hanya dalam tahun pertama pelancarannya.
Syarikat tersebut mencapai penilaian nilai pasaran sebanyak £17.5 (RM101 juta) juta menjelang akhir tahun itu, dengan lonjakan hasil jualan dari £1.8 juta (RM10 juta) ke £5.5 (RM32 juta) juta, mewakili peningkatan 200 peratus.
Krept meluahkan rasa syukur atas sokongan terhadap produk berkenaan. — Agensi
Kini, satu produk Nala’s Baby terjual setiap 14 saat di UK.
Jenama tersebut menguasai lebih lapan peratus pasaran penjagaan bayi di UK, yang dianggarkan bernilai antara £120 juta (RM694 juta) hingga £130 juta (RM752 juta) setahun.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Krept turut meluahkan rasa syukur atas sokongan yang diberikan terhadap produk berkenaan.
"Saya amat menghargai mereka yang membeli dan menyokong produk ini, menyarankan kepada orang lain, berkongsi atau meninggalkan komen.
"Ini sangat besar buat kami dan mengingatkan saya bahawa kita boleh capai apa sahaja jika dilakukan sepenuh jiwa.
"Banyak malam tanpa tidur dan kami masih berjuang. Perjalanan masih jauh,” ungkapnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram