
HORMON adalah hantaran biokimia dihasilkan oleh kelenjar untuk mengawal proses fisiologi, sekali gus mempengaruhi metabolisme, pertumbuhan, tindak balas imun, emosi dan pembiakan.
Ia mengalir melalui darah ke organ sasaran, yang mana berikatan dengan reseptor bagi memulakan aktiviti biologi.
Penuaan menyebabkan penurunan fungsi fisiologi dan mengubah pengeluaran hormon terhadap hormon utama seperti pertumbuhan, estrogen, testosteron dan progesteron akan mengalami penurunan.
BACA LAGI: [VIDEO] Rakan jadi 'mangsa' hobi Mek Zaa, sanggup luang masa hingga 3 jam demi melukis inai
Faktor penurunan itu berkait rapat dengan usia yang mempengaruhi jisim otot, peningkatan lemak badan, kepadatan tulang lebih rendah dan perubahan kognitif.
Kajian mengenai hormon adalah penting dalam usaha membangunkan strategi antipenuaan kerana ia dapat membantu mengenal pasti intervensi.
Ia bagi mengekalkan keseimbangan hormon dan usia panjang termasuk terapi penggantian hormon dan perubahan gaya hidup.
Beberapa kajian menunjukkan terapi GH bantu meningkatkan jisim dan kekuatan otot dengan memperbaiki keupayaan bersenam.
Hormon pertumbuhan (GH)
GH dihasilkan oleh kelenjar pituitari dan penting untuk pertumbuhan, pembaikan sel serta metabolisme.
Ketika muda, paras GH adalah agak tinggi dan membantu dalam pertumbuhan serta perkembangan tubuh dengan cepat.
Namun begitu, ia akan menurun seiring dengan peningkatan usia yang menyumbang kepada pelbagai perubahan fisiologi berkaitan penuaan.
Misalnya, penurunan jisim otot, peningkatan lemak badan dan pengurangan kepadatan tulang.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa terapi GH dapat meningkatkan jisim dan kekuatan otot dengan memperbaiki keupayaan bersenam.
Bahkan, ia memberi kesan positif terhadap komposisi badan dalam kalangan warga emas.
Namun begitu, kesan jangka panjang dan keselamatan suplemen GH masih menjadi perdebatan dan memerlukan pendekatan yang berhati-hati.
Selain itu, interaksi antara GH dengan hormon lain, termasuk insulin dan kortisol, adalah penting untuk kesihatan metabolik.
Gangguan dalam keseimbangan itu boleh membawa peningkatan risiko penyakit kardiovaskular dan diabetes.
Hormon seks
Hormon seks termasuk estrogen dan testosteron memainkan peranan penting dalam pelbagai fungsi tubuh untuk memberi kesan besar terhadap proses penuaan.
Dalam kalangan wanita, paras estrogen menurun dengan ketara apabila sudah menopaus. Rasa panas mendadak (hot flashes), perubahan emosi, serta peningkatan risiko osteoporosis dan penyakit kardiovaskular akan menjadi gejala kepada diri kita.
Begitu juga, paras testosteron menurun secara beransur-ansur dalam kalangan lelaki seiring usia.
Ia boleh menyebabkan penurunan libido, keletihan dan kehilangan jisim otot.
Peranan terapi penggantian hormon (HRT) telah menjadi topik yang banyak diperdebatkan.
Bagi wanita, HRT boleh membantu meredakan simptom menopaus dan dikaitkan dengan potensi manfaat terhadap ketumpatan tulang dan kesihatan jantung.
Bagi lelaki pula, terapi penggantian testosteron mungkin dapat meningkatkan mood, tahap tenaga dan kekuatan otot.
Akan tetapi, kedua-duanya masih mempunyai risiko tersendiri dan perlu dipertimbangkan secara individu di bawah pengawasan perubatan.
Hormon tiroid
Hormon tiroid, terutamanya tiroksin (T4) dan triiodotironin (T3) berfungsi untuk mengawal metabolisme, penghasilan tenaga dan kadar metabolik secara keseluruhan.
Apabila usia meningkat, fungsi tiroid boleh merosot dan menyebabkan seperti hipotiroidisme, keletihan, pertambahan berat badan dan kemurungan akibat paras hormon tiroid yang rendah.
Keadaan itu boleh memberi kesan ketara terhadap kualiti hidup dan jangka hayat.
Sebaliknya, paras hormon tiroid yang berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan serius, termasuk gangguan kardiovaskular dan kehilangan jisim tulang.
Oleh itu, pengekalan paras hormon tiroid kepada tahap optimum adalah penting untuk menyokong jangka hayat usia.
Kajian mencadangkan bahawa pengoptimuman fungsi tiroid boleh memperbaiki kesihatan metabolik dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan usia.
Hormon tiroid yang seimbang dapat meningkatkan tahap tenaga, menyokong fungsi kognitif dan menggalakkan komposisi tubuh yang lebih sihat.
Menyokong keseimbangan hormon
Hubungan yang kompleks antara hormon dan hayat manusia menekankan kepentingan mengamalkan perubahan gaya hidup yang menyokong keseimbangan hormon.
Dari aspek pemakanan, senaman dan pengurusan tekanan, seseorang itu dapat meningkatkan kesihatan hormon mereka dan berpotensi memanjangkan jangka hayat.
Aktiviti fizikal yang kerap amat penting untuk keseimbangan hormon dan umur panjang.
Makanan
Pemakanan memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan hormon.
Diet kaya makanan semula jadi seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, lemak sihat dan protein tanpa lemak membekalkan nutrien penting untuk penghasilan hormon.
Kajian menunjukkan corak pemakanan seperti diet Mediterranean boleh meningkatkan umur panjang dengan menyokong kesihatan hormon melalui pengambilan makanan semula jadi, protein tanpa lemak dan lemak sihat sambil meminimumkan makanan segara.
Senaman
Aktiviti fizikal yang kerap amat penting untuk keseimbangan hormon dan umur panjang.
Senaman memberi kesan positif terhadap paras hormon seperti hormon pertumbuhan, testosteron dan endorfin yang penting untuk kesihatan.
Aktiviti seperti yoga antara yang dapat membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan keseimbangan hormon melalui amalan kesedaran diri, yang mengurangkan paras kortisol.
Pengurusan tekanan
Tekanan kronik mengganggu keseimbangan hormon dan mempercepatkan proses penuaan.
Jadi, pengurusan tekanan yang berkesan amat penting untuk mengekalkan keseimbangan hormon.
Amalan seperti meditasi dan pernafasan dalam dapat mengurangkan paras kortisol dan meningkatkan kesejahteraan emosi.
Aktiviti santai seperti berjalan di alam semula jadi, membaca atau melukis juga dapat membantu meredakan tekanan dan memberi manfaat kepada kesihatan hormon.
Ini termasuk hubungan sosial yang kuat juga membantu mengurangkan tekanan dan menstabilkan hormon. — The Star/ Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram