
CUTI sekolah momen paling dinantikan khususnya dalam kalangan kanak-kanak kerana ada yang berpeluang pulang ke kampung, bermain bersama kawan-kawan di kawasan kejiranan dan bercuti bersama keluarga tersayang di destinasi pilihan.
Bagaimanapun, keseronokkan dirasai boleh pudar hari demi hari sekiranya melakukan aktiviti biasa di lokasi yang sama. Impaknya, anak-anak mula 'buat perangai' dek kebosanan sehingga menyebabkan ibu bapa tertekan.
Justeru, sebelum musim cuti sekolah bermula ibu bapa sebaik-baiknya menyusun jadual atau melakukan perancangan yang membantu membangkitkan mood gembira dan harmoni.
BACA LAGI: [VIDEO] Jangan ambil remeh! Kuku lebih 3mm, kotor boleh jadi punca jerawat dan bisul
Cuti sekolah seharusnya menjadikan momen yang menyeronokkan buat anak-anak.
Apabila cuti sekolah, rutin harian anak-anak berubah termasuk bangun. Lalu aktiviti harian mereka akan bermula juga berbeza-beza.
Walaupun setiap pergerakan mungkin lebih santai semasa cuti, memiliki rutin tetap adalah penting untuk kanak-kanak dari semua peringkat umur.
Ia menyokong perkembangan mental dan emosi yang sihat dengan kestabilan dalam kehidupan kanak-kanak.
Selain itu, semasa cuti sekolah mereka juga perlu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
Anak remaja diminta untuk mengambil lebih banyak tanggungjawab semasa ibu bapa bekerja. Perkara itu mungkin bertentangan dengan rancangan mereka untuk cuti sekolah.
Komunikasi yang jelas dan memahami apa dimahukan dan apa tidak dikehendaki oleh anak-anak membantu segalanya berjalan dengan lebih lancar.
Di samping itu, mereka juga mungkin tidak dapat berjumpa dengan rakan-rakan sekolah mereka.
Apatah lagi jika rakan mereka tinggal di kawasan kejiranan lain, sedang bercuti atau pulang ke kampung halaman.
Ini boleh menyebabkan anak-anak rasa terasing. Jadi, rancang awal aktiviti menarik dan kreatif untuk mereka kekal berhubung.
Amalkan perbincangan dua hala tentang jangkaan perkara yang akan berlaku ketika cuti bersama anak.
Kanak-kanak kecil biasanya memerlukan kepastian dan struktur. Mewujudkan jadual yang hampir sama seperti susunan di sekolah boleh membantu mereka menyesuaikan diri semasa cuti.
Remaja pula mungkin memerlukan perbincangan dua hala tentang jangkaan perkara yang akan berlaku ketika cuti, supaya kekal dalam rutin sampai sekolah bermula semula.
Bukan setakat itu, merangka jadual cuti sekolah termasuk menetapkan waktu bangun dan tidur yang hampir sama dengan hari persekolahan, menyediakan makanan ringan dan waktu makan selaras dengan jadual biasa mereka.
Galakkan anak-anak melibatkan diri dalam aktiviti sepanjang hari, sama ada aktiviti bersendirian seperti membaca atau melukis, atau masa bermain dengan rakan.
Jika keluarga anda memerlukan penjaga lain semasa anda bekerja, berikan penjaga tersebut jadual bertulis dan senarai aktiviti.
Kegembiraan, tekanan semasa cuti
Pergi bercuti semasa cuti sekolah boleh menjadi masa menyeronokkan untuk seisi keluarga, tetapi ia juga boleh menjadi pengalaman menegangkan.
Merancang lebih awal untuk kemungkinan yang akan berlaku membantu anda dan anak menikmati masa tersebut, walaupun rancangan perlu diubah.
Kanak-kanak kecil akan mendapat manfaat apabila anda membantu mereka bersedia menghadapi situasi membebankan.
Bercuti seisi keluarga bantu mengeratkan jalinan kasih dan mengurangkan tekanan.
Berbincang dengan anak anda sebelum bercuti supaya mereka memahami apa yang akan berlaku ketika pergi dan pulang dari destinasi.
Bantu mereka mengemas beg galas kecil dengan aktiviti untuk dilakukan di dalam pesawat atau kereta.
Bahkan, ambil pandangan mereka dalam memilih destinasi, mengemas makanan ringan atau memilih tempat persinggahan, termasuk aktiviti yang ingin dilakukan ketika bercuti.
Pesawat
Jika menaiki kapal terbang, maklumkan kepada anak tentang apa akan berlaku di lapangan terbang untuk mengurangkan ketakutan dan tiba lebih awal dari waktu penerbangan untuk memberi ruang kepada situasi tidak dijangka.
Kemudian, fokus untuk kekal tenang melalui latihan pernafasan, lakukannya bersama anak untuk memberi rasa selamat.
Kereta
Jika menaiki kereta pula, tetapkan terlebih dahulu kawasan persinggahan, ke tandas atau kecemasan lain dan maklumkan kepada anak bila ia akan berlaku.
Sebagai ibu bapa, anda mungkin akan menanggung sebahagian besar tekanan dan kebimbangan semasa perjalanan.
Jadi, penting untuk anda memeriksa kesejahteraan diri sendiri dan amalkan penjagaan diri. Jika perlu, ambil masa sendiri untuk berehat.
Jika mempunyai anak yang memerlukan perhatian lebih terhadap kesihatan fizikal, emosi atau tingkah laku, berbincanglah dengan doktor tentang penyedia penjagaan kesihatan sebelum perjalanan.
Ia akan membantu anda untuk tahu cara terbaik dalam menyokong keperluan mereka.
Banyak syarikat penerbangan, taman tema dan organisasi lain menyediakan kemudahan untuk pelancong yang mempunyai keperluan khas. — TheStar/AGENSI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram