
CUACA panas dalam tempoh yang panjang sudah membuatkan golongan dewasa berasa tidak selesa, apatah lagi bayi dan anak kecil. Pastinya mereka akan meragam dan menangis sekiranya dibiarkan begitu saja.
Walaupun bermacam cara dilakukan adakalanya kegelisahan dan ragam anak yang sedang berpeluh-peluh itu gagal diredakan sehingga ibu bapa menemui jalan buntu.
Menurut Pakar perunding Pediatrik, Dr. Nisa Khalil, kanak-kanak lebih cepat panas berbanding orang dewasa, tambahan pula pada musim panas.
BACA LAGI: [VIDEO] [VIDEO] Rakan jadi 'mangsa' hobi Mek Zaa, sanggup luang masa hingga 3 jam demi melukis inai
Tangkap layar di Thread Dr. Nisa.
Bahkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) juga sudah mengeluarkan kenyataan bahawasa terdapat beberapa kawasan suhu cuaca panas sudah berada tahap 1 (berjaga-jaga), iaitu suhu harian 35–37 darjah celcius tiga hari berturut-turut.
“Mereka (bayi dan kanak-kanak) tidak berpeluh dengan berkesan. Mereka tidak meminta air dan tidak tahu cara untuk berkata, 'saya rasa terlalu panas' kerana tidak boleh mengungkapkan kata-kata.
“Saya telah melihat, bayi menolak susu, kanak-kanak kecil lesu dan pengsan semasa hari sukan. Ini adalah perkara yang sebenar dan ia boleh dicegah,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Oleh itu, Dr. Nisa menyarankan ibu bapa untuk kerap memberikan air setiap 30 hingga 60 minit kepada anak-anak walaupun mereka tidak memintanya. Ini termasuk mengelakkan permata hati bermain di luar antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.
“Pastikan kawasan tidur sejuk sama ada menggunakan kipas atau pendingin hawa. Amalkan memakai pakaian nipis dan elak kain kapas tebal atau poliester. Periksa juga lampin untuk ia tidak kering atau tak cukup cecair,” sarannya.
Kemudian, sentiasa memeriksa anak yang menunjukkan tanda-tanda seperti menangis tanpa mengeluarkan air mata, bibir kering dan berada dalam keadaan lemah.
“Periksa jika tiada tanda-tanda buang air kecil dalam tempoh enam jam, pernafasan atau demam.
"Ini adalah tanda bahaya dan jika simptom tersebut berlaku jangan tunggu. Segeralah ke jabatan kecemasan untuk melakukan pemeriksaan,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut memberitahu, tidak semua tantrum merujuk pada masalah tingkah laku. Kadang-kadang, otak terlalu panas dalam badan kecil yang berpeluh.
“Jadi ya, elakkan taman permainan, buka kipas dan berikan air. Anak-anak bukan manja, mereka cuma cuba bertahan dalam gelombang haba sama seperti anda,” terangnya.
Dalam pada itu, Dr. Nisa turut mencadangkan ibu bapa untuk menghasilkan aiskrim yang mempunyai kelebihan buat kanak-kanak berumur lebih 1 tahun sepanjang musim panas.
“Cuba buat sendiri aiskrim batang menggunakan air kelapa dicampurkan buah-buahan, yogurt asli bersama puri buah naga atau menggunakan susu ibu atau susu formula.
"Ia boleh menyejukkan badan dan bantu penghidratan terutamanya anak-anak yang kurang gemar minum air putih,” cadangnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram