
DALAM dunia moden yang serba pantas, negeri Kelantan sering dilabel kekal pada tahap 'tradisional'.
Namun di sebalik persepsi itu, lahir barisan usahawan wanita dan lelaki membina antara jenama paling berani dan berpengaruh di Malaysia, semuanya bermula dari bumi Cik Siti Wan Kembang.
Perkara itu turut dikongsikan menerusi laman X (Twitter) usahawan, Richard Ker baru-baru ini.
BACA LAGI: ‘Menabung sikit tak apa, asalkan konsisten’, Tip bina tabung pendidikan anak-anak dengan Simpan SSPN
"Daripada sambal ke spa, tudung ke kek dan fesyen ke pentas antarabangsa, ‘Anak Kelate’ buktikan bahawa kekuatan budaya, semangat serta akar tradisi boleh menjadi asas kukuh untuk mencipta legasi perniagaan yang luar biasa," tulisnya.
Di Kelantan katanya, dunia perniagaan bukan sekadar kerjaya, sebaliknya ia adalah gaya hidup.
Menurutnya, kebanyakan kanak-kanak mula belajar selok-belok jual beli sejak kecil, membantu ibu bapa di pasar dan gerai.
"Mereka memerhati bagaimana tawar-menawar dan strategi bertahan dilakukan dalam kehidupan seharian.
"Mereka memahami konsep untung rugi sebelum menulis resume dan membina keyakinan diri sebelum menggenggam sebarang sijil," katanya.
Beliau menambah, tidak semua anak Kelantan menetap di negeri sendiri, ada yang keluar berhijrah kerana kerjaya di kampung tidak sepadan dengan impian besar mereka.
Namun jelasnya, mereka tidak pernah meninggalkan nilai-nilai yang dibentuk sejak kecil iaitu semangat juang, akar budaya dan maruah diri.
Berikut Majoriti senaraikan tiga usahawan wanita berasal dari Kelantan.
1) Neelofa
Neelofa (kiri) tidak sekadar bergantung pada populariti, sebaliknya mempunyai visi yang jauh lebih besar.
Nama Neelofa bukan asing lagi dalam industri hiburan tanah air, namun ramai yang kini mengenalinya bukan sahaja sebagai selebriti, tetapi juga ikon usahawan wanita Muslimah moden berjaya membina empayar perniagaan.
Lahir di Pasir Mas, Kelantan, Noor Neelofa Mohd Noor mula mencuri perhatian ramai apabila dinobatkan sebagai juara program realiti Dewi Remaja pada 2010.
Dari situlah bermulanya karier dalam bidang pengacaraan, lakonan dan peragaan, sekali gus membina asas kepada jenama peribadinya yang kuat.
Namun, Neelofa tidak sekadar bergantung pada populariti. Beliau mempunyai visi yang jauh lebih besar.
Pada 2014, Neelofa menubuhkan jenama tudung Naelofar Hijab. Dengan pendekatan gaya hijab yang moden, eksklusif dan mudah digayakan, jenama itu segera mencuri perhatian pengguna bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga pasaran antarabangsa.
Ibu kepada dua cahaya mata itu dipilih sebagai salah seorang daripada Forbes 30 Under 30 Asia dalam kategori Runcit & E-dagang pada 2017 selain pernah berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, mewakili suara wanita Islam moden yang berjaya dalam dunia bisnes.
2) Farah Wen
Farah sering menjadi tumpuan media sosial kerana perbelanjaan besar untuk keluarga dan pekerja.
Farah Wen, 31, atau nama sebenarnya Farah Syazwani, merupakan seorang usahawan dan personaliti media sosial yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Beliau dikenali dengan gaya hidup mewah dan sikap dermawan yang sering dikongsi melalui platform seperti TikTok dan Instagram.
Farah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam perniagaan keluarganya yang terlibat dalam bidang eksport dan import.
Selain itu, usahawan dalam bidang eksport dan import tersebut juga aktif sebagai pencipta kandungan digital, dengan lebih daripada 2.7 juta pengikut di TikTok dan lebih 1.4 juta di Instagram, setakat ini.
Kandungan beliau sering memaparkan kehidupan seharian, percutian mewah dan interaksi bersama keluarga serta pekerja di rumah.
Farah sering menjadi tumpuan media sosial kerana perbelanjaan besar untuk keluarga dan pekerja.
Pada April 2023, beliau menghadiahkan RM10,000 sebagai duit raya kepada setiap pembantu rumahnya dan membawa mereka bercuti ke pulau persendirian dengan menaiki helikopter.
Selain itu, beliau pernah menghadiahkan rantai emas bernilai RM32,000 kepada guru anaknya sebagai tanda penghargaan.
3) Reen Ramzi
Reen berjaya menubuhkan syarikat pengeluaran produk OEM.
Nur Hazreen Mohd Ramzi atau lebih dikenali sebagai Reen Ramzi merupakan contoh inspirasi usahawan muda dari Kelantan yang berjaya mengubah nasib keluarga melalui ketekunan dan semangat keusahawanan.
Berasal dari Jeli, Reen membesar dalam keluarga sederhana, bapanya seorang pemandu lori dan ibunya suri rumah.
Namun, latar belakang itu tidak menghalangnya untuk mengejar impian dalam dunia perniagaan.
Sejak kecil menunjukkan minat dalam perniagaan, Reen akhirnya berjaya menubuhkan syarikat pengeluaran produk OEM, Produklega Supplies Sdn Bhd, yang kini mempunyai kilang dan hab di Amerika Syarikat.
Syarikat itu menawarkan perkhidmatan dari reka bentuk hingga pemasaran, dengan kerjasama kilang-kilang di China, Korea, Jepun, Thailand dan Indonesia.
Reen juga aktif membantu pengasas produk tempatan untuk mengeluarkan jenama mereka sendiri, dengan menyediakan akses kepada kilang bertaraf antarabangsa
Melalui usaha ini, beliau telah membantu ramai usahawan tempatan mencapai kejayaan dalam industri masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram