
MASA depan bola sepak Kelantan semakin kabur selepas satu-satunya wakil mereka dalam saingan Liga Super iaitu Kelantan Darul Naim (KDN) FC hanya menjadi mangsa belasahan kelab-kelab lain.
Misalnya baru-baru ini, skuad Kijang Emas turut mengalami kekalahan besar apabila dibelasah 0-9 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Khamis minggu lalu.
Selain perlawanan itu, skuad Pantai Timur berkenaan juga dimalukan oleh Perak FC (0-7), Penang FC (1-6) dan Selangor FC yang menang ke atas KDN FC dengan keputusan 0-7 pada 8 Mac lepas.
BACA LAGI: Dua kekalahan buktikan KDN FC tak berlatih sebagai 1 pasukan — Iskandar Salleh
BACA LAGI: Kelab Sharnaaz Ahmad bakal debut Liga A3, ex Pahang dan Kelantan jadi taruhan Carabat FC
Kekalahan yang terus dicoret oleh Kelantan itu menyaksikan skuad bimbingan Rezal Zambery Yahya musim ini melepaskan 77 gol dengan hanya merekodkan dua kemenenangan daripada 23 perlawanan Liga Super setakat ini.
Isu atas padang berlaku itu bukan disengajakan apabila berlaku masalah luar padang yang menjadi titik tolak kepada kemerosotan Kelantan musim ini. Manakan tidak, dilaporkan bahawa KDN mengalami tunggakan gaji mencecah empat bulan.
Seperti dilaporkan media pada Januari lepas, tunggakan gaji selama empat bulan menyebabkan pemain KDN FC yang beraksi di saingan Liga Super memboikot sesi latihan pasukan sejak Disember 2023.
Dari masalah gaji hingga terperosok ke kedudukan terbawah Liga Super, penyokong negeri Cik Siti Wan Kembang mula khuatir jika KDN juga akan mengulang skrip sama seperti Kelantan FC pada musim lepas.
Tidak ingin KDN FC yang kini menjadi satu-satunya wakil mereka dalam saingan domestik itu terus lenyap, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyarankan agar pihak pengurusan menyediakan pelan jangka pendek dan panjang yang realistik untuk mereka.
"Kelantan perlu cepat membuat keputusan tentang hala tuju pasukan ini untuk musim depan. Apakah mereka mahu kekal beraksi dalam Liga Super ini atau turun beraksi dalam Liga A1. Keputusan ini boleh dianggap pelan jangka pendek yang perlu diambil oleh Kelantan United.
"Manakala pelan jangka panjangnya adalah jika mereka ingin terus kekal beraksi di Liga Super perancangan segera perlu dilakukan untuk mula mendapatkan atau mencari pemain-pemain tempatan terbaik.
"Itu termasuk pemain import gred A supaya dapat memberikan saingan yang lebih kompetetif dan tidak menjadi pasukan belasahan lagi musim depan. Jika dibelasah lagi musim depan sudah pasti kemarahan penyokong jadi lebih membara," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Pekan juga menasihati agar KDN FC perlu segera mencari solusi untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji mereka kerana khuatir jika ia akan mengganggu dokumentasi untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan.
Beliau berkata, pihak pengurusan mungkin bolej mencari lubuk pelabur dalam kalangan usahawan atau jutawan negeri tersebut untuk membantu memperkukuhkan kewangan agar kembali seperti pasukan paling digeruni dengan pelbagai kejayaan pada musim 2010-2012 dahulu.
Kedudukan Kelantan pada saingan Liga Super musim ini.
"Tiada cara lain bagi Kelantan United sekarang iaitu perlu segera menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain. Jika tidak mungkin lesen beraksi musim depan tidak diberi maka masalah ini boleh menjadi lebih buruk lagi musim depan.
"Wakil dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini boleh lenyap dari peta bola sepak Malaysia mengikut jejak langkah Kelantan. Carilah sumber dari mana sekalipun asalkan dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji ini terlebih dahulu. Jika tidak terimalah hakikat setakat itulah sahaja bola sepak untuk Kelantan.
"Mungkin solusi terbaik ialah penstrukturan semula pasukan serta hutang dan diikuti dengan penjenamaan semula pasukan Kelantan yang berwajah baru dan dapat meyakinkan penaja dan juga penyokong.
"Gembelenglah dan satukan semua usahawan dan jutawan anak negeri Kelantan yang kaya raya untuk sama-sama terbabit untuk memperkukuhkan kewangan pasukan Kelantan agar pasukan ini kembali seperti pasukan paling digeruni," jelasnya.
Kali terakhir TRW bersaing dalam saingan Liga M pada musim lepas. — Facebook/TRW
Musim lalu menyaksikan Kelantan FC atau lebih dikenali sebagai The Red Warrior (TRW) bakal hilang dari peta saingan Liga M sekali gus menyaksikan pasukan terbabit hanya tinggal sejarah pada musim ini.
Situasi terbabit berlaku selepas pasukan berpangkalan di Timur tanah air terbabit juga menarik diri untuk bersaing dalam kancah Liga M3 yang kini dikenali sebagai Liga MBSB Bank Championship (MBC) 2024/25. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram