
MENYIMPAN untuk masa depan pendidikan anak-anak semestinya salah satu perancangan kewangan yang menjadi antara keutamaan bagi setiap ibu bapa.
Dengan kos pendidikan yang semakin meningkat saban tahun, langkah menyediakan tabungan dari awal mampu mengurangkan tekanan kewangan apabila tiba masanya nanti.
Apatah lagi, tidak semua ibu bapa mempunyai tahap kemampuan yang sama khususnya ketika membuat pertimbangan antara memenuhi komitmen keperluan harian dan keluarga.
BACA LAGI: 3,000 peserta meriahkan PTPTN Run 2024, pupuk gaya hidup sihat
BACA LAGI: Prestasi 6 tahun cukup membanggakan, PTPTN optimis BMS 2024 catat kutipan deposit RM220 juta
Bagaimanapun, bagi akauntan, Muhammad Ridhwan Ab Latif, 39, langkah membuat simpanan untuk pendidikan bagi anak-anaknya bermula dengan jumlah cukup sederhana iaitu RM100 setiap bulan.
Malah duit raya yang diperoleh anak-anak ketika sambutan Syawal baru-baru ini turut disimpan di Simpan SSPN kerana banyak manfaat dan keistimewaan seperti pemberian dividen setiap tahun yang menyediakan satu bentuk pulangan yang kompetitif ke atas tabungan dibuat.
Menceritakan bagaimana ia bermula, Ridhwan berkata, simpanan bulanan itu mula dilakukannya sejak enam tahun lalu menerusi akaun Simpan SSPN yang dibukanya sebaik menerima kelahiran anak pertama pada tahun 2019.
"Apabila saya timang anak pertama, saya terus fikir untuk menyimpan di Simpan SSPN bagi masa depan pendidikannya.
"Jadi apabila dapat anak kedua dan ketiga, saya terus sahaja buka akaun baharu dan memperuntukkan jumlah sama iaitu RM100 untuk mereka juga," ujarnya yang merupakan bapa kepada tiga orang anak berusia antara satu tahun hingga enam tahun.
Duit raya yang diterima anak-anak boleh disimpan di Simpan SSPN bagi mengelakkan ia dibazirkan kepada perkara yang kurang bermanfaat. — Gambar hiasan
Muhammad Ridhwan yang kini menetap di Shah Alam, Selangor berkata, untuk mendisiplinkan dirinya membuat simpanan tersebut, dia menjadikan ia sebagai keutamaan dalam perbelanjaan bulanan.
Ujarnya, sebarang pendapatan lebihan yang diperoleh termasuk daripada bonus gaji juga akan diperuntukkan kepada simpanan berkenaan bagi memastikan ia bertambah demi menjamin masa depan cerah buat anak-anaknya.
"Saya memang memberi keutamaan kepada Simpan SSPN anak-anak, boleh kata ia ‘top priority’ saya, yang lain-lain seperti perbelanjaan bulanan, saya akan sesuaikan ikut keadaan.
“Contohnya jika ada satu bulan saya rasa wang belanja agak kurang untuk belanja dapur dan sebagainya, dekat situ, saya boleh mengurangkan pembelian barangan tertentu mengikut kesesuaian.
"Bagi saya, perbelanjaan lain-lain masih fleksibel, tapi jangan sesekali ‘miss’ atau kurangkan simpanan," ujarnya yang mula tertarik untuk menyimpan di Simpan SSPN selepas melihat insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 yang diberikan kepada pendeposit.
Ridhwan mengakui tidak menyangka memenangi Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.
Dia turut menyarankan golongan ibu bapa untuk mengambil peluang menjadikan duit raya yang diterima anak-anak untuk disimpan di Simpan SSPN bagi mengelakkan ia dibazirkan kepada perkara yang kurang bermanfaat.
Selain itu, katanya, perkara tersebut akan memupuk budaya menabung dalam kalangan anak-anak seawal usia dan memanfaatkan kelebihan daripada tabungan itu kerana mereka akan mendapat manfaat perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit apabila mempunyai simpanan RM1,000.
"Kalau mula dengan amaun yang sedikit pun tak apa sebab nanti lama-lama duit itu akan bertambah secara kompaun, lebih-lebih lagi dengan dividen tahunan yang diberikan.
"Janji kita konsisten simpan. Nanti pejam celik tanpa kita sedar simpanan itu sekejap sahaja dah meningkat lebih RM1,000. Teruskan konsisten dan jangan keluarkan simpanan tersebut," kongsinya lagi.
Komitmen Muhammad Ridhwan sebagai pendeposit Simpan SSPN juga membuahkan hasil apabila dia menjadi pemenang hadiah Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 iaitu salah satu kempen yang dianjurkan, dan berjaya membawa pulang motosikal Yamaha MT09.
“Saya anggap kemenangan ini sebagai satu rezeki sebab bila saya mula menyimpan, memang niat untuk simpanan pendidikan anak-anak. Tapi sungguh tak sangka pula boleh menang cabutan hadiah yang dianjurkan ini,” kongsinya.
Bahagi komitmen simpanan dengan suami
Bagi seorang lagi pendeposit dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Nor Hafizah Zulkipli, 43, katanya, langkah untuk menyimpan di bawah skim Simpan SSPN bermula agak lewat iaitu sekitar tahun 2020.
Ibu kepada dua orang anak itu berkata, terdahulu, dia hanya mewujudkan tabungan dengan membuat potongan gaji bulanan bagi menyimpan di institusi kewangan lain seperti Tabung Haji.
Nor Hafizah (dua dari kanan) bersama keluarganya.
Bagaimanapun, sebaik menyedari insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan diberikan kepada pendeposit Simpan SSPN, dia yang juga seorang pensyarah tidak berfikir panjang untuk membuka akaun bagi dua anaknya yang masing-masing berusia 14 tahun dan 17 tahun.
Untuk memudahkan urusan simpanan bulanan yang dibuat, dia turut membahagikan komitmen simpanan bersama suaminya yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat pengeluaran automotif.
"Jadi suami saya simpan untuk anak pertama, saya pula anak kedua. Setiap tahun kami pastikan konsisten simpan sampai cecah RM8,000.
"Cara kami simpan pula tidak tetap pada satu-satu amaun. Kadang-kadang mungkin sebulan sekali masuk RM1,000 dan ada masanya sekali-sekala kami masukkan RM500," ujarnya.
Dalam pada itu, sama seperti mana kebanyakan pasangan pendeposit lain, Nor Hafizah mengakui dia turut pernah berdepan kekangan untuk konsisten melakukan simpanan, lebih-lebih lagi ketika berdepan tekanan kewangan semasa negara dilanda pandemik Covid-19.
"Saya mula menyimpan betul-betul awal tahun 2020 sebelum Covid-19. Jadi bila berlaku pandemik, banyak perancangan kewangan keluarga agak terjejas.
"Tapi alhamdulillah waktu itu saya ada simpanan di institusi kewangan lain untuk anak-anak. Jadi apabila rasa gaji tak cukup bulan itu, saya akan ambil daripada institusi kewangan lain untuk masukkan di Simpan SSPN.
“Saya simpan sikit-sikit untuk anak-anak secara konsisten, dan dapat banyak manfaat...namun yang paling tak sangka, saya merupakan salah seorang pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024,” kongsinya yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000.
Menurut Nor Hafizah, hadiah tersebut dibahagikan untuk kedua-dua anaknya bagi dimasukkan kepada akaun Simpan SSPN mereka.
Dalam pada itu, dia turut menasihatkan ibu bapa untuk melakukan perancangan awal bagi menampung kos pendidikan masa depan anak-anak.
"Saya pun mula agak lewat. Tapi semakin lama kos pendidikan semakin meningkat, jadi perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak itu sangat penting.
"Lebih baik bermula seawal mungkin, terutama selepas kelahiran, supaya ada masa untuk membina dana pendidikan yang mencukupi.
"Dengan merancang lebih awal, kita juga dapat menghadapi kemungkinan di masa depan seperti kenaikan kos atau kesulitan mendapatkan pinjaman," ujarnya.
Dalam pada itu, PTPTN kini sedang menjalankan Kempen Cabutan WOW! Gong Xi Raya yang bermula dari 1 Januari lalu sehingga 30 April 2025 ini dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM200,000 menanti 130 pemenang.
Pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN boleh dibuat secara dalam talian dengan lebih mudah, cepat dan selamat melalui aplikasi myPTPTN.
Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuka atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.
Setiap simpanan bersih RM100 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan manakala bagi setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram