AZLINA Mohamad, seorang usahawan berasal dari Kuala Krai, Kelantan membuktikan bahawa dengan kegigihan dan dedikasi, seseorang boleh mencapai kejayaan luar biasa.
Sebelum memulakan perniagaan pusat spa dan kesihatan, D'Lina Spa & Beauty pada 2019, selama 20 tahun, Azlina memberikan perkhidmatan urut dan menjual produk kesihatan dari rumah ke rumah di sekitar kawasan kelahirannya.
Pengalaman bertahun-tahun itu berjaya membina kemahiran dan keyakinan wanita berusia 46 tahun itu dalam memahami keperluan pelanggan.
BACA LAGI: Siap faham loghat Kedah dan Kelantan, MaLLaM versi Malaysia lebih unik dari ChatGPT
Setiap langkah diambilnya, dari rumah ke rumah memberikan peluang buat dirinya mengenali lebih dekat masyarakat sekeliling, sekali gus membina hubungan kukuh dengan pelanggannya.
Justeru, tidak hairanlah, apabila beliau memutuskan untuk mengembangkan perniagaannya dengan membuka D'Lina Spa & Beauty, sambutan diterimanya sangat menggalakkan.
Azlina (tengah) bergambar bersama kakitangannya.
Berkongsi kepada Majoriti, Azlina berkata, sewaktu mengambil keputusan membuka pusat tersebut, masih tidak ada perniagaan memberikan perkhidmatan sedemikian di kawasan tersebut.
Pada masa sama, menurutnya, pengalaman selama bertahun-tahun berkhidmat sebagai tukang urut sambilan di kawasan tersebut turut mendedahkan terhadap potensi perkhidmatan berkenaan.
"Sebelum buka kedai, selain mengurut, saya pun memang menjaja produk kesihatan dari rumah ke rumah.
"Kalau tengah musim gaji itu saya memang akan masuk ke pejabat, sekolah kampung dan tempat orang-orang berkumpul.
"Bila saya buat aktiviti perniagaan itu, saya sedar yang bisnes ini adalah satu perniagaan yang sangat bagus untuk diceburi," katanya yang turut mewarisi kemahiran mengurut dari neneknya.
Selain rawatan urut, D'Lina Spa & Beauty turut menyediakan beberapa perkhidmatan lain antaranya penjagaan berpantang, akupuntur, dan bekam.
Bermula daripada situ, Azlina membuat keputusan untuk menyewa kedai dan membuka D'Lina Spa & Beauty yang terletak di Jalan Guchil, Kuala Krai, Kelantan.
Selain rawatan urut, D'Lina Spa & Beauty turut menyediakan beberapa perkhidmatan lain antaranya penjagaan berpantang, akupuntur, dan bekam.
Ambil peluang ketika krisis
Dalam pada itu, sama seperti perniagaan lain, Azlina mengakui dia turut berdepan dengan cabaran bertahan mengekalkan perniagaannya ketika pandemik Covid-19.
"Sebab pada waktu itu sewa kedai kena bayar RM2,000 sebulan. Kemudian spa pula masih tetap perlu beroperasi," ujarnya.
Dengan kekangan tersebut, Azlina berkata, dia kemudiannya membuat keputusan untuk beralih arah dengan membuka satu lagi cabang perniagaan iaitu akademi kemahiran dengan menjadi tenaga pengajar dalam bidang tersebut.
Menerusi kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran, D'Lina Spa & Beauty menjadi antara yang mendapat tauliah untuk menjadi penilai untuk Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Tiga dan Tahap Empat.
Beliau yang juga pemegang ijazah sarjana muda Pengurusan Kerja Sosial daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, setakat ini, terdapat kira-kira 100 calon yang diuruskan di bawahnya.
Sementara itu, Azlina berkata, dia kini berjaya menjana pendapatan mencecah RM60,000 sebulan menerusi perniagaan D'Lina Spa & Beauty dan juga perkhidmatannya sebagai tenaga pengajar.
Azlina ketika memberikan rawatan kepada pelanggannya.
"Bergantung kepada kerja yang saya dapat. Kalau ada mengajar jadi banyaklah program. Sebab setiap sebulan kita memang akan buka kelas mengajar.
"Kadang-kadang ada bayar sampai RM30,000 hingga RM50,000 untuk mengajar satu-satu program," ujarnya yang turut memiliki tiga diploma iaitu Diploma Lanjutan Pengurusan Spa, Diploma Tahap Empat Urutan Terapeutik dan penjagaan serta Diploma lanjutan Penjagaan Pantang.
Pada waktu ini, D'Lina Spa & Beauty mempunyai sekurang-kurangnya 10 tukang urut dengan kesemuanya terdiri daripada mereka yang mempunyai kemahiran SKM Tahap Empat dalam bidang urutan dan penjagaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram