
MESKIPUN baru dua tahun beroperasi, ia sama sekali tidak menghalang syarikat pengeluar biskut raya tempatan, Sofea Bakery untuk mencapai jualan mencecah jutaan ringgit.
Malah, pada tahun ini, kesemua 250,000 balang kuih dikeluarkan dari kilangnya yang terletak di Besut, Terengganu habis ketika negara hanya memasuki tempoh hari ketiga puasa.
Sofea Bakery merupakan syarikat pengeluar biskut yang diusahakan oleh Sofea Shafie, 25 dan Mas Azliza Mohd Naspu, 31 dengan kedua-duanya masing-masing berasal dari Kelantan.
BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah
Antara keunikan biskut raya dihasilkan jenama tersebut ialah ia dibuat menggunakan di samping menggunakan turun-temurun daripada keluarga Sofea.
Lima jenis biskut raya popular keluaran Sofea Bakery ialah biskut arab, biskut nutella button, biskut dark salted caramel, biskut classic cornflakes dan biskut dahlia.
Majoriti menemu bual Mas Azliza untuk mengetahui dengan lebih lanjut perjalanan perniagaan Sofea Bakery.
1. Boleh kongsikan bagaimana tercetusnya idea untuk memulakan Sofea Bakery?
Sofea Bakery bermula pada tahun lepas, maka 2025 adalah tahun kedua kami beroperasi. Pada asalnya, idea untuk memulakan perniagaan ini datang daripada Sofea yang menawarkan saya untuk bersama-sama menjalankan bisnes ini.
Ketika itu, dia sudah mula jual biskut daripada rumahnya.
Peringkat awal, Sofea jaga bahagian pengeluaran manakala saya pula mengendalikan pemasaran kerana sebelum ini saya sudah buat pelbagai jenis bisnes dan mempunyai satu pasukan ejen yang besar.
Kami berkenalan selepas sama-sama menyertai kumpulan usahawan di Kelantan. Saya dari Kuala Krai manakala Sofea dari Pasir Mas.
Pada tahun lalu, kami berjaya jual 15,000 set yang setiap satunya ada lima balang biskut. Waktu itu satu set berharga RM100.
2. Berapa modal permulaan yang dikeluarkan?
Tahun lepas, kami bermula dengan modal sekitar RM10,000. Sebenarnya kami pun tak sangka jualan mendapat sambutan.
Tambahan pula, kami bermula saat-saat akhir sebulan sebelum puasa.
Lima jenis biskut raya yang dikeluarkan Sofea Bakery. — Sofea Bakery
Pada tahun ini kami masih tak buat pinjaman cuma guna pusingan modal yang diperoleh daripada pendapatan tahun lalu, di samping duit simpanan sendiri.
Jadi, tahun ini kami keluar modal lebih RM200,000 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 250,000 balang.
3. Bagaimana persediaan untuk tahun ini?
Pada tahun ini kami bermula agak awal sejak Disember lalu. Kami mula jual tester (pencuba rasa).
Tahun lepas jual tak sampai 1,000, tapi tahun ini kami jual 12,000 set. Kalau tengok dalam pasaran, jarang orang jual tester, namun kami laksanakan.
Jadi daripada situ kami dapat rekrut ejen jualan supaya mendapat maklum balas daripada pelanggan.
Ejen jualan tahun lepas sekitar 50 orang, tetapi bagi 2025 kami ada lebih kurang 1,800 orang seluruh Malaysia.
Selain itu, kami juga mengadakan kolaboratif set biskut bersama Neelofa dikenali Sofea Bakery X Neelofa.
Pada masa sama, meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak tiga kali ganda. Alhamdulillah, tempahan jualan produk biskut kami habis pada hari ketiga puasa.
4. Apakah cabaran terbesar dihadapi dalam mengendalikan operasi lebih-lebih lagi peningkatan pengeluaran daripada 75,000 balang tahun lalu kepada 250,000 balang tahun ini? Bagaimana Sofea Bakery mengekalkan kualiti produk?
Disebabkan biskut kami tidak menggunakan mesin dan sepenuhnya buatan tangan, jadi kami memerlukan ramai pekerja di kilang.
Pada tahun ini, kami menggunakan sekitar 250 orang pekerja dan boleh dikatakan 90 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.
Jadi, antara cabaran utama tentunya mengendalikan jumlah pekerja yang ramai.
Kemudian pihak saya pula, perlu berdepan dengan kumpulan ejen besar yang pelbagai ragam.
Berkaitan isu kualiti, perkara itu sudah dikenal pasti dan ditangani semasa proses menjual tester.
Tahun ini, Sofea Bakery berkolaborasitif bersama Neelofa mengeluarkan set biskut raya Sofea Bakery X Neelofa.
5. Berapakah pendapatan berjaya diperoleh Sofea Bakery hasil daripada jualan biskut raya yang dijalankan?
Pada tahun lepas, kami berjaya merekodkan jumlah jualan hampir RM1 juta.
Untuk tahun ini, jumlah nilai tempahan yang diperoleh adalah sekitar RM4 juta.
Jadi itu adalah peningkatan hampir tiga kali ganda. Tapi perlu diingatkan kami bekerja tiga bulan sahaja.
5. Apakah sasaran masa depan dan matlamat ingin dicapai dalam perniagaan Sofea Bakery?
Untuk tahun depan, kami menyasarkan untuk mengeluarkan kira-kira 750,000 balang kuih.
Selain itu, merancang meningkatkan lagi kualiti dan kapasiti kilang.
Kalau dilihat kepada pasaran di Malaysia, jumlah pengeluaran kami boleh dikatakan masih agak kecil.
Jadi, matlamat utama Sofea Bakery tidak keluar satu produk biskut sahaja, tetapi insyALLAH produk roti dan pastri lain.
Kalau boleh sekurang-kurangnya ingin mencapai 5 hingga 10 peratus pasaran daripada 35 juta rakyat Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram