
BUKAN sekadar menjadi sumber tenaga kerja, wanita Malaysia kini memimpin dan mencorak masa depan ekonomi negara.
Dari gerai jalanan yang sibuk hinggalah ke empayar digital dan peruncitan, usahawan wanita di Malaysia bukan sekadar mencari rezeki tetapi mereka sedang mengetuai satu revolusi ekonomi.
Menurut dapatan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih 219,000 entiti pemilikan wanita merangkumi perniagaan, hartanah dan aset lain direkodkan pada 2022 dengan mewakili 20 peratus daripada keseluruhan perniagaan di seluruh negara.
BACA LAGI: Cantik dari dapur, brokoli dan bawang miliki manfaat cantikkan rambut, elak gugur
BACA LAGI: Beri sinar baharu untuk kesihatan kulit wanita, vitamin B12 bantu masalah dermatitis
Golongan wanita sedang membentuk masa depan ekonomi negara. — Gambar Hiasan
Statistik itu adalah sebahagian daripada Banci Ekonomi 2023.
Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lebih 70 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada sektor perdagangan borong dan runcit (45.0 peratus) serta subsektor makanan dan minuman (31.1 peratus).
"Peningkatan ini bukan sekadar angka tetapi ia petanda jelas bahawa wanita sedang membentuk masa depan ekonomi negara," katanya.
Beliau menambah bahawa kewujudan wanita dalam ekosistem keusahawanan mencerminkan komitmen Malaysia terhadap inklusiviti gender dan pemerkasaan wanita.
Pertubuhan milik wanita itu menjana output kasar bernilai RM136.9 bilion pada 2022, dengan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar (RM83 bilion) diikuti oleh sektor pembuatan (30 peratus) dan pertanian (5.8 peratus).
Nilai tambah keseluruhan pula mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 6.5 peratus, meningkat kepada RM61.4 bilion pada 2022 berbanding RM39.6 bilion (2015).
Sektor perkhidmatan sahaja menyumbang RM44.4 bilion (72.2 peratus) menunjukkan kekuatan luar biasa wanita dalam ekonomi moden.
Dari segi geografi, Selangor merekodkan jumlah pertubuhan milik wanita tertinggi dengan 15.9 peratus diikuti oleh Sabah (10.4 peratus), Kelantan (9.6 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9.2 peratus) dan Johor (8.9 peratus).
Terdapat 185,582 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik wanita, bersamaan dengan 17 peratus daripada keseluruhan PKS di Malaysia.
Sebahagian besar terlibat dalam sektor perkhidmatan (92.6 peratus), manakala selebihnya dalam sektor pembuatan dan lain-lain.
PKS itu menjana output kasar sebanyak RM89.3 bilion dengan nilai tambah RM44.3 bilion dan menyediakan 833,311 peluang pekerjaan walaupun kadar pertumbuhan tahunan hanya sekitar 0.9 peratus.
Jumlah gaji dan upah dan nilai aset tetap masing-masing ialah RM16.2 bilion dan RM39.7 bilion menunjukkan sumbangan ekonomi yang konsisten dan bertambah setiap tahun.
Presiden Persatuan Peguam Wanita (AWL), Jasmine Wong menyifatkan perkara itu sebagai satu pencapaian penting, namun menggesa agar dasar dan undang-undang diperkasakan untuk mempercepat pertumbuhan wanita dalam sektor ekonomi.
“Wanita masih kurang diwakili dalam sektor pertumbuhan tinggi dan berdepan cabaran sistemik seperti dasar pembiayaan yang ketat dan jurang gaji.
"Kita perlu reformasi struktur yang progresif agar wanita tidak terus dibebani dengan 'double shift' iaitu kerja dan tanggungjawab di rumah,” jelasnya.
Beliau turut menyeru kerjasama lebih erat antara kerajaan, industri dan masyarakat sivil untuk memperkukuh inisiatif mikro-pembiayaan, latihan digital dan pelaksanaan dasar mesra keluarga di tempat kerja. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram