
SIAPA sangka pengalaman ditolak ketika cuba mengeluarkan wang sebanyak S$10 (RM33) daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menjadi titik tolak perubahan besar dalam hidup pencipta kandungan, Celine Leong.
Dengan hanya S$12 (RM39) dalam akaun dan had minimum pengeluaran S$20 (RM66), insiden kecil tersebut membuka mata wanita berasal daripada Singapura itu terhadap betapa tidak teraturnya pengurusan kewangannya ketika itu.
"Saya sedar tabiat kewangan yang diamalkan tidak membantu langsung. Saya sedar sudah tiba masanya untuk berubah.
"Mula dengan menyimpan sebahagian daripada pendapatan bulanan, lama-kelamaan saya meneroka kaedah untuk melindungi dan mengembangkan wang dan merancang untuk persaraan," katanya yang kini aktif memuat naik kandungan menerusi saluran YouTube MiniMoochi, bertemakan kekeluargaan dan pengalaman membesar.
BACA LAGI: ‘Menabung sikit tak apa, asalkan konsisten’, Tip bina tabung pendidikan anak-anak dengan Simpan SSPN
BACA LAGI: Menabung RM13 sehari selama 17 tahun, penjaga parkir akhirnya naik haji bersama isteri
Celine kemudian menemui empat tabiat kewangan untuk mencapai kesejahteraan kewangan.
"Ia sangat selari dengan pendekatan saya sendiri, bukan sekadar menyimpan, tetapi juga melindungi, mengembangkan dan menjamin masa depan kewangan," jelasnya.
1) Simpan untuk kecemasan
Celine memulakan perubahan dengan menyimpan 10 peratus daripada pendapatan bersihnya setiap bulan.
Matlamat awalnya adalah untuk mengumpul dana kecemasan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan sekurang-kurangnya enam bulan.
"Ia ambil masa lapan bulan untuk capai sasaran itu. Memang sukar pada mulanya, tapi apabila dah jadi tabiat, saya rasa lebih tenang untuk berbelanja baki duit yang ada," katanya.
Celine menyimpan 10 peratus daripada pendapatan bersihnya setiap bulan. — Agensi
2) Lindungi diri dan insan tersayang
Nasihat ibu bapa tentang kepentingan insurans mula diberi perhatian lebih serius selepas seorang rakan rapatnya mengalami strok secara tiba-tiba.
Celine mula mengambil perlindungan kesihatan dan penyakit kritikal, yang disifatkannya sebagai langkah penting demi kestabilan kewangan.
Beliau turut menyeru orang ramai agar memberi perhatian kepada enam jenis perlindungan asas, iaitu kesihatan, hayat, penyakit kritikal, pinjaman rumah, hilang upaya dan perlindungan am.
"Insurans mungkin membosankan, tapi ia beri ketenangan fikiran yang tak ternilai," katanya.
3) Labur gandakan simpanan
Setelah memiliki tabung kecemasan dan perlindungan insurans mencukupi, Celine mengambil langkah berani untuk mula melabur.
Bermula dengan hanya 10 peratus daripada pendapatan, beliau memilih pelaburan jangka panjang yang pelbagai.
"Saya dulu fikir pelaburan hanya untuk orang kaya, tapi rupanya, tidak melabur langsung lebih merugikan," katanya yang kini percaya pada kuasa penggandaan hasil (compounding) dalam jangka masa panjang.
Bermula dengan hanya 10 peratus daripada pendapatan, Celine memilih pelaburan jangka panjang yang pelbagai. — Instagram/moochihehe
4) Persaraan
Walaupun masih muda, Celine tidak memandang ringan soal persaraan. Sebagai pekerja bebas tanpa caruman Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Singapura tetap daripada majikan, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk menambah simpanan CPF dan merancang persaraan secara aktif.
Beliau turut menggunakan perancang persaraan di aplikasi POSB digibank bagi menganggarkan dana yang diperlukan dan kini dalam usaha mewujudkan sumber pendapatan pasif tambahan selain pelaburan dalam saham berdividen.
"Perancangan kewangan adalah satu perjalanan. Saya belum capai kebebasan kewangan, tapi saya tahu asasnya sedang dibina," ungkapnya dengan yakin.
Walaupun perjalanan penuh cabaran, Celine bersyukur kerana dirinya berani mengambil langkah pertama.
“Raikan perjalanan ini, kekal positif dan biarkan usaha membawa anda ke masa depan yang diimpikan.
"Ingat, masa terbaik untuk bermula ialah semalam. Masa terbaik seterusnya ialah hari ini,” bicaranya.
Perjalanan Celine membuktikan bahawa perubahan positif boleh bermula daripada langkah kecil, asalkan ada kesungguhan untuk belajar dan berubah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram