
JENAMA mewah kontemporari, Amber kembali mencetuskan fenomena dalam dunia fesyen Muslimah dengan pelancaran koleksi eksklusif terbaharunya, Amber Oasis Abaya.
Mengangkat gabungan rekaan avant-garde dan warisan Islamik sebagai naratif utama, edisi terhad itu direka khusus buat wanita berjiwa seni dan bergaya tinggi.
Memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju segmen pakaian Muslimah berkelas tinggi di Malaysia, Amber meneruskan legasi rekaan eksklusif dengan sentuhan lokal yang mewah dan sofistikated.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn. Bhd., Datuk Adzliana Hasan, Amber Oasis Abaya bukan sekadar pakaian, sebaliknya ia adalah manifestasi seni dan keanggunan.
“Amber bukan sekadar jenama. Ia adalah lambang keyakinan dan keanggunan wanita Muslimah moden.
"Kami percaya setiap wanita berhak untuk bergaya dengan penuh keyakinan tanpa mengetepikan nilai dan keselesaan.
"Pelancaran Amber Oasis Abaya ini merupakan manifestasi komitmen kami dalam menyediakan fesyen berkualiti tinggi dengan sentuhan eksklusif tempatan," katanya ketika majlis pelancaran Amber Abaya Oasis yang berlangsung di Glasshouse at Seputeh, Kuala Lumpur pada Rabu.
Adzliana (tengah) ketika majlis pelancaran Amber Abaya Oasis di Kuala Lumpur pada Rabu.
Menambah aura glamor pada pelancaran kali ini ialah pelantikan tiga selebriti wanita terkenal tanah air, yakni Nora Danish, Amira Othman dan Amyra Rosli sebagai duta rasmi koleksi.
Tiga figura berkenaan bukan sahaja sinonim dengan kejelitaan dan pengaruh mereka, tetapi juga mencerminkan nilai-nilai gaya hidup Muslimah kontemporari yang menjadi aspirasi ramai.
"Kerjasama bersama tiga selebriti ini bukan sekadar kempen pemasaran, tetapi usaha strategik untuk mendekatkan jenama dengan pengguna yang mengidolakan mereka sebagai wanita hebat yang tetap menjaga prinsip dan imej walau dalam dunia serba moden.
"Nora Danish dengan gaya sofistikatednya, menggambarkan aura mewah Madeena. Amira Othman lemah lembut dan ayu, selari dengan aura feminin Jumaira.
"Amyra Rosli, ikon wanita muda berkeluarga yang berani bergaya, menyerlah bersama Arora yang moden," jelasnya.
Jenama Amber menawarkan legasi rekaan eksklusif dengan sentuhan lokal yang mewah dan sofistikated.
Koleksi Amber Oasis Abaya menampilkan empat rekaan utama yang diberi nama Madeena, Arora, Jumaira dan Sahara, masing-masing direka untuk memenuhi pelbagai cita rasa dan gaya wanita moden:
Madeena (RM329) – Abaya klasik dalam rona lembut seperti biru lembut, merah manggis dan purplish gold.
Potongan free size dan elemen feminin menjadikannya pilihan elegan penuh kelembutan.
Arora (RM289) – Didatangkan dalam dua versi iaitu copper brown (pleated) dan midnight blue (non-pleated), sesuai untuk wanita yang gemar akan kelainan tekstur dan potongan berstruktur.
Jumaira (RM259) – Reka bentuk kasual namun mewah dengan warna putih, hijau pudina dan light brown. Sesuai untuk acara siang mahupun malam.
Sahara (RM199) – Rekaan paling versatil dan mesra bajet dalam koleksi tersebut, hadir dalam rona hitam, coklat dan hijau. Potongannya ringkas tetapi kekal eksklusif.
Setiap rekaan hanya ditawarkan sebanyak 500 unit, menjadikan koleksi itu buruan eksklusif para peminat fesyen Muslimah.
Setiap pembelian Amber Oasis Abaya disertakan kotak hadiah berlapik sutera, sijil keaslian bernombor dan e-pass jemputan ke majlis previu eksklusif di Kuala Lumpur Fashion Week pada September 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram