
PELAKON popular tanah air, Fasha Sandha menyentuh hati ramai peminat selepas berkongsi momen penuh kasih sayang bersama ibu tercinta sempena tarikh kelahiran ratu hatinya, yang juga jatuh pada sambutan Hari Guru.
Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, Fasha memuat naik beberapa gambar kenangan lama bersama ibunya, disertai dengan kapsyen penuh emosi dan penghargaan buat insan yang membesarkannya seorang diri tanpa kehadiran seorang bapa.
“Dearest mama, ibuku, ratu hatiku, inilah ibu saya. Jika ramai tanya kenapa kami comel, kami dapat kecomelan ini daripada ibu,” tulisnya pada Jumaat.
BACA LAGI: Fasha Sandha didik anak-anak bersederhana, tak salah naik kelas ekonomi, asalkan selesa dan jimat
BACA LAGI: Keanggunan koleksi abaya Alfaro, pesona Fasha Sandha persis ratu Arab
Akuinya, walau adakala tidak sependapat, namun kasih seorang anak terhadap ibu tetap mengatasi segalanya.
"Biasalah, mama gen (generasi) lain, kita semua kan gen Z, jadi pemikiran selalu tak sama.
"Adakalanya merajuk, tapi ini ibu yang mengandungkan dan membesarkan kita, jadi hati ini auto cepat sejuk apabila dengan wanita bernama ibu," ungkapnya.
Fasha atau nama lengkapnya Fasha Sandha Hassan, 41, turut menyentuh sisi keperibadian ibunya yang semakin sensitif seiring usia, namun tetap menjadi sumber kekuatan dan keberkatan dalam hidupnya.
Ujarnya, berkat doa daripada ibulah yang membuatkan rezeki beliau mengalir tanpa henti, jadi seorang anak perlu tetap meletakkan kedudukan ibu di tempat tertinggi.
"Sifat seorang ibu, semakin berusia semakin jadi budak-budak balik, cepat tersentuh, merajuk, membebel, itu lumrah seluruh dunia," katanya.
Dalam coretan penuh syukur itu, Fasha turut meminta pengikutnya mendoakan agar ibunya dikurniakan kesihatan yang baik dan kebahagiaan berpanjangan.
“Kepada mama, insan yang membesarkanku tanpa susuk seorang bapa, saya sayang mama.
"Terima kasih kerana membesarkan kami dan menjadikan Sha (Fasha) siapa diri Sha sekarang. Tanpa doa mama, Sha tidak akan berjaya,” tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram