
SUKAR untuk menidakkan apabila bergelar selebriti, personaliti, sosialit ataupun pempengaruh, orang sekeliling pasti beranggapan semua benda dibelanjakan haruslah mahal dan mewah.
Seolah-olah menjadi kesalahan pula sekiranya golongan berkenaan membeli barangan harga murah. Walhal, tidak termaktub dalam mana-mana peraturan selebriti wajib memiliki produk level 'kayangan'.
Paling penting faktor keselesaan, kualiti dan dapat berjimat-cermat untuk perbelanjaan yang lebih utama baik buat diri sendiri mahupun seisi keluarga.
BACA LAGI: Keanggunan koleksi abaya Alfaro, pesona Fasha Sandha persis ratu Arab
BACA LAGI: Dulu berdua kini bertiga, 4 selebriti teruja raya bersama cahaya mata sulung
Fasha (dua dari kiri) bersama suami, Aidil Aziz dan anak-anak ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri di Perlis baru-baru ini.
Inilah dipraktikkan oleh pelakon, usahawan dan duta jenama fesyen dan kecantikan Fasha Sandha, yang lebih cenderung berbelanja secara berhemah dari segala aspek.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, beliau selesa dengan gaya hidup sedemikian.
"Rasanya tepat pilihan saya, dari awal mengekalkan hidup cara bersederhana sejak dulu sehingga sekarang.
"Saya memang hidup cara sederhana dan ini pilihan saya untuk keluarga," tulisnya menerusi Threads baru-baru ini.
Bicara lanjut, pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan itu juga memaklumkan bahawa amalan berjimat-cermat bukan sahaja untuk bekalan simpanan masa depan, bahkan boleh membantu insan memerlukan.
"Tak selamanya kita di atas dan sementara kita masih di atas, lebih baik kita berjimat cermat dan beri pada mereka yang memerlukan dan menyimpan untuk masa depan," jelas pelakon yang pernah membintangi karya Khilaf Asmara, Anak Halal dan Dendam Seorang Isteri.
Sikap Fasha tentang berjimat-cermat turut dapat dilihat apabila beliau sekeluarga memilih menaiki penerbangan kelas ekonomi pulang ke kampung untuk menyambut hari raya baru-baru ini.
Biarpun ada pihak dikatakan 'terkejut' dengan keputusannya itu, namun bagi Fasha sama ada kelas ekonomi atau kelas perniagaan semua penumpang sama saja berhak mementukan pilihan masing-masing.
"Sejujurnya, sejak berusia 18 tahun saya mampu naik pesawat, saya latih diri memilih kelas ekonomi. Mampu atau tidak belakang kira, tetapi saya pilih berjimat-cermat daripada membazir perkara tidak perlu.
"Untuk pengetahuan semua Jemyma (anak kedua) selalu request naik pesawat business class, tapi saya selalu cakap kos beribu, kelas ekonomi beratus.
"Lebih baik kita sedekah duit itu pada yang memerlukan daripada bayar keselesaan untuk sejam," titip dalam satu hantaran di Instagramnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram