Hidupkan suasana raya ala tanah air, wanita warga Malaysia di Jubail, anggun berbaju kurung, anjur rumah terbuka


  • Relaks
  • Isnin, 31 Mac 2025

Walaupun tidak ramai, hubungan erat sesama rakyat Malaysia di Jubail menjadikan suasana raya lebih meriah.

SUASANA sambutan Hari Raya Aidilfitri di luar negara pastinya memberikan aura berbeza berbanding di tanah air sendiri.

Walaupun umat Islam di seluruh dunia menyambut kejayaan selepas sebulan berpuasa, cara sambutannya sering kali dipengaruhi budaya dan keadaan persekitaran setempat.

Mengakui hal itu, Rosaniza Zainal Abidin, 49, yang kini menetap di Jubail, Arab Saudi, sambutan raya di kawasan perindustrian tersebut tidaklah semeriah di Malaysia.

BACA LAGI: Dilema pulang beraya kampung suami atau isteri, kekalkan tradisi bergilir atau mengalah demi kebahagiaan pasangan?

BACA LAGI: Bekas jurutera sanggup jual nasi lemak, kuih kumpul modal untuk buka bisnes krim pelindung matahari mesra wuduk

Tiada dendangan takbir di pagi raya, tiada sekumpulan kanak-kanak yang berkunjung dari rumah ke rumah dengan wajah ceria mengucapkan salam.

Bagaimanapun ujar Rosaniza, semangat dan makna Aidilfitri tetap dirasai oleh komuniti umat Islam di Jubail, meskipun dalam suasana yang lebih sederhana.

"Dengan kira-kira 13 keluarga Malaysia mendiami kawasan perumahan ini, kami bersepakat meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih meriah dengan cara sendiri.

"Walaupun berjauhan dengan tanah air, kami sedaya upaya membawa suasana kekeluargaan yang erat," katanya kepada Majoriti.

Rosaniza dan rakan-rakan akan menganjurkan rumah terbuka setiap tahun.

Bercerita lanjut, bagi kebanyakan keluarga Malaysia di Jubail, perayaan dimulakan dengan keluarga terdekat berkumpul untuk menikmati hidangan pagi raya bersama-sama.

Pada sebelah petang pula ujar beliau, kebiasaannya mereka akan berkunjung ke rumah jiran terdekat bagi menikmati juadah bersama.

"Selain keluarga Malaysia, terdapat juga jiran dari negara lain seperti Mesir dan Pakistan, yang turut memeriahkan suasana.

"Jadi saban tahun, kebiasaannya kami akan menganjurkan rumah terbuka dan menjemput lebih ramai rakyat Malaysia di Jubail untuk beraya," kongsi ibu empat anak itu.

Bahan masak

Menurut Rosaniza lagi, sambutan perayaan di Jubail membawa cabaran tersendiri bagi warga Malaysia, khususnya bagi mendapatkan bahan-bahan masakan tradisional.

Walaupun beberapa bahan asas seperti kerisik kini boleh didapati di pasaran tempatan, banyak bahan masakan khas Malaysia masih perlu dibawa dari tanah air antaranya daun kunyit dan cili kering.

Ceritanya lagi, santan yang menjadi bahan utama dalam banyak hidangan tradisional Malaysia juga dijual dengan harga yang agak mahal di Jubail.

"Satu kotak santan 400 mililiter (ml) boleh cecah sekitar lapan riyal (RM9).

"Selain santan, bahan-bahan lain seperti kicap manis, sos cili, bunga kantan dan daun kesum juga adalah bahan yang kami bawa dari Malaysia untuk pastikan masakan tetap terasa seperti di tanah air," tambahnya.

Rosaniza bergambar bersama keluarganya di hadapan kediaman mereka di Jubail.

Menetap selama hampir lapan tahun selepas mengikut suaminya, Mohamad Iskandar, 52, bertugas sebagai pengurus perancangan korporat di Arab Saudi, Rosaniza berkata, beliau akan membuat panggilan video bersama keluarga di Malaysia sebagai cara merapatkan jarak yang jauh.

"Saya bersyukur kawan-kawan di sini juga sudah dianggap sebagai keluarga. Walaupun tidak ramai, hubungan erat sesama kami menjadikan suasana raya lebih meriah," bicaranya yang juga pernah menetap di Bahrain.

Pos baju raya

Sementara itu, bagi Azilah Hashim, 43, menyambut hari raya di perantauan memerlukan banyak persiapan, terutama dalam mendapatkan kelengkapan pakaian raya.

Justeru setiap tahun beliau akan membeli baju raya dari Malaysia dan meminta bantuan kakaknya mengepos pakaian tersebut ke Jubail, sebelum tiba Ramadan.

"Kebiasaannya akan mengambil masa kira-kira dua minggu tapi saya akan tempah awal supaya lebih mudah," katanya.

Kongsi Azilah lagi, walaupun baju raya tradisional seperti baju kurung menjadi pilihan utama, kebanyakan wanita Malaysia memilih untuk mengenakan busana abaya ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid.

Rosaniza (kiri) bersyukur rakan-rakan di Jubail juga sudah dianggap sebagai keluarga sendiri.

Ini kerana katanya, budaya di sana tidak menggalakkan pemakaian tona yang terang atau terlalu mencuri perhatian.

"Jika pakai baju terlalu terang atau warna-warni, memang ada yang akan tegur.

"Di masjid, pakaian lebih neutral seperti hitam atau warna gelap lebih sesuai," tambahnya.

Meskipun begitu, ia bukanlah halangan besar kerana mereka yang sudah biasa tinggal di sana faham dan dapat berkomunikasi dalam bahasa Arab, meskipun tidak fasih sepenuhnya.

"Pernah sekali saya dan beberapa kawan ditegur kerana memakai pakaian yang berwarna, namun kami lebih berhati-hati selepas itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram