Adzliana enggan 'goyang kaki' kerana bisnes bapa, sentiasa bermurah hati kongsi ilmu perniagaan dengan usahawan wanita


  • Bizz
  • Isnin, 03 Feb 2025

Usahawan wanita itu turut menekankan bahawa perniagaan adalah satu proses pembelajaran yang berterusan.

BERMULA daripada perbualan santai lima sahabat ketika pandemik Covid-19 melanda negara, Usanita Sdn. Bhd. (Usanita) kini berkembang menjadi platform komuniti yang aktif membantu usahawan wanita khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bercerita kepada Majoriti, Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan berkata, idea penubuhan organisasi itu tercetus selepas mereka berlima, yang masing-masing memiliki perniagaan sendiri gemar berkongsi perjalanan bisnes sambil menikmati secawan kopi.

Pandemik yang membatasi pergerakan ketika itu menyebabkan mereka melihat ada keperluan untuk membentuk satu platform fizikal bagi berkongsi ilmu dan pengalaman.

BACA LAGI: Tinggalkan dunia korporat di AS, Suri komited perkasa wanita dan industri fesyen sederhana di Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

"Apabila idea ini dilihat memberi kesan positif, saya terfikir mengapa tidak kita jadikan ia lebih serius dengan mengumpulkan lebih ramai usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk membina satu komuniti?" katanya.

Menepis tanggapan organisasi itu adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Adzliana menjelaskan, Usanita merupakan syarikat korporat bertindak sebagai jambatan antara usahawan wanita dengan pihak kerajaan dan sektor swasta.

Ujarnya, mereka bukan NGO yang menyediakan dana atau bantuan secara langsung, sebaliknya mencipta program dan rangkaian untuk memberi peluang kepada usahawan wanita memperoleh ilmu dan akses kepada bantuan yang ada.

Antara program diperkenalkan termasuk Penjenamaan dan Pendigitalan, yang memberi peluang kepada 50 usahawan terpilih memasarkan produk dengan bantuan selebriti terkenal seperti Datuk Rosyam Nor.

"Program lain termasuk Bootcamp Usanita yang memberi pendedahan tentang pengurusan jenama, kepimpinan dan strategi pemasaran digital," bicaranya.

1

Adzliana komited dalam membantu usahawan B40 dan M40 di negara ini. — Instagram/nanahasan_07

Kerjasama antarabangsa

Kongsi usahawan berusia 43 tahun itu lagi, Usanita dijangka meluaskan pengaruhnya ke peringkat global dengan menjalin kerjasama bersama Oxford University, London melalui program Bridge to Brilliant 3.0 Usanita x Oxford University, pada tahun ini.

Program tersebut membuka ruang perbincangan mengenai kepimpinan dan keusahawanan sosial, mengangkat Malaysia sebagai hab penting dalam mencetuskan idea-idea baharu di pentas antarabangsa.

Menurut Adzliana, kolaborasi itu melibatkan program jangka masa pendek selama lima hari hingga dua minggu yang memberi tumpuan kepada kepimpinan dan strategi perniagaan.

"Ini adalah satu sejarah yang bakal dilakar Usanita di Oxford dan saya berharap ia menjadi permulaan baik bagi 2025," katanya sambil memaklumkan, memorandum persefahaman (MoU) bersama Said Business School itu akan ditandatangani Februari ini.

Selain MoU, ahli perniagaan itu juga dijemput mewakili wanita Malaysia untuk berucap dalam sesi Town Hall di Universiti Oxford termasuk menghadiri majlis makan malam dan minum petang eksklusif universiti tersebut, yang diadakan sebagai perayaan istimewa beberapa tahun sekali.

Untitled design

Butik flagship Amber berlokasi di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. — Instagram/nanahasan_07

Kerjasama komersial

Di bawah sayap Usanita Group, Usanita Entertainment turut mencipta kejayaan dengan penerbitan dua telefilem arahan Erma Fatima.

Penggambaran akan berlangsung di United Kingdom dan melibatkan barisan pelakon popular seperti Fattah Amin, Sophia Albarakbah, Zoey Rahman, Sheila Rusli dan beberapa selebriti lain.

Telefilem itu dijadualkan tayangannya di sebuah stesen televisyen bersempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Selain pembangunan komuniti, Adzliana turut mengembangkan sayapnya dalam industri fesyen, kecantikan dan produk kediaman di bawah jenama gaya hidup mewah, Amber.

Jenama Amber terus mengukuhkan kedudukan dalam industri fesyen dan kecantikan dengan pelancaran tiga sub jenama baharu iaitu Amber Home, Amber Beauty dan Amber Ready to Wear Casual.

Ketiga-tiga jenama berkenaan menjadi pembuka tirai 2025, dengan pelancaran butik flagship di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur yang mendapat sambutan begitu menggalakkan.

Memilih nama besar Shah Al-Yahya, Awal Ashaari, Aina Abdul, Nora Danish, Fattah Amin dan Sophia Albarakbah sebagai duta dianggap sebagai strategi memperkukuh kedudukan Amber di pasaran.

Snapinst.app_474858119_18019585067657689_2257788268067141781_n_1080

Adzliana (empat dari kanan) bersama barisan selebriti popular yang merupakan wajah rasmi Amber. — Instagram/nanahasan_07

Ujar Adzliana, kemunculan selebriti berkenaan sebagai wajah rasmi Amber bukan hanya melibatkan kerjasama komersial, tetapi juga melambangkan aspirasi gaya hidup premium dan moden yang ingin dipamerkan.

Berkongsi mengenai kategori pakaian pula, cerita Adzliana, koleksi kasual Amber meraih perhatian ramai, dengan beberapa produk seperti baju hijau kasual yang digayakan Nora Danish dan Fattah Amin habis terjual sebaik pelancaran.

Dalam pada itu, Amber Beauty turut memperkenalkan rangkaian produk kecantikan termasuk lip tint, gincu, set trio dan eyebrow kit, di samping koleksi minyak wangi eksklusif dengan label selebriti seperti Fattah Amin, Aina Abdul serta Sofia Albarakbah.

"Amber bukan sekadar jenama, tetapi satu evolusi daripada pengalaman saya dalam dunia perniagaan.

"Setiap produk direka dengan 'DNA' khas Amber yang menampilkan corak tersendiri," jelas pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa daripada Universiti Multimedia, Cyberjaya itu.

WhatsApp Image 2025-01-31 at 19.08.33

Antara koleksi pakaian ditawarkan di butik Amber.

Gagal

Wanita itu turut menekankan bahawa perniagaan adalah satu proses pembelajaran yang berterusan.

Ujarnya, jenama Amber pertama kali diperkenalkan sekitar 2016 sebagai produk kesihatan, namun perjalannnya tidak mudah.

Selepas mengkaji pasaran dan memperbaiki strategi, beliau memutuskan untuk mengembangkan Amber kepada sektor fesyen dan kecantikan.

"Itu adalah fasa pembelajaran saya. Ketika itu saya cuba berniaga, tetapi tidak berjaya.

"Saya terpaksa melakukan pelbagai perkara termasuk kajian dan penyelidikan (R&D). Anda perlu belajar bagaimana menstabilkan dan mengenali DNA perniagaan sendiri.

"Dalam bisnes, kerugian adalah perkara biasa. Jika seseorang berniaga dan hanya mendapat keuntungan tanpa kerugian, mungkin itu bukanlah perniagaan sebenar," jelasnya yang pernah bertugas sebagai kerani di syarikat milik bapanya, Profesor Datuk Seri Dr. Hasan Yusoff yang mengusahakan perniagaan perkhidmatan keselamatan.

WhatsApp Image 2025-02-01 at 21.12.54

Usanita Entertainment turut mencipta kejayaan dengan penerbitan dua telefilem arahan Erma Fatima (kanan). — Instagram/nanahasan_07. — Instagram/nanahasan_07

Adzliana juga memberi galakan kepada wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan, sama ada dari rumah atau melalui pembukaan kedai fizikal.

Baginya, pilihan itu bergantung pada kemampuan dan keselesaan masing-masing.

Beliau dalam masa sama turut menekankan kepentingan mendaftarkan perniagaan dan menjalankan proses audit serta perlindungan harta intelek bagi memastikan perniagaan dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi.

"Ramai wanita berjaya yang memulakan perniagaan dari rumah, seperti dalam bidang makanan, jahitan atau kraf tangan. Yang penting, mereka tahu menguruskan perniagaan dengan baik," katanya yang sudah hampir 15 tahun aktif dalam dunia bisnes. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram