Sejak kecil jual pelekat di sekolah, kemoterapi tak halang Elyana bereksperimentasi dalam F&B


  • Sukses
  • Selasa, 20 Mei 2025

Selain dikenali dengan suara unik, Elyana kini giat mengembangkan perniagaan makanannya. — Instagram/elyanaofficial1

FENOMENA selebriti tanah air menceburi dunia keusahawanan kini bukan lagi perkara asing.

Tidak hanya bergantung kepada dunia hiburan, semakin ramai anak seni kini bijak memanfaatkan populariti untuk mengukuhkan jenama perniagaan sendiri.

Daripada kosmetik, penjagaan kulit, fesyen hingga ke sektor makanan dan minuman (F&B), mereka semakin aktif membina empayar masing-masing.

BACA LAGI: Perjuangan 11 tahun berhasil, Elyana sahkan dirinya bebas kanser

BACA LAGI: 'Makin cantik dan tenang', Elyana lawat Siti Bainun, siap borong kuih cucur badak penghuni penjara Kajang

 

 

Tidak terkecuali, penyanyi dan pelakon, Elyana, 38, yang bukan sahaja dikenali dengan suara uniknya, malah giat mengembangkan perniagaan makanan seperti mi kari dan biskut semperit resipi neneknya, yang dimulakan secara kecil-kecilan.

Bermula dengan menjual pelekat kepada rakan-rakan di sekolah, minat berniaga sebenarnya sudah lama berputik dalam diri pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu.

"Semasa kecil modal tak besar, jadi apa yang boleh dibuat duit, mesti saya akan jual. Contohnya saya akan beli pelekat dan jual di sekolah," kongsinya memulakan bicara kepada Majoriti.

Sajian mi kari Elyana yang kini boleh dinikmati di sebuah restoran di Alam Budiman, Seksyen U10, Shah Alam. — Instagram/elyanaofficial1 

Walaupun tiada latar belakang keluarga dalam dunia perniagaan, pemilik nama lengkap Erneelya Elyana Emrizal itu memberitahu, minat tersebut semakin berkembang selepas berkahwin dengan usahawan, Khairul Anuar Husin berusia 51 tahun.

Ceritanya lagi, meski tidak diajar secara langsung, semangat untuk berbisnes telah meresap dengan sendirinya.

Beliau mulai serius dalam bidang tersebut ketika mengandungkan anak pertamanya pada usia 23 tahun, dengan bereksperimen menghasilkan coklat.

“Disebabkan mengandung, saya sudah mula tidak terlibat dengan penggambaran dan banyak habiskan masa berehat di rumah.

"Saya pula dah biasa bekerja, jadi apabila duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa, rasa macam ada yang tidak kena.

"Jadi saya mula pergi ke bakeri untuk berjalan, sebab tak tahu nak buat apa, sehinggalah tiba-tiba tercetus idea nak buat coklat," ujar penyanyi yang memulakan karier dalam dunia hiburan ketika berusia 14 tahun.

Elyana perlahan-lahan mula mengukuhkan jenama perniagaan sendiri. — Instagram/elyanaofficial1 

Selepas kejayaan produk coklat dan biskut semperit, Elyana mula memperkenalkan hidangan mi kari, yang kini mendapat sambutan hebat daripada pelanggan dalam pelbagai acara.

Selain dijual di acara tertentu, kini sajian mi kari beliau boleh dinikmati di sebuah restoran di Alam Budiman, Seksyen U10, Shah Alam, Selangor.

Menariknya, meskipun tidak diajar memasak sewaktu kecil, beliau berjaya mengasah sendiri kemahiran hingga berjaya menjadikannya sebagai salah satu punca pendapatan.

Dorongan individu sekeliling membuatkan Elyana mula memperbaiki kemahirannya sedikit demi sedikit, termasuk belajar memasak dalam kuantiti besar untuk tujuan jualan.

"Ada satu ketika apabila saya masak dan panggil kawan-kawan datang makan, dari situ semua kata sedap.

"Pada mulanya tak percaya, tapi lepas itu mereka suruh jual pula. Jadi dengan sendirinya saya buat penambahbaikan dan belajar masak dalam kuantiti banyak," ujarnya.

 

Keluarga adalah tulang belakang utama dalam hidup Elyana (dua dari kiri). — Instagram/elyanaofficial1 

Strategi dan kesabaran

Menyedari bidang tersebut bukan sesuatu yang mudah, Elyana percaya kesabaran dan usaha berterusan merupakan kunci utama untuk bertahan serta berjaya.

"Setiap perniagaan dan pekerjaan pasti ada cabarannya. Dalam bisnes makanan misalnya, ujian datang dari segi makanan tak habis dijual, isu staf dan juga pemasaran.

"Macam mana nak buat orang tahu tentang produk kita? Semua itu memerlukan strategi dan kesabaran.

“Kalau nak berjaya, perlu sabar. Masak kena sedap dan harga kena berpatutan,” katanya.

Baginya, setiap pengalaman dilalui menjadi pembelajaran penting. Antara cabaran yang dihadapinya termasuk ketika menyertai acara jualan atau festival makanan.

"Biasalah, perniagaan kecil macam kami ini duduk bawah kanopi. Jadi, apabila cuaca tak menentu atau ribut, barang-barang boleh rosak dan perniagaan terganggu," ujarnya yang melakukan semua proses dengan sendiri termasuk menyiapkan bahan mentah, memasak, membungkus dan menamakan produk.

Kekuatan dalaman

Elyana masih menjalani rawatan kemoterapi sehingga kini. — Instagram/elyanaofficial1 

Biarpun sudah tiga tahun disahkan bebas daripada penyakit kanser limfoma dihidapi selama 11 tahun, Elyana mengakui masih menjalani rawatan kemoterapi.

Walaupun rawatan masih diteruskan, wanita itu sentiasa kekal positif.

"Alhamdulillah, dari dulu sampai sekarang saya masih lagi dikurniakan tenaga yang sangat luar biasa.

"Kadang-kadang saya tengok orang yang lebih sihat daripada saya, tapi saya pula yang rasa lebih bertenaga daripada mereka.

"Tidak tahulah sampai bila (kemoterapi), tapi saya reda. Doakanlah kita semua dijauhkan daripada perkara buruk.

"Kalau diuji dengan penyakit pun, biarlah kita dapat laluinya dengan tenang,” ujarnya penuh harapan.

Ditanya sumber kekuatan yang menyuntik semangatnya untuk terus melangkah, Elyana tanpa ragu menyebut keluarga sebagai tulang belakang utama dalam hidupnya.

Bicaranya, hasil diperolehi bukanlah semata-mata untuk diri sendiri, sebaliknya biarlah ia memberi manfaat kepada orang lain terutamanya keluarga.

Wanita itu percaya, setiap rezeki yang diperoleh harus digunakan dengan tujuan yang jelas dan bermanfaat.

"Setiap kali nak sertai sesuatu acara, saya sudah ada perancangan bagi setiap keuntungan termasuk beli sesuatu untuk mak ayah, buat kenduri atau belanja makan di masjid.

"Bukan sekadar cari duit dan habis macam itu sahaja. Saya selalu pastikan setiap usaha ada hasil yang memberi nilai," tutur ibu kepada dua cahaya mata termasuk seorang anak angkat itu.

Bungkam

Lagu Bungkam ditulis semasa Elyana berada dalam keadaan kesihatan yang amat lemah. — Instagram/elyanaofficial1 

Bercerita tentang aktiviti seni, Elyana kembali merancakkan industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbarunya berjudul Bungkam, yang kini boleh didengari di platform YouTube.

Menurut Elyana, lagu ciptaan Adi Priyo yang dikeluarkan sejak tahun lalu itu cukup dekat di hatinya kerana ditulis pada saat beliau berada dalam keadaan kesihatan yang amat lemah.

“Lagu Bungkam ditulis semasa saya sakit sangat, sebelum memulakan kemoterapi yang terakhir pada ketika itu.

"Berat saya pun cuma sekitar 35 kilogram (kg), sampai tiada keyakinan nak keluar rumah atau bekerja,” kongsinya dengan nada tenang.

Tambahnya lagi, idea menghasilkan lagu tersebut muncul daripada perbualannya dengan seorang teman rapat.

“Mula-mula nak tulis buku, tapi kawan saya cadangkan, ‘kenapa tak buat lagu saja?’ Jadi kami tulis lirik sama-sama dan hasilkan lagu yang menggambarkan emosi dan keadaan saya waktu itu,” akhirinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram