Pemergian bapa jadi titik pemula, Miss Malaysia bawa misi kesihatan mental ke pentas dunia


  • Sukses
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Saroop menyimpan hasrat untuk membuka klinik kesihatan mental sendiri pada suatu hari nanti. — Saroop Roshi

WAKIL Malaysia ke pentas Miss World 2025, Saroop Roshi bukan sekadar ratu cantik yang tampil bergaya.

Sebaliknya, wanita berusia 27 tahun itu menjadikan gelarannya sebagai Miss Malaysia 2023 sebagai platform memperjuangkan isu kesihatan mental dalam kalangan remaja terpinggir.

Kini bersaing bersama 109 peserta lain di Hyderabad, India, Saroop membawa lebih daripada sekadar keanggunan dan bakat.

Beliau membawa suara anak-anak yang sering dipinggirkan dalam perbualan arus perdana, terutamanya mereka yang berjuang dalam diam menghadapi kemurungan, tekanan dan trauma.

BACA LAGI: Stres di tempat kerja? Berkomunikasi antara 4 cara terbaik jaga kesihatan mental

BACA LAGI: Letih dengar masalah orang, belajar katakan tidak! 4 cara boleh dilakukan demi kesihatan mental

 

 

Gadis pemalu

Dilahirkan di Langkap, Perak dan dibesarkan di Ipoh sebelum menetap di Kuala Lumpur, Saroop merupakan anak Perak kelima yang berjaya memegang gelaran Miss Malaysia.

Namun, di sebalik senyuman yang tersiar di kaca televisyen, beliau pernah bergelut dengan kesedihan mendalam selepas kehilangan bapanya ketika berusia 19 tahun.

“Selepas ayah meninggal, saya mengalami kemurungan yang teruk dan rasa amat keseorangan,” katanya.

Pengalaman itu membuka mata Saroop terhadap kurangnya kesedaran tentang kesihatan mental, terutama dalam kalangan masyarakat Malaysia yang masih menganggapnya sebagai isu tabu.

Interview and photoshoot for Miss Malaysia Saroop Roshi who is representing Malaysia in Miss World 2025 in India in May 2025 on April 25.—AZMAN GHANI/The Starmingsaroop

Di sebalik senyuman yang tersiar di kaca televisyen, beliau pernah bergelut dengan kesedihan mendalam selepas kehilangan bapanya. — Saroop Roshi

Dahulunya seorang gadis pemalu, Saroop kini tampil dengan keyakinan dan misi yang lebih jelas.

Ia juga menjadi titik tolak kepada perubahan haluan akademiknya, daripada perubatan kepada psikologi demi memahami minda manusia dan membantu orang lain yang mungkin mengalami penderitaan yang sama.

“Sebelum ini saya ingin menjadi doktor, tetapi pengalaman hidup membuatkan saya memilih bidang psikologi. Inilah panggilan hidup saya,” ujarnya.

Tubuhkan Unmask Yourself

Pada 2019, Saroop menubuhkan Unmask Yourself, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan memecahkan stigma terhadap isu bunuh diri dan tekanan emosi dalam kalangan belia.

Namun kata Saroop, bercakap mengenai kesihatan mental sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu ada tindakan nyata.

Bekerjasama dengan sekumpulan pakar psikologi klinikal, Saroop menjalankan saringan kesihatan mental percuma di kawasan komuniti terpinggir.

Inisiatif itu kemudiannya diperluas merangkumi sesi terapi berkumpulan dan terapi seni untuk remaja berisiko yang bergelut dengan kemiskinan, penderaan atau gangguan.

Beliau turut berkongsi antara pengalaman paling menyentuh hati, apabila seorang peserta terapi seni meluahkan rasa melalui lukisan bertulis 'mati, mati, mati'.

"Sebulan kemudian, gadis tersebut berkata, aka (kakak), apa yang kakak buat sekarang, saya harap suatu hari nanti saya pun boleh bantu orang lain,” jelasnya.

Saroop membantu kanak-kanak terpinggir membina kemahiran kecerdasan emosi (EQ) yang diperlukan untuk menangani isu seperti buli. — Saroop Roshi

Kemahiran emosi

Saroop percaya bahawa intervensi awal adalah penting. Justeru, beliau bekerjasama dengan pensyarah, Dr Eugene Tee, menghasilkan buku kanak-kanak bertajuk Let’s Unmask Our Minds With Ronnie The Horse.

Ia merupakan alat pendidikan berbentuk cerita yang mengajar kemahiran kecerdasan emosi kepada kanak-kanak.

“Melalui buku ini, mereka belajar cara mengawal emosi dan menghadapi cabaran seperti buli.

"Ada antara mereka yang dulunya hampir berputus asa, kini kembali bersemangat dan mengejar impian,” jelas Saroop.

Setakat ini, inisiatif Saroop telah memberi manfaat kepada lebih 2,500 belia di seluruh negara dan capaian mesej kesedarannya di media sosial menjangkau lebih 500,000 orang di seluruh dunia.

“Saya kongsi kisah sebenar perjuangan supaya orang tahu saya juga manusia biasa yang pernah jatuh dan bangkit semula,” tambahnya.

Beliau pernah menjadi Naib Juara Miss Grand Malaysia 2019. — Saroop Roshi

Kekuatan mental

Beliau turut memetik statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menunjukkan lebih 720,000 kematian akibat bunuh diri berlaku setiap tahun, dengan majoritinya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Apa pun cabaran hidup, kita boleh harunginya asalkan saling menyokong sebagai satu komuniti,” tegasnya.

Saroop bukan pendatang baharu dalam dunia ratu cantik. Beliau pernah menjadi Naib Juara Miss Grand Malaysia 2019 dan menduduki Top 18 Miss Universe Malaysia 2019 sebelum menjuarai Miss Malaysia pada tahun lalu.

“Pertandingan seperti ini membina keyakinan dan kekuatan mental saya. Ia melatih supaya tidak mudah menyerah kalah,” katanya.

Sebagai peserta Miss World, beliau turut menyertai Cabaran Multimedia, iaitu satu kategori fast track yang menilai kreativiti dan pengaruh peserta di media sosial seperti TikTok, Instagram dan aplikasi Miss World.

Pemenang cabaran tersebut akan terus layak ke pusingan 20 peserta terbaik.

Klinik mental sendiri

Lulusan psikologi itu turut merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan membuka klinik kesihatan mental sendiri suatu hari nanti.

“Pertandingan ratu cantik boleh menjadi alat yang kuat untuk memberi impak sosial. Masih ramai wanita yang bergelut untuk didengar,” katanya.

Saroop turut menitipkan pesanan buat wanita muda dan generasi baharu ratu cantik agar tidak membiarkan luka lama menentukan diri seseorang.

“Setiap parut adalah bintang yang membimbing arah. Inilah masa anda untuk bersinar,” luah beliau. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram