
BIARPPUN bergelar suri rumah sepenuh masa dan ibu kepada tiga cahaya mata, Martini Abdul Talib bukan calang-calang wanita.
Tiga kali seminggu, selepas menyiapkan sarapan dan menghantar anak-anak ke sekolah, beliau akan memulakan rutin larian sejauh 15 kilometer (km) yang lazimnya mengambil masa dua jam setengah hingga pukul 10 pagi.
Usai larian pagi, wanita berasal dari Singapura itu akan meluangkan masa sekitar satu jam untuk membeli keperluan dapur sebelum pulang ke rumah bagi memasak juadah tengah hari.
BACA LAGI: Ibu perlu sentiasa istighfar, jaga lisan sebelum marah anak, 'kena ingat mulut mak ini masin'
Jika sedang giat menjalani latihan bagi menyertai perlumbaan, Martini, 43, yang turut dikenali dengan nama samaran Mommy Queen, akan meneruskan sesi larian kedua pada waktu petang sejauh sekitar 10km.
Menariknya, beliau hanya berehat daripada berlari pada Isnin dan Jumaat, manakala hujung minggu pula digunakan untuk melakukan larian lebih jauh hingga 30km sama ada secara berkumpulan atau bersendirian.
Kini, Martini sedang giat membuat persediaan bagi menyertai larian jejak (trail run) di Selangor pada Mei dan perlumbaan Eco-Ultra Marathon sejauh 55km dalam acara Income Eco Run 2025 yang dijadual berlangsung pada 8 Jun depan.
Pengalaman beliau dalam maraton ultra bukan lagi asing, malah Martini pernah menyertai pelbagai perlumbaan melebihi jarak 50km, termasuk tiga perlumbaan sejauh lebih 100km.
Untuk rekod, maraton ultra ialah perlumbaan yang melebihi jarak maraton standard iaitu 42.195km.
Antara pencapaian terbaik beliau ialah merangkul tempat pertama dalam kategori masters wanita bagi perlumbaan sejauh 42km dalam acara Salomon Forest Force 2023 di Singapura.
Hujung minggu digunakan Martini untuk melakukan larian hingga 30km sama ada secara berkumpulan atau bersendirian. — Instagram/teampurpose
Meskipun kini aktif dalam dunia larian, bekas pendidik itu tidak memulakan aktiviti tersebut sejak muda.
Sebaliknya beliau hanya mula berlari pada 2012, selepas melahirkan anak bongsunya.
“Saya mahu turunkan berat badan sebanyak 10kg, jadi suami bawa ke stadium tetapi waktu itu saya hanya mampu habiskan satu pusingan dan sudah tercungap-cungap.
"Saya rasa tak sanggup nak teruskan, tapi suami sering ingatkan tentang tujuan saya,” katanya.
Beliau kemudian memperkenalkan dirinya kepada kaedah lari-jalan iaitu berlari satu pusingan dan berjalan satu pusingan, sebelum berlari semula.
Kaedah itu sedikit demi sedikit membina staminanya hingga mampu berlari dalam tempoh lebih lama tanpa henti.
Martini turut mendaftarkan diri dalam beberapa perlumbaan kecil untuk mencabar kemampuan dirinya.
Bermula dengan larian sejauh 6km, beliau terus melangkah menyertai jarak yang lebih panjang, iaitu 10km, 16km dan seterusnya 21km.
Rasa bersalah
Dalam perjalanan menjadi pelari tegar, beliau tidak menafikan pernah berdepan dilema dan rasa bersalah kerana terpaksa berpisah dengan keluarga beberapa jam atau hari bagi menyertai latihan mahupun pertandingan.
“Namun saya selalu mengingatkan diri bahawa ini untuk kebaikan jangka panjang. Saya juga mahu menjadi contoh kepada anak-anak tentang pentingnya semangat daya tahan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan keluarga adalah tunjang kepada kelangsungan minatnya.
Jika berlatih pada waktu petang, suaminya akan membantu memantau pelajaran dan kebajikan anak-anak.
Malah, suaminya juga tidak keberatan mengambil alih tugas memasak sekiranya beliau menjalani latihan intensif hujung minggu atau menyertai perlumbaan di luar negara.
Tambahnya, kali pertama beliau bertanding di luar negara adalah pada 2014 ketika menyertai perlumbaan di Bali, Indonesia.
Ketika itu, keluarga dan mentuanya turut membantu menjaga anak-anak sepanjang ketiadaannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram