[VIDEO] Ambil berkat nama isteri, pengasas hiasan dinding terokai dunia kaligrafi Islam


  • Sukses
  • Isnin, 19 Mei 2025

Pasangan suami isteri itu menganggap menjalankan perniagaan merupakan satu ibadah untuk mereka. 

MEMBINA empayar perniagaan bersama suami, Dianah Hanani Abdullah, 27, tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya undang-undang demi menerokai dunia perniagaan.

Memulakan kerjaya sebagai pembantu peguam syariah usai tamat pengajian, Dianah Hanani hanya sempat bekerja selama enam bulan sebelum mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Khairul Moh Pardon, suaminya yang juga rakan kongsi perniagaan.

Tahun 2020 menjadi detik penting apabila beliau mengambil keputusan menyertai Muhammad Khairul sepenuhnya dalam mengembangkan syarikat yang ketika itu baru sahaja menjalani proses penjenamaan semula kepada Dians Signature.

BACA LAGI:Bermula secara tidak sengaja, Boss Mama kini tembusi pasaran antarabangsa, solusi buat ibu moden

BACA LAGI:Bekas jurutera sanggup jual nasi lemak, kuih kumpul modal untuk buka bisnes krim pelindung matahari mesra wuduk

“Pada mulanya memang rasa ragu-ragu dan agak dilema, tetapi apabila dah masuk dan buat sepenuh hati, saya sedar bisnes ini lebih fleksibel dan menguntungkan dari segi masa dan kewangan,” katanya kepada Majoriti.

Bercerita mengenai jenama tersebut, Muhammad Khairul, 31, berkata, Dians Signature bukanlah bermula sebagai jenama hiasan dinding kaligrafi Islamik.

Pada awalnya, beliau memulakan langkah dalam industri dekorasi kek pada 2016, menghasilkan pelbagai barangan seperti cake topper.

Namun setelah beberapa tahun meneroka pasaran, pasangan tersebut mula melihat potensi dalam segmen hiasan dalaman, khususnya yang bersifat Islamik dan estetik moden.

"Jadi dari situ, kami mula kembangkan produk perkahwinan seperti dekorasi dinding selamat datang termasuk tulisan kaligrafi.

"Kami kemudian putuskan untuk fokus satu jenis produk sahaja. Jadi selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), barulah betul-betul aktif dalam jualan dekorasi kaligrafi disebabkan sambutan memberangsangkan daripada pelanggan," jelasnya.

Dianah Hanani (kiri) tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya undang-undang demi menerokai dunia perniagaan. — Instagram/dddyanaaa_

Dalam perjalanan awal, pasangan itu diuji apabila reka bentuk asal hasil ciptaan mereka diciplak, dikilangkan di China dan dijual semula di Malaysia dengan harga jauh lebih murah.

Lebih menyedihkan kongsi Muhammad Khairul, kaligrafi yang ditiru itu kadangkala disalah guna, diletakkan di tempat tidak sepatutnya, selain tulisan ayat suci Al-Quran juga ditulis dengan salah.

"Kami nampak ramai hanya menjadikan kaligrafi sebagai hiasan, jadi kita mahu ubah persepsi bahawa kaligrafi bukan sekadar cantik dipandang, tetapi ia adalah peringatan.

“Itulah saat kami sedar bahawa ini bukan sekadar bisnes, ia satu ibadah dan amanah," jelasnya.

Didik pengguna

Dianah Hanani dan Muhammad Khairul mengambil pendekatan serius dalam memastikan setiap karya kaligrafi dihasilkan bukan hanya cantik dari sudut visual, malah sahih dari segi tulisan dan maksudnya.

Mereka bekerja rapat dengan penulis khat profesional yang diiktiraf dan setiap reka bentuk hanya dikeluarkan tiga kali setahun, berdasarkan permintaan serta keperluan pasaran.

Menurut mereka, lebih 60 peratus barangan kaligrafi Islamik di pasaran Malaysia kini diimport dari negara bukan Islam dan kebanyakannya hanya mengambil tulisan rawak daripada internet tanpa semakan teliti.

Dians Signature mendapatkan pengesahan rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor sebelum mengasilkan sesuatu rekaan. — Instagram/dddyanaaa_

Berbeza dengan Dians Signature yang akan sentiasa mendapatkan pengesahan rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor sebelum mengasilkan sesuatu rekaan.

"Pihak jabatan akan menghantar wakil untuk melakukan semakan terhadap setiap hasil kerja kami daripada huruf, tanda baris hingga ke struktur susunan.

"Setiap kesilapan dikenal pasti akan dibetulkan demi memastikan keaslian dan ketepatan ayat yang digunakan.

“Ini penting sebab ramai yang beli hanya kerana cantik, tanpa sedar kadangkala ayat itu salah,” katanya.

Berkat nama isteri

Di sebalik nama Dians Signature tersimpan satu kisah penuh makna yang melambangkan kasih dan penghargaan suami terhadap wanita penting dalam hidupnya.

Ujar Muhammad Khairul, pemilihan nama itu bukan dibuat secara sembarangan atau atas dasar strategi pemasaran semata-mata.

Sebaliknya, ia merupakan satu bentuk penghargaan terhadap isterinya, yang juga tulang belakang dalam perjalanan perniagaannya.

"Ambil berkat nama isterilah, saya gembira apabila namanya dipampangkan kepada orang ramai.

"Orang nampak Dians Signature, mereka tahu ia nama isteri saya,” bicaranya penuh senyuman.

Menariknya, ketika idea itu dikongsi kepada Dianah Hanani, mereka belum pun berkahwin secara rasmi, hanya tinggal kira-kira tiga bulan sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

Pemilihan nama Dians Signature mreupakan satu bentuk penghargaan terhadap Dianah Hanani. — Instagram/dddyanaaa_

Sasaran generasi muda

Dians Signature menyasarkan generasi muda, pasangan baru berkahwin dan pemilik rumah pertama yang menginginkan dekorasi moden namun masih berpaksikan Islamik.

“Ramai sangka hiasan dinding kaligrafi hanya untuk golongan berusia, tapi sebenarnya pelanggan kami ramai orang muda yang baru berkahwin dan nak isi rumah pertama dengan elemen menenangkan serta memberi makna,” jelas Dianah Hanani.

Berkongsi detik jatuh bangun syarikat dalam dunia perniagaan kaligrafi moden, kongsi Muhammad Khairul, walaupun syarikat kini memiliki lebih 60 kakitangan, permulaan dan perjalanan ke tahap itu bukanlah mudah.

Ceritanya, antara cabaran paling besar adalah ketika keseluruhan kakitangan meninggalkan syarikat dalam satu tempoh yang sangat kritikal.

“Pernah sampai satu tahap, dalam masa syarikat tengah berkembang dan tempahan tinggi, kira-kira 14 staf keluar (berhenti) serentak. Tinggallah saya dan Dianah sahaja yang menguruskan semuanya,” katanya.

Dianah Hanani (dua dari kanan) dan Muhammad Khairul (dua dari kiri) bergambar bersama anak-anak mereka. — Instagram/dddyanaaa_

Kejadian itu berlaku sejurus selepas sambutan Aidilfitri pada 2022, ketika permintaan terhadap produk melonjak tinggi.

Disebabkan kekurangan tenaga kerja secara mendadak, mereka terpaksa menolak sebahagian besar tempahan demi menjaga kualiti dan kepercayaan pelanggan.

“Masa itu memang mencabar. Namun sebab saya pernah buat semua benda sendiri, daripada operasi mesin, pembungkusan, menyembur hingga ke pemasangan, jadi saya tahu selok-belok setiap proses,” jelasnya, yang akan membuka cawangan baharu di Bertam, Pulau Pinang pada Ogos depan.

Bagi ibu bapa kepada dua cahaya mata itu, peristiwa tersebut menjadi titik perubahan penting buat Dians Signature.

“Kadang-kadang ALLAH SWT ambil sesuatu yang kami sayang untuk gantikan dengan yang lebih baik.

"Selepas kejadian itu kami mula kenal pasti kelemahan, perbaiki polisi syarikat dan bina pasukan lebih kukuh,” katanya menambah syarikat kini menjana nilai jualan sekitar RM500,000 hingga RM1 juta sebulan.

Galeri fizikal yang terletak di Shah Alam, Selangor juga menjadi tarikan, terutamanya pelanggan luar negara termasuk dari Singapura yang sanggup datang sendiri ke premis untuk melihat dan merasai kualiti hasil kerja mereka secara langsung.

Setelah lima tahun dalam industri bersama, pasangan suami isteri itu masih terus menambah baik operasi, menawarkan lebih banyak pilihan reka bentuk dan memikul tanggungjawab mendidik masyarakat tentang pentingnya memelihara kesucian ayat-ayat suci Al-Quran yang dijadikan hiasan.

“Kaligrafi bukan sekadar hiasan dinding. Ia adalah peringatan dan doa. Kita bertanggungjawab memastikan setiap satu daripadanya dihasilkan dengan penuh amanah,” ujar Dianah Hanani mengakhiri perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram