'Makin cantik dan tenang', Elyana lawat Siti Bainun, siap borong kuih cucur badak penghuni penjara Kajang


  • Hiburan
  • Isnin, 20 Jan 2025

Elyana (tengah) bersama keluarga Siti Bainun di penjara Kajang pada Ahad.

HAJAT pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun untuk bertentang mata dengan penyanyi popular, Elyana, 37, akhirnya menjadi kenyataan apabila pelantun lagu Kalis Rindu itu menziarahinya di penjara Kajang, Selangor pada Ahad.

Dimaklumkan sendiri oleh abang Siti Bainun berhubung permintaan tersebut, Elyana atau nama lengkapnya, Erneelya Elyana Emrizal bersyukur akhirnya dapat bersua muka dengan individu yang dianggap berjiwa besar itu.

Sempat berbual di sebalik tirai besi, Siti difahamkan dalam keadaan baik dan kini semakin cantik.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Walau terpisah 2 dunia, sayang abang masih seperti dulu', Hidayah titip ucapan hari lahir istimewa buat arwah Abam

BACA LAGI: [VIDEO] Kecewa bisnes kerap ditipu, fans sokong projek kurta Zizan Razak siap minta buat 'plus size', kain pelekat

"Terubat rindu dapat bercakap dengan Enon (panggilan Siti Bainun). Walaupun terpisah tapi kami berbual seperti biasa, kadang-kadang menangis, kadang-kadang ketawa tapi semuanya positif.

"Dis sangat tenang dan makin cantik! Dia risau sangat tentang kesihatan saya, sepatutnya kita yang risau tentang keadaan dia di dalam sana, itu lah Siti Bainun.

"Dari dulu sampai sekarang sentiasa memikirkan tentang orang lain lebih daripada diri sendiri, banyak yang dia korbankan, yang tahu saja tahu," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Isnin.

Dalam pada itu, Elyana turut berkongsi rasa gembira apabila sempat memborong beberapa pek kuih cucur badak yang dibuat khas oleh penghuni di penjara terbabit.

Juga merupakan salah satu tugasan hakiki Siti Bainun di dalam penjara, Elyana membeli sebagai tanda sokongan terhadap semua penghuni yang sedang berusaha untuk berubah ke arah kebaikan.

"Enon beritahu kat dalam (penjara) penuh dengan aktiviti setiap hari, dia diberikan tugas untuk membuat makanan frozen.

"Saya cakap tak apa, sebelum balik nanti akak beli segala 'mak nenek' frozen tanda sokong penghuni-penghuni yang sedang berusaha menjadi manusia lebih baik lagi.

"Yang di luar sini pun belum tentu lagi semua baiknya. Hanya kerana ALLAH masih menyimpan aib kita," ujarnya.

bainun

Siti Bainun berdepan dua sabitan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali Bella, empat tahun lalu. — The Star

Terdahulu, Siti Bainun menarik balik rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun, atas dua sabitan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali Bella.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Februari hingga Jun 2021.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun, sementara penjara 12 tahun bagi pertuduhan kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram