"Beritahu depan-depan apa tidak okey atau kurang. Jangan balik rumah baru WhatsApp,' pereka Rico tegaskan pentingnya 'fitting', komunikasi 2 hala


  • Gaya
  • Isnin, 19 Mei 2025

Sesi percubaan kali pertama merupakan momen kritikal untuk menilai kesesuaian potongan dan rekaan pakaian busana pengantin. — Gambar hiasan

BARU-BARU ini kecoh di media sosial dakwaan pengantin wanita tidak berpuas hati dengan hasil busana ditempah di sebuah butik milik pereka fesyen tempatan.

Tampil berkongsi pandangan mengenai perkara tersebut, pereka fesyen terkenal, Rico Rinaldi berkata, sesi mencuba atau fitting pakaian adalah proses penting dalam tempahan busana perkahwinan yang tidak boleh dipandang ringan.

Menerusi perkongsian di aplikasi Thread miliknya, Rico menjelaskan bahawa sesi percubaan, terutamanya untuk kali pertama, merupakan momen kritikal untuk menilai kesesuaian potongan dan rekaan pakaian.

BACA LAGI: 'Mimpi ngeri 2 hari sebelum nikah', wanita kecewa hasil rekaan baju kahwin pereka tempatan, bahagian dada ketat, fabrik kedut

BACA LAGI: 'Naratif alter berpuluh kali tidak betul', jenama fesyen tempatan perjelas isu dakwaan rekaan busana pengantin tidak seperti dijanjikan

"Hari ini cerita pengantin banyak lalu. Saya nak bagi nasihat, biasa baju tempah akan ada fitting, cuba baju nak tengok muat atau tidak.

"Kebiasaannya juga jika perlu ada sesi percubaan kedua, contoh nak tambah manik, ketat sikit atau nak longgar, terpendek terpanjang (semua itu selepas perbincangan sesi percubaan pertama).

“Tolong beritahu depan-depan apa yang tidak okey atau kurang. Jangan balik rumah baru nak WhatsApp. Fitting ialah sesi berbincang,” tegas Rico.

Rico mengakui sudah terbiasa dengan pelbagai keletah pelanggan dan sentiasa mengambil pendekatan profesional. — Instagram/ricorinaldi

Menjawab pertanyaan pengikut mengenai persediaan sebelum sesi percubaan pertama, Rico menekankan aspek mental dan fizikal.

“Pertama sekali, datang dengan emosi terkawal. Ini fitting pertama, jadi memang banyak benda belum siap atau tak kena dengan ukuran asal.

"Jangan terlalu mengharap kesempurnaan. Yang penting, ada komunikasi dua hala dengan pereka atau tukang jahit,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bakal pengantin supaya memakai pakaian dalam yang akan digunakan pada hari perkahwinan semasa sesi percubaan, bagi memastikan ukuran terutama bahagian dada adalah tepat.

“Jangan semasa percubaan pakai baju dalam sukan, tapi masa kahwin pakai push-up bra dengan padding. Nanti baju auto tak muat.

"Paling penting jangan bawa ramai orang, terlalu banyak pandangan pun adakalanya tidak membantu,” ujarnya.

Mengulas sama ada dirinya pernah terasa hati dengan pelanggan yang terlalu cerewet, akui Rico, beliau sudah terbiasa dan sentiasa mengambil pendekatan profesional.

Rico menambah, kebiasaannya beliau akan mencatat semua butiran sebagai rujukan sekiranya timbul sebarang isu berbangkit.

“Kalau cerewet sebab banyak permintaan tapi bayar sikit, itu saya anggap mengada, tapi kalau cerewet dan bayar setimpal, itu hak mereka dan kita bincang baik-baik,” ungkapnya.

Tambahnya lagi, komunikasi baik dan masa yang tepat adalah kunci. Baju pengantin seharusnya siap awal untuk memberi ruang kepada pengubahsuaian akhir, bukan disiapkan pada saat akhir.

“Saya selalu buat fitting awal, jadi apa-apa masih ada masa nak ubah dan klien kena hormati masa untuk fitting,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram