Perjuangan 11 tahun berhasil, Elyana sahkan dirinya bebas kanser


  • Hiburan
  • Rabu, 08 Dis 2021

ELYANA bersyukur selepas dirinya sah bebas daripada kanser limfoma yang dihidapnya sejak 2010.
SELEPAS 11 tahun berjuang melawan kanser limfoma, penyanyi popular, Elyana memaklumkan yang dirinya kini sudah bebas daripada penyakit itu.

Menurut Elyana, dia menyatakan rasa syukur dan tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya itu.

"Assalamualaikum rakan dan keluarga di Instagram. Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan bersyukur saya dengan anda semua. Perjuangan dan penantian selama 11 tahun saya berhasil! Kanser saya hilang!

"Alhamdulillah Ya ALLAH, terima kasih kau telah mendengar doa kami. Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira saya. Terlalu lama tak dapat rasa gembira ada tubuh yang sihat," katanya menerusi status akaun Instagram miliknya.

Penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu pada 2017 mengumumkan yang dia menghidap kanser tersebut selepas tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat.

Malah, menerusi pendedahan itu, Elyana memaklumkan yang dia sudah menghidap penyakit itu sejak 2010 dan sudah berikhtiar dengan pelbawai rawatan.

Namun, siapa sangka dengan jangkaan awal doktor yang memaklumkan Elyana hanya mampu hidup setahun sahaja ketika itu akhirnya membawa kepada perjuangan penyanyi itu untuk membebaskan dirinya daripada kanser.

Sebelum ini, Elyana memaklumkan bahawa dirinya telah menghidap penyakit tersebut dan sudah menjalani rawatan penyakitnya itu.

Dalam pada itu, rata-rata komen rakan artis dan peminat mengucapkan rasa syukur terhadap keadaan terkini penyanyi itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram