[VIDEO] Walau 'so dang hot', pempengaruh Australia pilih pakaian sopan, hormat budaya Malaysia


  • Bonda
  • Sabtu, 17 Mei 2025

Katie ketika bergambar di pekarangan bangunan KLCC bersama ahli keluarganya.

TINDAKAN pempengaruh media sosial dari Australia, Katie Bunton mengenakan pakaian sopan ketika melancong ke Malaysia meraih pujian warga maya baik tempatan mahupun antarabangsa.

Katie, yang juga ibu kepada pasangan kembar lelaki, memuat naik sebuah video di akaun TikTok miliknya, ktbunton pada Jumaat, memaparkan lawatan hari pertama beliau ke Kuala Lumpur bersama keluarganya.

Dalam video berkenaan, Katie dirakam sedang menikmati suasana panas di pekarangan bangunan ikonik, Menara Kembar Petronas (KLCC), sambil menyarungkan blaus dan seluar panjang sepadan coraknya.

BACA LAGI: Jenama fesyen 'modest' sukar diiktiraf global walau perbelanjaan pengguna Islam dijangka cecah RM1 trilion menjelang 2027

BACA LAGI: [VIDEO] 'Baju sopan, tiada wanita berkemban', Douglas Lim disaran jadi duta perpaduan gara-gara lagu raya

Baginya, padanan itu merupakan pilihan pakaian disifatkan sesuai dengan norma budaya tempatan.

"It's so dang hot out here (cuaca di sini memang panas terik), tapi saya tetap mahu menghormati budaya Muslim di negara yang dilawati," tulisnya menerusi video berkenaan.

Tindakan pempengaruh itu menerima reaksi positif daripada warganet, yang rata-ratanya menghargai kesedaran dan rasa hormat beliau terhadap budaya masyarakat Islam di Malaysia.

Ramai memuji kepekaan beliau sebagai pelancong luar negara yang sanggup menyesuaikan diri dengan norma tempatan meskipun dalam cuaca panas.

"Sudah lama saya mengikuti (media sosial) anda. Suka cara beliau yang begitu menghormati budaya tempatan. Selamat menikmati kunjungan di Malaysia (dan cuacanya yang panas terik)!" tulis salah seorang pengguna TikTok dengan nama akaun Irny93.

"Terima kasih kerana menghormati budaya dan negara kami," ujar lilydecat.

Untuk makluman, Katie merupakan personaliti media sosial yang sering berkongsi tentang gaya hidup, rutin sebagai ibu kepada pasangan kembar dan pengalaman melancong ke pelbagai negara. 

Antara mencuri perhatian termasuk perkongsian tentang penyediaan pek makanan untuk anak-anak sebelum ke sekolah, yang bukan sahaja teratur dan kreatif, tetapi memberi inspirasi kepada ibu bapa lain.

Katie juga tidak lokek memberi tip ketika melancong bersama anak kembar, daripada proses berkemas, jadual perjalanan yang mesra kanak-kanak sehingga bagaimana mengendalikan kerenah anak ketika di lapangan terbang atau tempat baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram