
SEORANG wanita meluahkan kekecewaan selepas busana perkahwinan yang ditempah daripada pereka fesyen tempatan tidak seperti dijanjikan.
Lebih menyedihkan, kejadian itu berlaku hanya dua hari sebelum tarikh pernikahannya yang berlangsung pada 17 Mei 2025.
Menceritakan kronologi kejadian menerusi aplikasi Thread, humairahmstffa, wanita tersebut mendakwa telah menempah baju pengantin daripada butik berkenaan dan dijadualkan untuk mengambil pakaian itu pada 14 Mei lalu.
BACA LAGI: Dua suspek ditahan tipu pakej perkahwinan di Lembah Klang
Namun menurutnya, pihak butik meminta untuk menangguhkan pengambilan kepada petang keesokan harinya.
"Saya pergi butik mereka untuk ambil baju namun, atas alasan beberapa bahagian pakaian belum siap, termasuk perincian manik serta tudung dan selendang yang masih dalam perjalanan, mereka janji nak hantar sekitar pukul 4 hingga 5 petang pada 15 Mei.
"Kemudian mereka beritahu tiada runner dan terpaksa hantar baju pukul 10 malam," tulisnya pada Jumaat.
Bagaimanapun sebaik mencuba busana tersebut, beliau mendapati pakaian itu tidak menepati ukuran dan kemasan yang diharapkan.
Tangkap layar memaparkan perbualan antara wanita tersebut dengan staf butik seperti dikongsikan di media sosial.
Ujarnya, bahagian dada terlalu ketat sehingga menyukarkannya untuk bergerak, manakala keadaan fabrik pula berkedut dan tidak kemas.
Tambahan lagi, warna tudung dan selendang yang diterima tidak sepadan dengan busana utama.
"Sekitar pukul 12 tengah malam, staf mereka datang ke rumah untuk ambil dan baiki baju saya. Pada pukul 2.15 pagi, mereka hantar semula baju yang telah diubah suai.
"Namun, baju tersebut masih berkedut di sana sini dan bahagian dada masih juga ketat," jelasnya yang turut memuat naik foto baju dan tangkap layar perbualan bersama staf butik berkenaan.
Wanita itu turut mendakwa berlaku perbincangan tegang menerusi WhatsApp bersama pihak butik dan beliau menuntut pampasan dalam bentuk tiket penerbangan baharu untuknya serta suami bagi memberi masa tambahan untuk pembetulan.
Namun, tawaran diberikan hanyalah tiket penerbangan untuk seorang atau tiket bas bagi dua orang.
Lebih mengecewakan, wanita itu mendakwa sudah membayar RM4,400 untuk busana tersebut selain kain songket juga merupakan miliknya sendiri.
“Saya terpaksa tetap pakai baju tersebut sebab kain songket yang dibeli sangat cantik dan sepadan dengan busana suami,” katanya sambil menyifatkan keseluruhan pengalaman itu sebagai satu mimpi ngeri yang akan diingatinya seumur hidup.
Beliau turut menyuarakan hasrat untuk berkongsi lebih banyak butiran dan gambar berkaitan hasil kerja butik tersebut selepas majlis perkahwinannya selesai.
Tindakan itu tegasnya, sebagai peringatan kepada bakal pengantin lain agar lebih berhati-hati.
Insiden tersebut telah menarik perhatian ramai netizen, termasuk beberapa individu lain yang tampil mendedahkan pengalaman serupa dengan butik sama, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa ia bukan kes terpencil.
Setakat berita ini ditulis, pihak butik berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram