
PERUBAHAN dan peluang dalam pasaran barangan mewah memberi kesan berbeza kepada setiap jenama.
Sebuah agensi digital terkemuka, Global Bay membantu baik jenama kecil mahupun yang sudah dikenali peringkat antarabangsa untuk mempercepatkan transformasi digital mereka dan terus bertahan di tengah persaingan dunia mewah.
Dengan memanfaatkan lima trend baharu yang dijangka membentuk pasaran mewah pada 2025 dan seterusnya, jenama terlibat boleh menonjol dalam pasaran yang semakin dipacu teknologi, mesra alam dan bersifat peribadi walaupun menghadapi kekangan dari segi modal atau bajet.
BACA LAGI: 'Dulang girls' Eyka Farhana, 7 selebriti melaram hasil rekaan pereka fesyen pilihan
BACA LAGI: Catat sejarah dilantik presiden wanita pertama, Osmani hargai Malaysia iktiraf kemerdekaan Kosovo
Pengalaman peribadi jadi keutamaan baharu dalam dunia mewah yang mana pelanggan mahukan sentuhan unik dalam setiap pembelian. — Gambar hiasan/Freepik
1. Cita rasa peribadi lebih penting berbanding kuantiti
Barang mewah dihasilkan secara besar-besaran semakin kurang diminati. Kini, pengguna lebih suka pengalaman disesuaikan mengikut cita rasa mereka.
Contohnya, Tiffany & Co. menawarkan khidmat ukiran khas, manakala Lane Crawford menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memberi cadangan produk yang sesuai dengan pelanggan.
Kajian menunjukkan 70 peratus pengguna barangan mewah mahukan rekaan yang peribadi.
Perkara ini bukan sahaja menjadikan jenama lebih unik, tetapi juga mewujudkan hubungan emosi dengan pelanggan.
2. Teknologi AI dan Metaverse tarikan baharu
Teknologi AI kini bukan sahaja digunakan oleh syarikat teknologi besar seperti Google dan Amazon, malah jenama mewah juga mengikut langkah sama.
Contohnya, Yves Saint Laurent menghasilkan mesin pencetak gincu yang boleh disesuaikan, manakala H&M membina dunia fesyen maya (metaverse) untuk pelanggan mencipta gaya mereka sendiri.
AI juga membolehkan jenama menawarkan pengalaman beli-belah yang lebih menarik seperti ramalan cita rasa, bantuan pelanggan 24 jam dan pembelian secara langsung.
3. Kelestarian jadi keutamaan
Pengguna hari ini lebih peka terhadap isu alam sekitar.
Lebih 60 peratus pembeli barangan mewah mengambil kira sejauh mana jenama mengamalkan kelestarian seperti pembungkusan mesra alam, bahan yang diperoleh secara bertanggungjawab dan sokongan terhadap komuniti tempatan.
Contohnya, Gucci ArtLab mengubah cara pengeluaran barangan kulit mereka ke arah lebih lestari dan kini menjadi contoh jenama yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Generasi Z dan milenial kini mahukan jenama yang berani bereksperimen. — Gambar hiasan/Freepik
4. Generasi Z dan milenial ubah corak pasaran
Golongan muda kini menjadi pembeli utama barangan mewah. Di Amerika Syarikat (AS), jenama seperti Dior, Gucci dan Louis Vuitton sangat digemari oleh Gen Z, manakala Armani lebih dekat di hati milenial.
Mereka mahukan jenama yang berani bereksperimen, terbuka untuk kolaborasi dan selari dengan nilai sosial.
Sebagai contoh, pereka kasut Manolo Blahnik bekerjasama dengan Rihanna menghasilkan rekaan denim yang unik dan menarik perhatian kedua-dua generasi berkenaan.
Untuk menarik golongan ini, jenama mewah perlu mengutamakan inovasi digital, pemasaran melalui individu berpengaruh dan kempen yang ada kesedaran sosial.
5. Strategi tempatan dan digital lebih berkesan
Pendekatan 'lebih relevan berbanding lebih luas' menjadi strategi penting.
Pemasaran generik tidak lagi berkesan. Sebaliknya, jenama perlu memahami budaya dan cita rasa tempatan.
Contohnya, Tiffany & Co. serta Giorgio Armani menyesuaikan produk dan kempen mereka dengan keunikan pasaran tempatan seperti India.
Kolaborasi tempatan, butik pop-up dan acara eksklusif memperkuat hubungan antara jenama dan pelanggan setempat.
Lima trend utama ini menunjukkan bahawa pasaran mewah kini lebih peribadi, digital, lestari, tempatan dan dipacu oleh generasi muda.
Jenama yang bersedia berubah mengikut arus ini bakal kekal relevan dan unggul dalam pasaran yang semakin kompetitif. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram