Dua beradik otak bergeliga Singapura bergelar bilionair, ubah perniagaan kecil kasut ibu jadi jenama fesyen global


  • Bizz
  • Selasa, 06 Mei 2025

Charles membina jenama Charles & Keith bersama adiknya bermula daripada membantu kedai kasut sederhana yang diusahakan oleh ibu mereka di Singapura. — Agensi

PADA 1990, dua beradik, Charles dan Keith Wong yang masih remaja terlibat sama dalam membantu operasi kedai kasut kecil diusahakan ibu mereka di Ang Mo Kio, Singapura.

Tanpa disedari, premis sederhana terbabit adalah merupakan titik mula kepada mereka dalam mempelajari selok-belok perjalanan dalam dunia kasut perempuan.

Pada ketika itu, koleksi kasut yang ditawarkan adalah rekaan yang agak generik dan umum.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Namun, dalam tempoh tersebut, kedua-dua beradik itu kemudian menyedari peluang yang wujud dalam dunia jualan kasut.

Ia terutamanya melibatkan permintaan semakin meningkat kepada kasut dengan rekaan lebih menonjol di samping harga mampu milik.

Pada 1996 ketika baru menjengah usia awal 20-an, kedua-dua beradik itu mengambil langkah berani membuka kedai pertama mereka di Amara Shopping Center di Singapura. 

Tidak hanya sekadar kedai kasut, visi mereka tidak terhenti di situ dengan pasangan beradik itu turut menyimpan hasrat bagi membangunkan jenama kasut mereka sendiri yang dikenali sebagai Charles & Keith.

Kedai pertama Charles & Keith beroperasi pada 1996 di Amara Shopping Center. — Charles & Keith

Kedai tersebut dengan cepat menarik perhatian, dan pelanggan menyukai reka bentuk uniknya. 

Visi kedua-dua beradik itu telah menemukan tempatnya di pasaran, dan jenama mereka mula berkembang pesat.

Cita-cita dan visi besar dua beradik

Perkara yang membezakan Charles & Keith sejak awal adalah cita-cita besar yang mendorong mereka sejak awal. 

Ia tidak hanya tentang menghasilkan kasut bergaya untuk pelanggan tempatan sebaliknya turut mahu dunia melihat nilai jenama yang diasaskan.

Pada 1998, hanya dua tahun selepas membuka kedai pertama mereka, Charles & Keith mengambil langkah pertama ke pasaran antarabangsa dengan membuka kedai di Indonesia. 

Langkah itu hanyalah permulaan kerana jenama tersebut kemudiannya terus berkembang pesat di seluruh Asia Tenggara dan Timur Tengah dalam beberapa tahun berikutnya.

Kedudukan jenamanya yang bertapak kukuh dalam pasaran Asia kemudiannya membawa Charles & Keith lebih jauh apabila saham mereka dibeli oleh konglomerat gergasi fesyen mewah berpangkalan di Eropah, LVMH pada 2011.

Dalam pembelian tersebut, LVMH yang turut memiliki jenama utama lain seperti Dior dan Fendi membeli sebanyak 20 peratus saham Charles & Keith pada nilai AS$23.5 juta (RM97.17 juta).

Perkongsian kerjasama tersebut seterusnya memberikan sokongan dan sumber yang mempercepatkan visi kedua-dua beradik untuk pertumbuhan lebih luas, terutamanya di pasaran besar di China.

Menembusi pasaran baharu

Namun, untuk menembusi pasaran China bukanlah tugas yang mudah.

Ini kerana selain tahap persaingan yang tinggi, landskap runcit di negara dengan populasi terbesar dunia itu sentiasa berubah dengan pantas.

Antara salah satu butik Charles & Keith yang dibuka di Eropah. — Charles & Keith

Tugas mencabar itu turut mendorong Charles untuk berpindah ke Shanghai.

Pada awalnya, beliau hanya merancang untuk menetap sementara di negara tersebut bagi mencari jalan menembusi pasaran tersebut.

Namun, tempoh yang singkat itu kemudiannya membawa beliau untuk menetap di sana selama sedekad.

Usaha tersebut berjaya membuahkan hasil apabila jenama terbabit terus berkembang pesat sehingga mempunyai lebih daripada 250 kedai di bandar utama di China.

Bagaimanapun, kejayaan tersebut tidak sama sekali melekakan kedua-dua pengasas itu yang cukup faham mengenai kepentingan untuk terus kekal relevan dan mencari pasaran baharu yang sedang berkembang.

Usaha mereka untuk meneroka pasaran di Barat mendorong Charles & Keith mengadakan kerjasama dengan selebriti global seperti Blackpink dan ITZY untuk kolaborasi yang membawa jenama mereka kepada generasi pengguna baharu. 

Kini, Charles & Keith sudah mengukuhkan tempat dalam jenama fesyen global dengan lebih daripada 600 kedai di 37 negara.

Ia juga menjana hampir AS$1 bilion (RM4.68 bilion) jualan tahunan, meletakkan kedua-dua beradik Wong sebagai antara usahawan terkaya dalam generasi mereka. 

Kekayaan bersih kedua-dua mereka juga kini mencecah AS$1.2 bilion (RM5.62 bilion), nilai yang berkembang jauh berbeza daripada kedai kasut sederhana keluarga yang dimulakan oleh ibu mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram