NAMA Reka Teemor amat dikenali ramai sebagai sebuah jenama perancang perkahwinan mewah terutamanya dalam kalangan selebriti dan individu kenamaan (VVIP).
Namun tak ramai tahu betapa jerihnya pasangan suami isteri membina empayar tersebut yang mula bertapak seawal 2006 lagi.
Kini selepas 18 tahun, Reka Teemor ternyata berada dalam kelasnya tersendiri.
BACA LAGI: Selesai akad nikah, imam masjid minta pasangan tular urus nasab anak
BACA LAGI: Sanggup lupakan hobi kumpul setem, simpan emas jauh lebih lumayan
Antara rekaan pelamin mewah yang dihasilkan Reka Teemor.
Berdiri teguh di belakang jenama yang menerima jolokan The Best Wedding Designers in Town, Faiz Sabari, 52, dibantu isteri, Rozana Mumtaz Mohd Ashraff, 47, sebagai pengarah bersama ada pengalaman pahit manis yang mahu dikongsikan.
Pengalaman luas Faiz dalam bidang pengiklanan, penyiaran, penerbitan, hiasan dalaman dan perdagangan visual menjadikan beliau sebagai seorang pereka serba boleh dan cekap dalam menghasilkan idea-idea baharu yang segar, unik serta kreatif.
Seiring perkembangan semasa, nama Reka Teemor semakin meningkat naik dan kepercayaan diberi sepenuhnya untuk merealisasikan perkahwinan impian pasangan pengantin.
Antara selebriti yang pernah mendapat sentuhan magis Reka Teemor termasuk pasangan kesayangan ramai, Fazura dan Fattah Amin, Neelofa dan Haris Ismail, Mira Filzah dan Wan Emir, Yuna dan Adam Sinclair serta Nabila Razali dan Nik Iruwan.
Tiada kejayaan datang tanpa cabaran atau pengorbanan. Begitu juga yang perlu ditempuhi oleh Faiz dan Rozana yang lebih mesra dengan panggilan Mumtaz.
Berbicara kepada Majoriti, Mumtaz berkata, pada awal perkahwinan, dek kerana kesibukan kerja hakiki masing-masing, ditambah keperluan untuk ke luar negara atas urusan kerja menyebabkan mereka suami isteri jarang bersua.
Pasangan suami isteri ini membina empayar Reka Teemor sejak 2006.
Ditipu
Bagaimanapun, selepas dikurniakan seorang cahaya mata, Mumtaz nekad berhenti kerja untuk membantu Faiz menguruskan perniagaan.
"Langkah ini diambil supaya kami sentiasa bersama untuk menjaga perniagaan dan anak, Dhiya Batrisha, 18," katanya.
Meskipun tampak gah di mata masyarakat, namun jerih perih membangunkan sesebuah legasi perniagaan hanya si empunya badan sahaja yang mengerti.
Tidak bermula dengan mudah, Mumtaz memberitahu, pada awalnya mereka juga berdepan cabaran untuk meyakinkan pelanggan berhubung jenama dan servis yang ditawarkan.
Namun seiring perkembangan semasa, cabaran bertukar pula kepada keperluan untuk memenuhi kemahuan pelanggan sesuai dengan bajet yang diusulkan.
"Kami juga pernah ditipu pelanggan dan terima bayaran lewat. Lebih teruk, ada juga yang tidak bayar dan terus menghilangkan diri.
"Selain ragam pelanggan, isu pembekal yang tidak memberikan servis seperti dijanjikan juga antara dugaan yang pernah ditempuhi.
"Kini cabaran kami adalah lebih kepada penjenamaan iaitu usaha untuk mengekalkan servis dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan," katanya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan itu menjelaskan, permintaan pelanggan kini semakin meluas dan berkembang sejajar dengan peningkatan berterusan jenama Reka Teemor dalam bidang hiasan perkahwinan di Malaysia.
Menurut wanita berdarah Afghanistan di sebelah ibu dan Pakistan di sebelah bapanya itu, pelanggan lebih terbuka untuk mencuba dekorasi baharu dan gemar berekperimen dalam pemilihan tema majlis perkahwinan.
Enggan menghampakan kepercayaan yang diberi, beliau memberitahu, bahawa setiap permintaan akan dijayakan dengan sentuhan segar dan idea terkini.
Ditanya tentang kesukaran untuk suami isteri bekerja di bawah satu bumbung, beliau pantas menjawab, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula pasangan suami isteri.
"Pasti ada perselisihan faham di sana sini tetapi alhamdullilah kami belajar daripada pengalaman dan saling melengkapi antara satu sama lain.
"Saya dan suami akan pastikan kami fokus pada bidang masing-masing serta menguruskan semuanya dengan matlamat mahu memberikan yang terbaik buat pelanggan.
"Apabila fokus jelas, urusan juga akan jadi mudah," ceritanya.
Rekaan pelamin mewah yang dihasilkan Reka Teemor terkenal dalam kalangan selebriti dan orang kenamaan.
Pesanan
Dengan lambakan syarikat perancang perkahwinan ketika ini, tidak hairan apabila muncul isu penipuan khidmat pakej perkahwinan melibatkan kerugian ribuan ringgit.
Justeru, Mumtaz sempat menitipkan pesanan buat bakal pengantin agar lebih berwaspada dan tidak membuat keputusan semberono.
Katanya, sebelum memutuskan untuk memilih perancang perkahwinan, keluarga dan pengantin harus menyemak kesahihan jenama syarikat tersebut.
"Lihat semula rekod syarikat dan rajinkan diri untuk bertanya kepada mana-mana pihak yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka," ujarnya
Tambah beliau, adakalanya pengantin perlu mengelak daripada menempah syarikat yang menawarkan servis atau tawaran terlalu murah kerana kebiasaannya apabila ia too good to be true, pasti ada sesuatu di sebaliknya.
"Bandingkan juga harga dengan perancang perkahwinan lain yang seangkatan dan jangan lupa tanya mengapa harga mereka sedemikian," akhirinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram