
ADA haruman mampu mengubah suasana, ada pula yang boleh menghidupkan kembali jiwa. Dua pilihan pewangi premium buat wanita paling istimewa dalam hidup anda.
Selari dengan visi Cartier yang mementingkan kelestarian, botol Déclaration Eau de Parfum boleh diisi semula.
Déclaration Eau de Parfum Cartier
Pewangi baharu Cartier ini bukan sekadar semburan wangian biasa, ia ibarat nyalaan semangat yang penuh emosi.
Haruman ini dicipta oleh pakar haruman Cartier, Mathilde Laurent yang membawa sentuhan peribadinya dalam menyegarkan kembali wangian klasik lagi ikonik ciptaan Jean-Claude Ellena.
Gabungan bauan rempah dan kayu yang berani, kini diberi suntikan baru kehangatan bunga cengkih, kesegaran halia dan disaluti aroma chai latte.
Apa yang menjadikan Déclaration Eau de Parfum benar-benar unik ialah karakter baunya yang menenangkan, seimbang dan sempurna.
Botol pewangi ini cukup elegan dalam warna amber teh Ceylon yang memberi gambaran akan kehangatan haruman ini.
Pewangi baharu Louis Vuitton ini menyemarakkan semangat keberanian, kekuatan dan keindahan universal wanita dalam pelbagai dimensi.
eLVes Louis Vuitton
Rumah fesyen Paris ini memperkenalkan satu lagi wangian terbaharu mereka, eLVes yang meraikan wanita moden yang bebas dan yakin dengan diri sendiri.
Haruman eLVes disebut 'elles' ini diinspirasikan daripada semangat pengembaraan dan keinginan untuk melakar jalan hidup sendiri.
Pewangi baharu Louis Vuitton ini juga bukan sekadar nama, tetapi sebuah manifesto.
Ia meraikan wanita yang berani berdiri di atas kaki sendiri, menolak untuk didefinisikan oleh sesiapa, malah mencipta ruang mereka sendiri sambil menyokong wanita lain bersama.
Master Perfumer di Louis Vuitton, Jacques Cavallier Belletrud, menggambarkan inspirasi beliau adalah personaliti seorang wanita cemerlang yang memacu kemajuan masyarakat.
Beliau mempersembahkan haruman berani, bunga-bungaan kontemporari dengan sentuhan amber yang menggoda dan elegan.
Dengan gabungan bunga mawar yang mewah dan lily of the valley, bunga yang buat pertama kalinya berjaya diekstrak baunya, eLVes membawa aroma bunga-bungaan yang elegan.
Sebagai pelengkap, esen patchouli mengikat semuanya dalam satu komposisi istimewa.
Botol silinder Louis Vuitton menampilkan rona ungu membiru seolah-olah langit dan bumi bersatu, pewangi ini juga boleh disimpan dalam bekas kembara LV Vibe yang sepadan.
Pewangi eLVes Louis Vuitton Eau de Parfum saiz 100 milimeter (ml) dijual pada harga RM1,700 manakala RM2,600 untuk saiz 200ml.
Manakala, bekas pewangi LV Vibe berharga RM4,050. Anda boleh mendapatkannya di butik Louis Vuitton terpilih di Malaysia dan juga secara dalam talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram