
PENGASAS jenama pakaian dalam wanita terkenal, Spanx, Sara Blakely kini dikenali sebagai antara usahawan wanita paling berjaya di dunia.
Beliau mula menempa nama tanpa sebarang latar belakang dalam dunia fesyen atau perniagaan dan dengan hanya AS$5,000 (RM22,000) sebagai modal permulaan.
Kini pada usia 53 tahun, kekayaan bersih beliau dianggarkan mencecah AS$1.1 bilion (RM4.8 bilion).
Blakely yang dilahirkan di Florida pada 1971 pada asalnya bercita-cita untuk menjadi peguam seperti bapanya.
Namun selepas dua kali gagal dalam ujian kelayakan, beliau menukar haluan dan bekerja sebagai jurujual mesin faks.
Ketika itulah kekecewaan peribadi yakni tidak menemui pakaian dalam yang sesuai dipakai bersama seluar putih, membawa kepada lahirnya idea produk pertama Spanx, footless pantyhose yang kekal kemas dan tidak menampakkan garis pakaian dalam.
Sara Blakely kini dikenali sebagai antara usahawan wanita paling berjaya di dunia. — Agensi
Idea ditolak
Dalam usaha merealisasikan ideanya, Blakely berdepan cabaran besar apabila hampir semua pengilang yang ditemuinya, yang kesemuanya didominasi golongan lelaki, menolak mentah-mentah cadangannya.
Ramai menganggap beliau tidak waras kerana mencadangkan produk pakaian dalam wanita yang tidak konvensional.
Namun, dalam ratusan penolakan itu, muncul seorang pengilang yang melihat potensi tersembunyi dalam idea Blakely.
Beliau tidak membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya membawa prototaip Spanx kepada tiga anak perempuannya dan mereka menyukai konsep itu.
Keyakinan anak-anak perempuannya menjadi pemangkin dan pengilang tersebut menjadi satu-satunya individu yang berkata 'ya' kepada Blakely.
Keputusan kecil itu menjadi titik tolak penting dalam perjalanan Blakely.
Pada 2000, Blakely kemudian berjaya meyakinkan peruncit mewah, Neiman Marcus untuk membuat pesanan pertama selepas secara spontan membuktikan keberkesanan produknya di bilik air pejabat pembeli.
Langkah berani itu membuka pintu ke rangkaian gedung ternama lain seperti Bloomingdale’s dan Saks.
Ramai menganggap beliau tidak waras kerana mencadangkan produk pakaian dalam wanita yang tidak konvensional. — Agensi
Namun, momen kemuncak yang melonjakkan nama Spanx ialah apabila ia tersenarai dalam segmen 'Barang Kegemaran' oleh Oprah Winfrey, sekali gus meningkatkan permintaan dan jualan secara drastik.
Meskipun meraih keuntungan besar, Blakely kekal konsisten dengan pendekatan unik dan kendalian perniagaan secara langsung.
Beliau enggan mengambil pelabur luar, sebaliknya memilih untuk membina empayarnya secara perlahan tetapi kukuh, sambil mengekalkan 100 peratus hak milik syarikat.
"Saya tidak tahu apa yang saya tidak tahu dan itu kadang-kadang menjadi kelebihan," katanya dalam satu temu bual, merujuk kepada ketiadaan latar belakang perniagaan yang membolehkannya berfikir secara berbeza.
Sara Blakely (dua dari kiri) bergambar bersama keluarganya. — Instagram/sarablakely
'Jangan takut malukan diri'
Sentuhan peribadi menjadi tunjang kepada pendekatan Blakely. Selama dua tahun, beliau sendiri melawat butik dan bercakap terus dengan pelanggan.
Malah, beliau tanpa segan menggunakan gambar testimoni 'sebelum dan selepas' dirinya sebagai strategi pemasaran awal.
Blakely turut percaya bahawa kekuatan mental memainkan peranan penting dalam kejayaan.
Sejak usia remaja, beliau mengamalkan visualisasi, menulis matlamat dan mengatasi rasa takut.
Salah satu prinsip utamanya adalah tidak takut untuk 'memalukan diri sendiri' iaitu satu pendekatan yang menurutnya, membina daya tahan terhadap kegagalan.
Blakely memilih untuk membina empayarnya secara perlahan tetapi kukuh. — Agensi
Sumbang kekayaan
Selain kejayaan komersial, Blakely juga aktif dalam kerja kebajikan. Pada 2006, beliau menubuhkan Spanx by Sara Blakely Foundation yang menyokong wanita dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan seni.
Pada 2013, beliau menjadi wanita pertama menyertai The Giving Pledge, satu komitmen untuk menyumbangkan sekurang-kurangnya separuh daripada kekayaannya kepada kebajikan.
Kisah Sara Blakely menjadi simbol kepada jutaan wanita dan usahawan bahawa kejayaan tidak memerlukan laluan tradisional.
Ia cukup dengan satu idea, keyakinan terhadap diri sendiri dan keengganan untuk berputus asa walau bagaimana sekalipun cabarannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram