Dua suspek ditahan tipu pakej perkahwinan di Lembah Klang


  • 112
  • Ahad, 06 Feb 2022

KEDUA-DUA suspek direman selama empat hari bermula Ahad. — Gambar hiasan/ Facebook

SEORANG lelaki dan anaknya ditahan pada Sabtu kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan perkhidmatan pakej perkahwinan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, kedua-dua lelaki berusia 57 dan 25 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang, susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 24 tahun pada Januari lalu.

Jelasnya, wanita itu tertarik untuk mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan dari sebuah syarikat yang dikendalikan dua beranak itu pada sekitar Mei tahun lepas yang meliputi tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pasangan pengantin dan jurugambar.

"Wanita itu membayar deposit sebanyak RM7,265 bagi mendapatkan perkhidmatan berkenaan, namun tidak diberikan perkhidmatan seperti yang dijanjikan untuk majlis perkahwinannya.

"JSJK Kuala Lumpur menerima laporan polis daripada wanita itu pada 3 Januari lalu,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Ahad.

Tambah Mohd Mahidisham, kedua-dua lelaki terbabit direman empat hari bermula Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berdasarkan hasil siasatan, polis mengesyaki terdapat ramai lagi mangsa ditipu dan meminta mereka tampil untuk membuat laporan polis.

Beliau turut menasihati peniaga supaya tidak menawarkan perkhidmatan atau menjual barangan sekiranya tidak ada kemampuan dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan alasan pandemik Covid-19 kepada pelanggan jika gagal menunaikan janji mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

penipuan, pakej perkahwinan, JSJK, siasat, polis